JANGAN salah anggap 'kesombongan' aktres jelita Rozita Che Wan. Mungkin ramai yang beranggapan dia sombong, tidak mudah mesra dan jual mahal.
Tapi sebenarnya Rozita masih berpegang kepada prinsip aktres lama-lama yang tidak suka menayangkan muka di tempat-tempat awam kerana menjaga eksklusiviti.
Bagi aktres yang terkenal dengan sikapnya yang 'reserved' dan tidak mudah disapa ini, setiap artis dan selebriti perlu menjaga eksklusivitinya bagi mengelakkan nama mereka tercemar dek kerana terlalu suka berpeleseran.
Bagi bekas peragawati ini, dia mempunyai sebab tertentu yang membuatkan dirinya jarang dilihat di tempat-tempat umum begitu juga dengan majlis-majlis keramaian.
Tambahan lagi, nama Rozita kini agak dikenali dan duta beberapa produk kosmetik dan wanita.
Sebagai artis dan selebriti, Rozita akui dia perlu menjaga nilai yang perlu ada dalam diri seseorang ‘public figure’ itu
“Ya, memang saya menjaga eksklusiviti diri dan sebab itulah orang jarang nampak saya di luar.
“Saya menjaga nilai eksklusiviti kerana mahu orang sentiasa teruja untuk melihat saya dalam jangka masa yang lama,” katanya yang semakin banyak menghiasi drama dan filem tempatan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada pihak yang melabelkan dirinya sebagai seorang yang sombong namun, Rozita sendiri menjawab: “Eksklusif tu tak semestinya sombong.”
Tambahnya, “Jika orang yang tak kenal saya, mungkin dia akan kata saya sombong. Bagi saya, eksklusiviti tu penting bagi setiap artis.
“Saya sendiri memang meletakkan nilai itu dalam diri sendiri sejak bergelar artis lagi sebagai suatu ‘guideline’.”
Jelas Rozita, disebabkan itu dia terpaksa menghadkan dirinya daripada menyertai majlis keraian secara sembarangan.
“Saya perlu pilih juga majlis mana yang saya nak pergi. Ia bergantung kepada majlis itu.
“Misalnya, kalau majlis tu memang benar-benar memerlukan saya di situ, saya akan pergi.
“Saya tak boleh hentam keromo dan sesuka hati untuk pergi ke sesebuah majlis itu.
“Saya tak nak jika setakat memeriahkan majlis kerana tak nak nampak terlalu ‘bersepah’.
“Kalau saya tidak ada shooting, jarang orang lihat saya di luar. Saya memang hadkan penampilan saya di tempat awam,” jelas pelakon ‘Diari Ramadhan Rafique’ dan ‘Puteri Aurora Beradu’ ini.
Menurut Rozita, masa lapangnya selalu diisi dengan menumpukan perhatian kepada anak-anaknya.
“Lagipun, saya bukannya sempat untuk selalu keluar kerana sibuk dengan pengambaran,” jawab Rozita lagi.
Atas nilai ‘mahal’ yang ada dalam dirinya, Rozita semakin mendapat tempat di kalangan syarikat-syarikat yang ingin melantiknya sebagai duta produk.
Sebelum ini, Rozita pernah bergelar duta produk kecantikan Garnier dan Avon Jewellery.
“Alhamdulillah, setakat ini memang banyak tawaran untuk ‘endorsement’ produk dan Insya-Allah pada hujung tahun ini saya akan ditawarkan sebagai duta dua produk,” tuturnya dalam nada gembira.
Rozita menambah, disebabkan itu dia perlu sentiasa menjaga reputasinya sebagai seorang artis yang berimej bersih.
Dan sebelum menamatkan perbualan, Rozita tetap menekankan perkataan .....‘saya tak boleh selalu bersepah’.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: