Almy buktikan boleh terima pelbagai watak untuk perkukuh kerjaya lakonan
KIRA-KIRA 34 tahun lalu, Datuk Jamil Sulong mengarahkan filem Dayang Senandong dengan membariskan pelakon seperti Datuk Ahmad Mahmud, Datuk Sarimah Ahmad, Malik Sutan Muda, Haji Mahadi dan Ibrahim Pendek. Watak jahatnya disandang dan dimainkan dengan cukup berkesan oleh Salleh Kamil.
Dalam filem itu, Dayang adalah seorang Puteri Raja yang berkulit hitam akibat satu sumpahan. Untuk menghilangkan sumpahan itu, beliau harus jauh dari istana. Bermulalah detik di mana Dayang berkahwin tetapi mendapat penghinaan dan seksaan daripada ibu mentuanya yang berdarah raja.
Jalan cerita, watak dan perwatakan filem Dayang Senandong yang dikeluarkan pada tahun 1965 hampir sama dengan Senandung Si Dayang. Tidak dinafikan drama bersiri ini memang diadaptasi daripada filem itu.
Watak Puteri dalam drama Senandung Si Dayang dipegangnya oleh Almy. Sama seperti Sarimah, dia juga perlu ‘dihitamkan’ seluruh tubuhnya seperti yang dikehendaki oleh skrip. Dan ia memang satu cabaran buat kepada pelakon muda ini.
“Karakter ini lain sedikit daripada watak yang selalu saya bawakan. Sangat luar biasa dan bukan calang orang yang mampu menahan seksaan berada dalam solekan hitam legam di kulit. Tapi saya percaya setiap seksaan itu membawa hasil yang lebih bagus.
“Biarpun berdepan dengan masalah kulit yang sensitif terutama terhadap solekan, saya mencabar diri untuk menerima watak ini. Kerana watak ini juga kulit muka dan badan jadi gatal. Tapi itu bukan alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik untuk watak ini.
“Sekurang-kurangnya, saya mungkin dapat merasai pengalaman yang sama pernah dilalui Datuk Sarimah (Ahmad). Watak ini memang terlalu mencabar terutama dalam melahirkan emosi dan ekspresi tertentu dalam keadaan wajah hitam legam. Kalau nak menangis, saya kena keluarkan dari hati,” katanya yang sudah empat tahun berkecimpung dalam bidang seni.
Demi watak Puteri dalam Senandung Si Dayang, Almy Nadia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan krew gara-gara solekan hitam dengan tidak menyentuh sebarang objek kerana tidak mahu ia boleh meninggalkan kesan kurang memuaskan.
“Setiap apa yang saya sentuh, pasti akan meninggalkan kesan pada warna hitam. Jadi saya kena berhati-hati. Lalu, tidak hairanlah, ada kalanya, saya jadi segan kerana dilayan macam anak raja,” jelasnya.
Namun, katanya, dia sememangnya jarang bercakap ketika berada di lokasi penggambaran kerana mahu memberikan tumpuan terhadap watak yang dipegangnya.
“Selalunya, sebelum ke lokasi saya membeli roti dan air kerana malas nak keluar dari set penggambaran apatah lagi solekan di kulit perlu dijaga dengan baik.
“Tapi saya tetap berpuas hati. Watak Puteri sebagai bukti untuk saya mampu dan bersedia melakonkan apa saja watak dengan baik. Saya boleh mempelbagai karektor. Tidak terhad dengan peranan gadis yang terkinja-kinja, penggoda atau perampas suami orang,” jelasnya.
Anak sulung daripada empat beradik ini agak keberatan untuk bercakap soal peribadi, lebih-lebih lagi mengenai hubungannya dengan Fizz Fairuz. Malahan, pelakon muda ini seperti terpinga-pinga apabila ditanya sejauh mana kebenaran dengan desas-desus yang mengatakan dia sudah bertunang dengan Fizz.
Menafikan perkara itu, Almy berkata, mereka sebelum belum ada perancangan untuk mengikat tali pertunangan.
“Kalau ada ura-ura perkara ini, saya akan maklumlah kepada rakan media. Tapi buat masa ini, kami belum berbincang mengenai soal bertunang atau kahwin,” katanya.
Menurutnya, perkara penting yang sedang diutamakan sekarang ialah terus merebut peluang berlakon. Kebetulan pula mereka kini sibuk menghabiskan masa di lokasi penggambaran kerana masing-masing ada kerja yang perlu dilakukan.
“Apabila kami berada di lokasi penggambaran berasingan kerana masing-masing ada kerja, timbul cerita kononnya kami sudah berpisah. Ketika itu Fizz sibuk dengan drama Nur Kasih, saya pula terbabit dengan drama Senandung Si Dayang.
“Lebih baik kami sibuk dan tidak selalu dilihat bersama. Kami mahu tumpu perhatian kepada kerjaya dan cari duit untuk masa depan yang lebih terjamin. Jika kami boleh pikul tanggungjawab dengan lebih jauh, pastinya kami akan duduk berbincang. Bertunang dan berkahwin bukanlah perkara mudah,” jelasnya lagi.
Almy yang sudah tiga tahun menjalin hubungan dengan Fizz, berkata, seperti wanita lain, dia juga ada keinginan untuk berkahwin dan berkeluarga tetapi ia perlu difikirkan pada masa sesuai.
“Saya tahu sampai bila hendak kata ‘tak bersedia’. Tapi tiba masanya, kami akan memikirkan dengan serius mengenai perkara ini. Buat masa ini, hubungan kami berjalan dengan baik. Soal berkahwin itu biarlah ia timbul secara bersahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: