Wednesday, August 12, 2009

Polis dijangka umum Noordin masih bebas


SEORANG anggota polis semalam mengawal sebuah rumah di Bekasi, Indonesia iaitu lokasi dua suspek pengganas ditembak mati dalam satu serbuan.



NOORDIN


JAKARTA - Polis Indonesia dijangka merumuskan bahawa pengganas yang paling dikehedaki iaitu Noordin Mohammad Top masih bebas, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut polis Indonesia, pihaknya sudah mengenal pasti secara rasmi lelaki yang terbunuh dalam satu serangan terhadap sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan perancang utama kumpulan pelampau Jemaah Islamiah (JI), Noordin Mohammad Top terbunuh dalam satu operasi anggota antipengganas Densus 88 pada Sabtu lalu.

"Kami akan mengumumkan maklumat terperinci apa yang terjadi dalam kejadian pengemboman di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton esok (hari ini)," kata jurucakap polis, Nanan Sukarna.

Polis sebelum ini percaya lelaki yang mati di Temanggung itu ialah Noordin tetapi tidak membuat sebarang pengesahan sebelum ujian asid deoksiribo nukleik (DNA) dilakukan.

Namun analisis jap jari mendapati mayat berkenaan bukan Noordin.

Warga Malaysia itu dipercayai menjadi perancang utama sejumlah serangan di Indonesia termasuk serangan di dua hotel berkenaan pada 17 Julai lalu.

Laporan sebelum ini menyebut di hospital itu terdapat tiga jenazah yang dipercayai pengganas yang ditembak mati dalam operasi polis di dua tempat iaitu dua orang di Bekasi di sini dan seorang lagi di Temanggung.

Media massa tempatan membuat spekulasi bahawa dua orang yang ditembak mati di Bekasi itu ialah Air Setiawan dan Eko Joko Sarjono manakala lelaki yang ditembak mati di Temanggung pula pada mulanya dikatakan Noordin tetapi kemudiannya menyebutkan pula beberapa nama lain.

Nama terbaru yang dikaitkan dan disebutkan oleh laman web detikcom ialah Reno alias Tedi alias Mubarok, yang dikatakan anggota jaringan Noordin, yang handal membuat bom yang dipelajarinya daripada Dr. Azahari, seorang lagi rakyat Malaysia yang ditembak mati pada tahun 2005.

Tumpuan kini terarah kepada kemungkinan mayat tersebut ialah Ibrohim iaitu seorang pengikut JI yang bekerja di sebuah kedai bunga di Ritz-Carlton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: