Saturday, August 8, 2009

Penjenayah licik dibebas


ANAK Biggs, Ronnie memegang dokumen yang menyatakan pembebasan bapanya di Norfolk, Norwich semalam.



GAMBAR fail menunjukkan Biggs pada 1997 di Rio De Janiero.


LONDON - Penjenayah paling licik di Britain, Ronnie Biggs dibebaskan semalam pada usia 79 tahun selepas beberapa tahun dipenjara kerana pembabitannya dalam rompakan yang disifatkan antara terhebat sepanjang zaman dikenali sebagai The Great Train Robbery.

Selepas 35 tahun hidup sebagai orang buruan di beberapa negara termasuk Sepanyol, Australia, Biggs akhirnya menetap di Brazil sebelum memilih untuk pulang ke Britain pada 2001 kerana terlalu rindukan tanah airnya.

Dia dihantar ke penjara sejurus selepas itu tetapi dibebaskan kelmarin setelah menerima pengampunan ihsan Setiausaha Kehakiman, Jack Straw.

Straw menyatakan keputusan membebaskan Biggs dibuat memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin teruk selepas dia menghidap pneumonia.

Biggs dilahirkan di selatan London pada 1929 dan pernah terbabit dalam beberapa jenayah kecil sebelum turut serta dalam rompakan tersebut pada 1963.

Geng tersebut melarikan wang tunai berjumlah £2.6 juta (RM15.3 juta), dari sebuah kereta api mel selepas memukul hingga pengsan pemandunya, Jack Mill dengan sebatang besi.

Jumlah tersebut mencatat rekod sebagai rompakan terbesar pada era berkenaan.

Biggs memainkan peranan kecil dalam rompakan itu dan diberikan habuan kira-kira £150,000 (RM886,670)) pada hari jadinya yang ke-34 tetapi dia tertangkap beberapa minggu kemudian dan dihukum penjara 30 tahun pada 1964.

Selepas menjalani hukuman penjara 15 bulan di sebuah penjara di sini, dia melarikan diri dengan menggunakan sebuah tangga tali sebelum menaiki sebuah van ke Perancis dan berterusan menjadi orang buruan polis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: