Monday, August 10, 2009

Penduduk mahu usir pemilik rumah



BUMBUNG rumah yang menjadi tempat lelaki dipercayai Noordin mati ditembak rosak teruk di Dusun Beji, Jawa Tengah.


BEJI, Indonesia - Penduduk Kampung Dusun Beji Jurang, Kelurahan Kedu, Temanggung, Jawa Tengah, sepakat untuk mengusir Djahri iaitu pemilik rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Noordin Mohammad Top, lapor sebuah akhbar semalam.

Djahri atau Muhzahri, yang menjadi warga Dusun Beji tidak kurang empat tahun itu akan diminta untuk tidak lagi tinggal di rumah yang dibedil oleh pasukan polis Densus 88 Antiteror dengan peluru dan bom sehingga menyebabkan seorang lelaki yang mengaku sebagai Noordin mati.

"Jika Pak Djahri pulang, dia diminta tidak lagi tinggal di dusun ini. Tetapi itu belum keputusan yang muktamad.


SEORANG petani melihat rumah Djahri yang dihujani peluru di Dusun Beji, Jawa Tengah semalam.


"Semua penduduk kampung akan bertemu dulu untuk bermusyawarah tentang hal ini," kata Ketua Kampung Beji Jurang, Hartoyo.

Menurutnya, setakat ini, dia belum mengetahui di mana Djahri berada kerana dia ditangkap polis pada Jumaat lalu.

Djahri ialah pemilik rumah yang menjadi tempat persembunyian Noordin. Rumah Djahri mengalami kerosakan teruk akibat dibedil dengan peluru dan bom petrol.


SEBAHAGIAN anggota polis semalam mengawal rumah yang menjadi lokasi lelaki dipercayai Noordin terbunuh di Dusun Beji, Jawa Tengah.


Dia memiliki seorang isteri bernama Endang Istiningsih. Hartoyo menjelaskan, sebelum menjadi warga Dusun Beji Jurang, Djahri ialah penduduk Dusun Siwuh, Kelurahan Tejo, Kecamatan Kedu, Temanggung.

Djahri tinggal di rumah yang dikelilingi sawah, ladang tembakau, kebun jagung, dan bukit setinggi 100 meter itu sekitar empat tahun lalu.

Noordin mati ditembak dalam operasi polis yang bermula pada Jumaat lalu sehingga pagi kelmarin di rumah milik Djahri itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: