| TOLAK ketepi kekurangan yang dimilikinya. Meskipun sengau, masalah itu tidak langsung mengganggunya ketika menyanyi. |
TOLAK ketepi kekurangan yang dimilikinya. Meskipun sengau, masalah itu tidak langsung mengganggunya ketika menyanyi.
Saat melontarkan vokalnya, langsung tidak terdengar bunyi sengau itu. Bahkan, anak muda ini mempunyai vokal yang mampu memukau dengan kemerduan suaranya. Benar kata orang, setiap insan ada kekurangan dan kelebihan masing-masing.
Bagaimanapun, bukan itu yang mahu diperkatakan. Dek kerana masalah ketika berkomunikasi, Azmira Mohd Arif atau lebih selesa disapa Azmir sering ditolak oleh syarikat rakaman. Sudah berpeluh memanjat tangga, namun tiada satu pun syarikat sudi mengambilnya sebagai artis.
Meskipun begitu, soal rezeki adalah ketentuan Tuhan. Siapa tahu, walau dipandang sinis dek syarikat rakaman tempatan kerana kekurangannya, Kris Media Pte Ltd dari Singapura pula yang membuka pintu.
“Mulanya, memang sukar mencari syarikat yang sudi mengambil saya sebagai artis rakaman. Kebanyakan mereka mengatakan akan menghubungi saya kembali. Namun saya tahu itu sekadar omong kosong mereka.
“Namun, saya tidak salahkan mereka. Saya tahu mereka hanya berniaga. Jadi, pemilihan artis itu kena tepat. Mungkin mereka tidak berani memberi peluang kepada saya.
“Walaupun begitu, saya bersyukur Kris Media sudi melamar saya sebagai artis rakaman. Sudah terlalu lama saya menunggu peluang ini dan akhirnya ia sampai juga,” katanya.
Bagi Azmir, bernaung di bawah Kris Media memberinya kekuatan tersendiri. Selain dapat merakam album, Azmir berpeluang mencipta nama bukan saja di Malaysia, malah Singapura.
“Kris Media ditubuhkan di Singapura. Sedikit sebanyak ia menjadi peluang keemasan saya untuk mencuba ruang di sana. Malah, Kris Media turut menyatakan akan mempromosi album saya di Malaysia dan juga di sana.
“Kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah single saya. Antaranya ialah Misteri Cinta Sakti, Maafkan Aku dan Cinta Jasmin (duet bersama Betty Banafe).
“Tambah menarik, album ini memuatkan lagu daripada pelbagai genre. Sebagai album pertama, saya mahu peminat dan pendengar menilai sejauh manakah bakat saya.
“Bagi peminat di Pulau Pinang, saya bakal melancarkan album ini di sana di Kompleks Bukit Jambul, hari ini jam 2 petang dan kemudian majlis pelancaran kedua akan diadakan di Restoran Sri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur 12 Ogos ini. Harap-harap album ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar dan peminat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: