Saturday, August 8, 2009

Perompak kecewa mati ditembak - Dua hari lalu mereka hanya mendapat RM10,000 merompak kedai emas


BEBERAPA anggota polis memeriksa barang-barang yang ditemui daripada dua lelaki yang ditembak mati di Taman Shamelin, Cheras semalam.





KUALA LUMPUR - Dua hari lalu tiga lelaki merompak sebuah kedai emas di pasar raya Econsave di Alam Damai, Cheras dekat sini.

Bagaimanapun, ketika kejadian suspek-suspek itu dikatakan tersilap percaturan apabila 'tercuri' barangan kemas perak dan bukannya emas putih seperti disangka.

Habuan yang dirancang mencecah ribuan ringgit tetapi hasilnya hanya RM10,000.

Mungkin kecewa dengan kegagalan itu, dua daripada tiga suspek itu merancang merompak pula sebuah kilang di Jalan 8/91 Kawasan Perindustrian Taman Shamelin, Cheras semalam.

Bagaimanapun, hajat mereka tidak kesampaian apabila mati ditembak ketika menghampiri kilang di situ.

Kejadian pukul 1.50 pagi itu berlaku apabila sepasukan polis terserempak dengan kereta Proton Perdana berwarna merah hati yang dinaiki dua lelaki yang mencurigakan di Taman Shamelin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mat berkata, ketika itu, kereta tersebut dilihat dipandu laju masuk ke kawasan kilang itu.

"Anggota polis yang menaiki kereta Proton Waja dapat menghalang kereta itu tetapi belum sempat anggota kita berbuat apa-apa pasukan itu disambut dengan dua das tembakan," kata beliau di sini semalam.

Salah satu tembakan itu terkena paha kiri Lans Koperal Mohd. Haswadi Zamri Shaari, 30.

Menurut beliau, tindakan agresif kedua-dua lelaki itu menyebabkan anggota polis membalas tembakan tersebut sehingga kedua-dua lelaki itu mati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: