
PENGKALAN KUBOR - Masalah kekurangan bekalan gula di pasaran tempatan menjadi lebih kronik apabila ada pihak sengaja 'menangguk di air keruh' dengan bersekongkol bersama penyeludup membawa barangan kawalan itu keluar melalui sempadan negara.
Tindakan mengaut keuntungan berlipat kali ganda itu dilakukan kerana harga jualan gula di negara jiran itu sekitar RM2.10 sekilogram (kg) sedangkan gula subsidi di Malaysia hanya RM1.45 kg.
Ia didedahkan sendiri oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui intipan yang dibuat dan akhirnya membawa kepada kejayaan merampas 8,000 kilogram gula bernilai hampir RM16,000 dari sebuah stor di Pengkalan Cikgu, di sini pada 10.30 malam kelmarin.
Dalam serbuan itu, seorang kelindan lori berumur 29 tahun ditahan ketika memunggah gula dari sebuah lori ke sampan yang menunggu di Sungai Golok manakala lapan orang rakan-rakannya yang lain berjaya melepaskan diri.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Supritendan Kamaruddin Yusoff berkata, hasil intipan mereka mendapati penyeludup mengangkut gula dari beberapa premis pembekal sekitar Tumpat menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, stok seludup itu dibawa ke stor berdekatan dengan pangkalan haram tersebut.
"Lokasi stor yang berdekatan dengan sungai memudahkan kerja mengangkut gula ke dalam sampan.
"Ada segelintir pembekal semakin tamak, mereka cuba ambil jalan singkat dengan jual balik ke negara jiran dengan harga tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, Kamaruddin juga memberitahu, sekitar Tumpat memang kawasan 'panas' penyeludupan gula.
Beliau berpendapat, permintaan untuk barangan keperluan itu kian bertambah sebagai persediaan menyambut musim perayaan bulan depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: