![]() |
| Allahyarham Khairil Khamis |
MENGHEMBUSKAN nafas terakhir di pagi Subuh 17 Julai lalu, namanya satu ketika dahulu cukup popular dengan lagu berjudul Pura-Pura Malu Tapi Mahu sekitar 1988.
Aktif menulis skrip dan berlakon dalam drama-drama televisyen, Allahyarham Khairil Khamis atau nama sebenarnya Khairuddin Khamis pergi meninggalkan kita semua pada usia 53 tahun.
Semasa hayatnya, Allahyarham yang masih bujang tidak lupa untuk berbakti kepada insan seni apabila memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Biro Pelakon, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Di bidang lakonan, antara drama televisyen yang pernah dibintanginya ialah Momok, Laukku Cukup Masin dan Gosok.
Manakala dalam nyanyian pula, Allahyarham pada tahun lalu sempat merakamkan untuk kali terakhir album kompilasi berjudul Anugerah dengan menampilkan dua buah lagu iaitu Cahaya Permata dan Anugerah.
Namun semuanya kini tinggal kenangan. Allahyarham pergi buat selama-lamanya.
Menghembuskan nafas terakhir tatkala dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas, Allahyarham bagaimanapun meninggalkan satu naskhah karya yang tidak sempat untuk dilunaskan.
Menurut adik beliau, Azizul Khamis, Allahyarham baru sahaja menulis sebuah skrip drama berjudul Akhirnya Semua Gigit Jari.
Drama itu, menurut perancangannya, akan menghimpunkan rakan-rakan artis seangkatan Allahyarham seperti Salwa Abdul Rahman, Nassier Wahab dan Siti Fairuz.
"Saya pun tidak tahu di mana skrip itu berada sekarang. Saya lebih kepada bidang nyanyian dan jika ada sesiapa yang mahu meneruskan usaha arwah, teruskanlah,'' katanya ketika ditemui Hits pada majlis tahlil arwah di ibu pejabat Karyawan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Antara yang hadir pada tahlil berkenaan Datuk Sarimah Ahmad, Julie Sudiro, Baharuddin Omar, Salwa Abdul Rahman dan Rohana Jalil.
Hadir sama, Nerves (Pretty Ugly) dan pelakon Hafiz Nafiah serta anggota jawatankuasa Karyawan.
Ujar Azizul, judul drama yang mana skripnya di hasilkan oleh Allahyarham sememangnya benar-benar membuatkannya dan rakan-rakan artis 'gigit jari'.
Ini kerana, tanpa disangka, Allahyarham yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik pergi meninggalkan semua tanpa disangka.
Menceritakan mengenai pembabitan arwah sepanjang bergelar anak seni, Azizul menjelaskan bahawa Allahyarham merupakan seorang yang komited dalam kerjanya.
Rajin serta bertanggungjawab, Azizul berkata, abangnya itu juga bekerja keras sepanjang berada di dalam Karyawan.
"Apabila dia pergi, ia merupakan satu kehilangan besar buat saya sekeluarga dan rakan-rakan artis. Walaupun kurang sihat, dia tidak lokek menghulurkan bantuan,'' ujarnya.
Katanya, kepada rakan-rakan artis dan sesiapa yang mengenali Allahyarham, pihaknya meminta agar semua sedekahkan al-Fatihah agar rohnya ditempatkan di dalam golongan yang beriman.
"Allahyarham tidak punyai anak kerana hidup membujang. Oleh yang demikian, sebagai keluarga dan sesiapa sahaja yang mengenalinya, sedekahkan al-Fatihah di samping mendoakannya,'' tambahnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: