Wednesday, August 12, 2009

Asri Rabbani: Saya nasihatkan Akhil Hayy supaya jauhkan cerita fitnah

Kumpulan Rabbani bergambar selepas selesai memeterai perjanjian kerjasama untuk tahun yang ke-18 bersama Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

BERPESAN-pesan untuk berbuat kebajikan adalah tanggungjawab bersama. Mungkin kesedaran tentang pentingnya pesanan 'amar makruf nahi mungkar' inilah maka kumpulan nasyid Rabbani tidak teragak-agak sering menitipkan nasihat sesama rakan artis.

"Memang benar semua insan, tidak kira seseorang itu selebriti atau tidak, sentiasa akan menghadapi masalah dalam hidup, malah seorang ustaz juga sentiasa menghadapi masalah," jelas Ustaz Mohd Asri Ibrahim selaku penyanyi utama Rabbani.

Ustaz Asri tanpa berselindung mengakui dia juga pernah menasihati sahabat baiknya sendiri, penceramah dan penyanyi Ustaz Akhil Hayy yang dilanda begitu banyak kontroversi di dalam rumah tangganya hingga membawa kepada penceraian.

"Saya dengan dia (Akhil) memang rapat, cuma tidak semua hal-hal individu dia saya tahu lagipun dia sendiri tidak pernah ceritakan pada saya.

"Saya tidak kisah jika dia nak bercerai ke, kahwin lagi atau tidak, tapi saya pernah nasihatkan dia supaya menjauhi perkara yang mendatangkan fitnah.

"Saya dah cakap kat dia, kalau betul dia tidak buat semua perkara ni, jadi dia perlu jauhi benda-benda yang mendatangkan fitnah pada dia.

"Tapi macam-macam cerita keluar pasal dia dekat surat khabar, jadi semua tu dah mendatangkan fitnahlah pada dia," kata Ustaz Asri yang agak sedih dengan cara hidup artis sekarang.

Bagi Ustaz Asri sendiri dia tidak boleh mengulas lanjut dengan apa yang melanda sahabat baiknya itu kerana dia sendiri tidak mendapat pengakuan dari Ustaz Akhil sendiri.

"Saya pun tak boleh cerita banyak, sebab Akhil sendiri tidak pernah membuat apa-apa pengakuan pada saya.

"Bagi saya Akhil ada ilmunya sendiri, jadi dia lebih tahu bagaimana untuk menangani masalah dia sendiri dan biar peminat-peminat dia yang fikir nak sokong dia atau tidak," katanya.

Ustaz Asri juga menjelaskan sebagai seorang yang beragama Islam, tidak kira seseorang itu selebriti atau tidak, kita haruslah sentiasa berpegang kembali kepada ajaran Allah s.w.t.

"Dalam kehidupan kita, biar apapun terjadi yang penting kita harus berpegang teguh pada ajaran agama kita. Jika ada masalah, kita harus selesaikan mengikut ajaran agama kita.

"Ini saya lihat kebanyakan mereka selesaikan masalah mengikut nafsu, ikut cara syaitan. Kita banyak dengar kes artis kahwin dan cerai, kita kena tengok pada diri kita juga samaada kita rajin sembahyang atau tidak.

"Kalau kita rajin sembahyang, Insya-Allah semua masalah dalam rumah tangga dapat diselesaikan. Kita jangan terlalu ikutkan nafsu, yang paling penting kita harus kembali kepada Allah s.w.t," jelasnya lagi.

Persembahan kali ke-18 di Hotel Singgahsana

Untuk kesekian kalinya, kumpulan nasyid popular Rabbani memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.

Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan 'live' mereka.

Menurut Ustas Asri selaku ketua kumpulan Rabbani, mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya.

"Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya," katanya.

Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan 'Citarasa Ramadan 1 Malaysia' bermula 1 Ramadan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: