Sunday, August 2, 2009

Erra lebih realistik


KEMUNCULAN program realiti Gugu Gaga Erra yang memaparkan kehidupan Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran selepas kehadiran puteri sulung mereka, Engku Aleesya yang kini berusia empat bulan, mengundang pelbagai persepsi.

KEMUNCULAN program realiti Gugu Gaga Erra yang memaparkan kehidupan Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran selepas kehadiran puteri sulung mereka, Engku Aleesya yang kini berusia empat bulan, mengundang pelbagai persepsi.

Ada yang suka kerana dapat melihat kehidupan sebenar bekas ratu cantik negara itu dan tidak kurang juga kritikan kerana ada sesetengah babak seperti diada-adakan, tidak ubah seperti drama yang berskrip.

Lebih-lebih lagi gelagat mereka dengan Pembantu Peribadi (PA) barunya, Azren yang kerap melakukan kesilapan dan dimarahi.

Kata Erra, dia sedikitpun tidak terasa hati dengan kritikan itu, bahkan gembira apabila program 10 episod yang bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam itu mencatat rating tinggi setiap minggu apabila disaksikan 800,000 penonton.

“Ini kisah realiti saya, jadi mereka yang selalu bersama saya akan masuk dalam program ini. Itu kita tidak boleh elak kerana mereka berurusan dengan saya setiap hari.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan memang ada babak yang sengaja kita adakan untuk mewarnai lagi program itu. Bukan mudah memuaskan hati semua orang, jadi lihatlah apa yang dipaparkan itu daripada sudut positif. Lagipun program ini dibuat khusus untuk peminat.

“Program itu tidak akan disambung kerana saya pun rimas asyik diekori kru. Hari yang tiada penggambaran pun mereka tetap datang ke rumah untuk berbincang kandungan cerita seterusnya.

“Apa juga pandangan orang terhadap program ini, saya fikir positif saja. Mungkin Gugu Gaga Erra membuka jalan kepada artis lain untuk berkongsi kehidupan mereka di rumah bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran model televisyen baru Philips, baru-baru ini.

Selepas 17 tahun bergelumang di pentas seni, primadona filem Melayu ini tidak pernah menganggap kemunculan ramai artis baru sebagai pesaing.

Hakikatnya, dia lega kerana industri sudah ada pelapis bagi menggantikan tempatnya dan pelakon sezamannya. Bahkan kehadiran generasi baru ini sekali gus memeriahkan lagi penerbitan filem dan drama Melayu.“Persaingan sentiasa ada, tetapi zaman saya dulu tidak ramai pelakon seperti hari ini. Penonton asyik lihat wajah sama di televisyen dan pawagam. Balik balik muka saya sampai ada yang merungut.


“Selepas saya, nama Maya Karin menjadi sebutan dan saya yakin dia boleh pergi jauh lagi. Sekarang ramai bakat baru hinggakan sukar meramal siapa yang boleh meninggalkan impak besar dalam industri.

“Dalam ramai pelakon, saya tertarik dengan lakonan Nabila Huda dan Noorkhiriah. Mereka mampu menghidupkan karektor dengan baik, malah saya percaya jika diberi peluang serta watak yang bagus, mereka akan jadi bintang hebat,” katanya.

Sedar apa yang ada padanya hari ini hanya pinjaman semata-mata, pelakon, penyanyi dan pengacara ini sudah bersedia seandainya takhtanya diambil insan seni lain.

“Dari awal saya bersedia menghadapi apa saja kemungkinan. Saya tidak sedar bila digelar primadona. Setahu saya, wartawan hiburan yang memberi gelaran itu dan bila-bila saja gelaran itu boleh beralih kepada artis lain.

“Saya sama sekali tidak terkilan jika itu berlaku. Saya selalu mengingatkan diri hidup ini bak putaran roda, tidak selamanya saya di atas.

“Alhamdulillah, saya tidak terkena sindrom primadona yang risau perhatian hilang. Saya gembira dengan apa yang saya ada hari ini, lebih-lebih lagi kehadiran Aleesya.

“Yang lebih membimbangkan saya jika tiada generasi pelapis, tetapi dengan perkembangan hari ini saya gembira kerana industri ada ramai bakat baru,” katanya yang kembali langsing selepas menjalani rawatan pelangsingan di Slim World.

Mengulas perkembangan terbarunya, Erra yang kembali sibuk menyelesaikan drama tertunggak selepas cuti bersalin akan menyambung penggambaran siri Mentua vs Menantu musim baru selepas Aidilfitri.

“Selain Mentua vs Menantu, saya menjayakan drama 26 episod arahan Rashid Sibir, Kasih Tercipta. Buat pertama kalinya saya melakonkan watak kelabu yang cuba memisahkan pasangan kekasih.

“Saya terima watak itu atas permintaan Astro yang mahu lari daripada watak baik yang disifatkan sebati dengan saya. Kalau ikutkan, saya kurang selesa membawa watak kelabu atau hitam, tetapi menganggapnya sebagai cabaran.

“Saya suka watak sederhana, kalau terpaksa hidupkan watak jahat, janganlah jahat sangat. Biarlah watak jahat itu ada kelas,” katanya.

Dia yang tidak sabar-sabar menanti tayangan filem terbarunya, Hidden, berkata kontraknya sebagai wajah eksklusif Astro sudah berakhir, tetapi jika diperlukan berlakon dalam drama siaran stesen berbayar itu selepas Aidilfitri, itu dikira kontrak baru.

“Saya tiada masalah andai kontrak itu mahu disambung. Lagipun saya selesa kerana tidaklah wajah saya ada di semua saluran televisyen. Bayaran yang diterima pun sangat berbaloi.

“Jika tiada aral, tahun depan saya akan berlakon filem dan memegang watak pembunuh bersiri yang bisu. Tidak banyak yang dapat saya kongsi kerana ia perlu dirahsiakan dulu,” katanya yang berjaya menurunkan berat badan ke 59 kilogram dan berharap dapat mencapai berat asal iaitu 54 hingga 55 kilogram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: