KUALA LUMPUR - Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) mendedahkan ada individu menggunakan nama stesen radio itu bagi mengutip derma kononnya bagi mengisi tabung anak yatim.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, surat kutipan itu menggunakan kepala surat tertera nama IKIM.fm dan lengkap dengan e-mel dan nombor telefon bimbit.
"Surat itu meminta penderma menyalurkan sumbangan secara terus ke akaun bank milik penulis surat ini," ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Nik Mustapha, taktik tersebut digunakan oleh suspek semata-mata bagi mengaburi mata penderma.
"Bagaimanapun, tindakan licik itu terbongkar apabila seorang pendengar menghubungi radio tersebut meminta kepastian berhubung kutipan derma itu.
"Kami minta pendengar itu memberi satu salinan surat tersebut kepada kami dan ternyata ia satu penipuan," katanya.
Menurut Nik Mustapha, IKIM.fm tidak pernah mempunyai kakitangan seperti yang tertera dalam surat itu apatah lagi membuat kutipan derma menggunakan ejen.
Dalam pada itu, Pengarah Radio IKIM.fm, Ir. Ahmad Jais Alias memberitahu, insiden itu berlaku 24 Julai lalu iaitu tarikh pendengar tersebut menghubungi IKIM.fm.
"Suspek menjanjikan imbuhan kepada penderma di mana nama mereka akan disiarkan di radio dan diberi iklan percuma," katanya.
Ahmad Jais berjaya menghubungi suspek dan lebih memeranjatkan dia dijemput untuk berbuka puasa bersama anak-anak yatim menjelang Ramadan di sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: