![]() |
| kumpulan Orkes Nirwana |
PENGGEMAR lagu-lagu irama 1960-an khususnya peminat kumpulan Orkes Nirwana berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan itu secara dekat dalam persembahan terbuka di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, Selangor pada Sabtu ini (9 Ogos) pukul 8.30 malam.
Ini merupakan persembahan terbesar kumpulan itu sejak sekian lama bergelar artis.
Selain menampilkan Orkes Nirwana sebagai artis utama, persembahan yang dijadualkan berlangsung selama tiga jam itu bakal diselang-selikan dengan nyanyian beberapa penyanyi undangan era 60-an.
Antaranya A. Halim, L. Ramlee, Roziah Latif dan J. Sham.
Ketua kumpulan itu, Datuk A. Rahman Hassan ketika dihubungi Hits baru-baru ini memberitahu, lebih 30 buah lagu popular mereka dan lagu-lagu zaman popular pop yeh yeh bakal dipersembahkan pada malam tersebut.
"Kami diundang mengadakan persembahan pada malam tersebut oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) sempena karnival rakyat.
"Kami anggap ini satu penghormatan buat kumpulan kami agar dapat bersama-sama bertemu dan menghiburkan peminat.
"Melihat pada jadual persembahan selama tiga jam, Insya-Allah kami akan menyanyikan antara 30 hingga 40 buah lagu pada malam tersebut," katanya.
Biarpun telah jauh meninggalkan era 60-an yang mencipta fenomena yang cukup besar dalam industri muzik, nama Orkes Nirwana masih lagi bertahan sehingga ke hari ini.
Bahkan, ratusan lagu-lagu popular mereka sudah mewarnai industri hiburan tempatan sejak empat dekat lalu dan salah satu daripadanya yang cukup popular dan menjadi kegilaan ramai termasuk golongan muda ialah Tak Mengapa.
Masih bertahan memberikan satu kelebihan buat kumpulan yang dianggotai oleh lima lagi ahli iaitu Datin Azizah Mohamad, E. Elias, B. Badron, K. Tajudin dan Khirulilmi Rahman itu.
Malah, menurut A. Rahman, penerimaan daripada pelbagai pihak sehingga membolehkan kumpulannya mengadakan persembahan esok merupakan sumber kekuatan bagi kumpulannya untuk terus-terusan menjalani aktiviti seni.
"Sehingga kini, Alhamdulillah, kami masih lagi diingati. Begitu juga dengan rakan-rakan yang sealiran dengan muzik dan irama 60-an tidak surut menerima pelbagai undangan nyanyian daripada pelbagai pihak.
"Kami merupakan satu-satunya kumpulan zaman 60-an yang masih bertahan dengan ahli asal sehingga kini.
"Jadi, selain berhibur dengan lagu-lagu yang kami nyanyikan, peminat pada masa atau yang membesar dengan lagu-lagu kami dapat mengimbau kembali pelbagai kenangan," katanya.
Dalam temu bual itu, A. Rahman juga mendedahkan, Nirwana bakal mempersembah dan menyanyikan hampir 15 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh rakan-rakan sealiran dengannya.
Selain Tak Mengapa, lagu-lagu lain termasuklah Semoga Berjaya, Perpaduan Hidup dan Kerana Fitnah.
Kerap berlatih
Biarpun jarang muncul di kaca televisyen namun, Orkes Nirwana sebenarnya tidak langsung surut dengan pelbagai tawaran persembahan.
Akui A. Rahman, biarpun kumpulannya telah lama meninggalkan zaman kegemilangan, namun dari semasa ke semasa tawaran mengadakan persembahan seolah-olah membenarkan mereka terus-terusan menongkah arus aliran muzik moden dewasa ini.
Mungkin itulah kesempatan dan jalan terbaik bagi kumpulan yang ditubuhkan sejak 25 Mac 1965 itu untuk mencari peminat baru di kalangan generasi muda.
Jurangnya mungkin terlalu besar, tetapi satu yang pasti dalam menghayati tiada sempadan mahupun tanda aras yang memisahkan pendengar dengan sesebuah karya seni.
"Alhamdulillah, ke mana-mana sahaja kami pergi, selain kami artis-artis 60-an yang lain sentiasa menerima undangan.
"Malah, kami ada pengikut tersendiri tidak kira golongan berusia mahupun yang muda dan itu cukup membuatkan kami rasa berpuas hati.
"Dari segi lagu pula, nyanyian dengan susunan muzik moden juga cukup membantu memelihara dan mengekalkan populariti lagu-lagu irama 60-an.
"Bagaimanapun, tidak kurang juga golongan muda yang meminati muzik asal lagu-lagu 60-an," katanya cukup optimis.
Menyentuh mengenai latihan kumpulannya mempersiapkan diri untuk persembahan mereka esok, kata A. Rahman setiap hari jika tiada sebarang aktiviti seni dia dan kumpulannya pasti mengadakan latihan bersama.
Maka, katanya tiada sebarang masalah untuk Orkes Nirwana menerima undangan nyanyian tersebut walaupun memakan masa selama tiga jam.
Selain dapat menghiburkan para peminat, apa yang diharapkan oleh A. Rahman ialah penghayatan muzik dan imbauan kenangan dapat mengiringi persembahan mereka.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: