Monday, August 10, 2009

Pengesahan Noordin dua minggu


BEBERAPA penduduk melihat sebuah rumah yang menjadi tempat persembunyian lelaki dipercayai Noordin di Kampung Beji, Jawa Tengah semalam.


JAKARTA - Polis Indonesia kini bertungkus-lumus mengenal pasti kesahihan mayat yang ditembak mati pada Sabtu lalu di Dusun Beji, Temanggung sebagai Noordin Mohammad Top.

Menurut penasihat antipengganas pemerintah Indonesia, Dynno Chressbon, pasukan forensik khas merancang untuk mengumpul sampel asid deoksiribonukliek (DNA) daripada ahli keluarga Noordin.

Beliau berkata, salah seorang isteri dan anak Noordin dalam perjalanan ke Jakarta bagi membantu siasatan.

Sementara itu, polis Indonesia menyatakan ia memerlukan dua minggu bagi mengesahkan sama ada Noordin terbunuh dalam pertempuran di sebuah rumah di Dusun Beji.

Jurucakap polis Indonesia, Nanan Soekarna berkata: "Keseluruhan proses DNA akan mengambil masa selama dua minggu.

"Ia merupakan prosedur yang biasa," katanya.

"Ujian itu sedang dilakukan di hospital polis Kramat Jati," katanya yang merujuk kepada hospital yang menempatkan mayat lelaki yang dipercayai sebagai Noordin.

Noordin terbunuh selepas ditembak dan terkena letupan daripada pasukan memerangi pengganas Indonesia yang dilatih oleh Amerika Syarikat (AS).

Kepungan selama 16 jam dilakukan di rumah itu sejak Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: