"Ini pertama kali nama saya tercalon dan saya bersyukur kerana ada orang yang nampak bakat saya. Tanyalah mana-mana pelakon, apabila nama tercalon sudah pasti berharap untuk menang" – SCHA

MUDA, cantik dan berbakat besar. Gabungan ketiga-tiga pakej itu membuatkan nama tiga bakat muda iaitu Liyana Jasmay, Nabila Huda dan Scha mampu tercalon pada dalam Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM 22).
Bagai tidak percaya dan satu kejutan antara perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut mereka bertiga tatkala mengetahui nama tersenarai dalam percalonan lima teratas dalam kategori masing-masing.
Pelakon yang merupakan anak kepada Amy Search, Nabila memberitahu, dia langsung tidak menyangka namanya akan turut tersenarai dalam kategori pelakon wanita terbaik untuk filem Bohsia.
Menurutnya yang pernah tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik tahun lalu, pencalonannya kali ini merupakan satu penghargaan buat dirinya.
"Saya rasa bersyukur sangat dan rasa berbaloi dengan apa yang saya lakukan dalam filem Bohsia kerana saya memang berikan yang terbaik.
"Bagi saya watak saya sebagai Tasha dalam filem Bohsia memang beri satu impak yang besar bukan sahaja buat diri sendiri tetapi juga orang yang menonton filem Bohsia," ujarnya.
Nampaknya segala kerja kerasnya mula membuahkan hasil meskipun setelah filem Bohsia ditayangkan, Nabila dikritik hebat dek keberaniannya melakonkan aksi panas.
"Saya juga bersyukur kerana orang mula menerima saya sebagai Nabila Huda bukannya Nabila anak Amy Search kerana saya mahu berdiri di kaki saya sendiri.
"Susah nak puaskan hati semua orang terutama penonton, ada yang suka dengan lakonan saya dan ada yang tidak. Jadi dengan adanya pencalonan ini, menunjukkan orang ramai sudah mula perasan kehadiran saya walaupun sudah lima tahun dalam bidang lakonan.
"Menang atau tidak, saya tidak kisah. Apa yang penting orang masih mahu lihat saya berlakon," ujarnya yang kini turut bergelar seorang penyanyi.
Mengikut di belakang dalam kategori yang sama dengan Nabila adalah penyanyi dan pelakon kecil molek, Liyana Jasmay.

Liyana yang tercalon atas tiket filem Papadom turut melahirkan rasa gembiranya meskipun filem arahan Afdlin Shauki itu belum lagi ditayangkan di pawagam.
"Pastinya saya gembira apabila tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik kerana filem Papadom belum lagi ditayangkan tetapi nama saya sudah tercalon," katanya.
Selain Nabila, Liyana turut bersaing dengan Nadia Mustafar (Jangan Tegur), Sharifah Amani (Sayang U Can Dance) dan Heliza (Syurga Cinta).
Melihat kepada senarai pencalonan kebanyakan mereka terdiri daripada pelakon wanita pelapis dan sudah pasti saingan hebat menanti Liyana.
Bagaimanapun, Liyana tidak kisah jika gagal membawa pulang sebarang anugerah kerana baginya tercalon dalam FFM 22 mewakili sebuah filem hebat sudah memadai.
"Saya dapat berlakon dengan orang yang hebat dan dalam Papadom kisahnya amat melucukan dan sungguh meruntun jiwa. Saya harap dengan tercalonnya saya dapat memberikan impak yang positif terhadap Papadom yang akan mula ditayangkan tidak lama lagi.
"Bagi saya Papadom sebuah naskhah yang cukup bagus. Ia mengisahkan antara seorang bapa (Afdlin) yang terlalu menjaga sangat anaknya Mia, watak lakonan saya. Saya berbangga dapat berkerjasama dengan Afdlin," luahnya yang mula berlakon sejak umur sembilan tahun.
Debaran FFM 22 turut dirasai oleh pelakon baru Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir yang tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bersama nama-nama hebat seperti Norkhiriah (Papadom), Vanidah Imran (Setem), Adibah Nor (Talentime) dan Salina Saibi (Bohsia).

Berbanding dengan nama-nama yang turut tersenarai, Scha yang berusia 25 tahun merupakan pelakon baru yang termuda berada dalam kategori tersebut.
Sudah pasti ia sedikit mengusarkan Scha yang tercalon menerusi filem Histeria tetapi dia tanpa segan memberitahu sasarannya adalah untuk membawa pulang anugerah.
Jelas Scha, dia terlalu teruja apabila namanya turut tercalon memandangkan pada FFM 22 merupakan medan anugerahnya yang pertama.
"Ini pertama kali nama saya tercalon dan saya bersyukur kerana ada orang yang nampak bakat saya. Tanyalah mana-mana pelakon, apabila nama tercalon sudah pasti berharap untuk menang.
"Tetapi saya tahu juga ukur baju di badan sendiri, tengoklah nama-nama pelakon dalam kategori saya, semuanya hebat-hebat belaka. Rasanya kalau menang bagus sangat, kalau tidak menang saya tidak kisah. Kiranya, ia boleh dijadikan motivasi buat diri saya untuk bekerja lebih keras dan menimba lebih banyak ilmu daripada pelakon-pelakon senior," tuturnya.

Scha yang mula dikenali menerusi drama bersiri Awan Dania cukup berbangga apabila dia dikatakan antara pelakon pelapis yang mempunyai kualiti lakonan yang bagus, tanpa hingar bingar cerita sensasi.
"Syukur alhamdulillah, memanglah bangga apabila ada pengarah dan pelakon senior menghargai bakat saya. Bukannya apa, sekurang-kurangnya ada orang yang melihat lakonan saya," katanya.

Sebanyak 25 anugerah yang tercalon dalam FFM 22. Ia terbahagi kepada 14 Anugerah Perdana dan 11 Anugerah Cipta.
Malam Anugerah FFM 22 yang akan diadakan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah pada 8 Ogos depan bukan sahaja bakal membawa rombongan artis ke sana Sabah, sebaliknya bermula dari 3 Ogos sehingga 7 Ogos pelbagai aktiviti dijalankan bagi memeriahkan lagi FFM 21.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel penerbitan video, bengkel penulisan skrip, bengkel lakonan, sesi bertemu bintang legenda serta tayangan filem percuma bermula 6 Ogos sehingga 8 Ogos di GSC 1Borneo dan GSC Kilan, Kota Kinabalu, Sabah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: