Wednesday, August 5, 2009

The Proposal menyentuh hati

Lambakan filem Hollywood di pawagam hingga tidak tahu mana satu yang menjadi pilihan. Apa kata kita menjenguk sebentar filem romantik komedi arahan Anne Fletcher, The Proposal. Filem ini dibintangi oleh Sandra Bullock (Margaret Tate) dan Ryan Reynolds (Andrew Paxton).

The Proposal mengisahkan Margaret, bos kepada Andrew yang telah memaksa jejaka berkenaan mengahwininya semata-mata untuk mendapatkan visa sekaligus menghalangnya daripada dibuang kerja.

Margaret, warga Kanada yang terpaksa mendapatkan visa untuk terus menetap di Amerika Syarikat. Andrew pula dalam dilema sama ada menurut kemahuan Margaret ataupun diberhentikan kerja. Walaupun cantik, namun Margaret bukanlah wanita idaman kerana sikapnya yang sombong dan angkuh. Walau bagaimanapun, lakonan mereka sebagai pasangan kekasih di hadapan keluarga Andrew membibitkan perasaan cinta yang tidak disangka-sangka.

Bagi mereka yang inginkan filem yang santai dan otak tidak perlu ligat berputar mencari logik sesebuah plot, The Proposal merupakan pilihan yang sesuai kerana jalan ceritanya mudah difahami namun digarap dengan menarik oleh Anne Fletcher.




Walaupun The Proposal bukanlah pilihan untuk memenangi sebarang pencalonan Anugerah Oscar, namun sekurang-kurangnya keletah setiap watak di dalam filem ini mampu menceriakan hari anda. Filem romantik komedi ringan yang mampu menyentuh hati dan perasaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: