Wednesday, August 12, 2009

Noorkhiriah rindu ke lokasi


TAMPAK manis bertudung, usia kandungan Noorkhiriah kini mencecah enam bulan dan dijangka melahirkan anak sulungnya pada November ini.


KETIKA ini, usia kandungan aktres berbakat besar dalam dunia lakonan, Noorkhiriah atau nama sebenarnya Norkhiriah Ahmad Shafie sudah pun mencecah enam bulan.

Berehat sementara daripada segala aktiviti seni, ia memberi ruang sepenuhnya kepada Noorkhiriah untuk menjaga kandungan sementelah dia pernah melalui trauma ekoran keguguran dua tahun lalu.

Dijangka melahirkan anak sulungnya sekitar November depan, keadaannya kini cukup stabil selepas melalui saat genting tatkala tiga bulan pertama kehamilan.

Sungguhpun begitu, biar diselubungi ujian demi ujian, Noorkhiriah tidak henti memanjatkan kesyukuran kerana semuanya itu ditempuhi dengan penuh rasa sabar.

"Tiga bulan pertama hamil, saya alami alahan dan hampir pengsan. Semuanya itu dugaan. Tetapi selepas itu Alhamdulillah segalanya sudah okey.

"Kini saya berehat sahaja di rumah. Tiada pengambaran. Hajat di hati ingin ke FFM (Festival Filem Malaysia ke-22) pun tak dapat,'' katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat Renda Ramadan TV3 dan Ramadan@9 di Masjid al-Bukhary, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Noorkhiriah, dalam proses merehatkan diri sementara menunggu tarikh bersalin, dia rindu untuk ke lokasi pengambaran.

Jelasnya, meskipun sarat hamil, dia masih lagi mampu untuk menjalani pengambaran.

Bagaimanapun, katanya, semuanya itu bergantung atas kebenaran suaminya, Azfaidzul Antan.

"Kalau ada yang panggil untuk pengambaran filem atau drama, saya okey sahaja. Tapi, itupun kalau suami benarkan.

"Saya bukanlah mengejar duit sangat untuk berlakon dalam keadaan begini. Cuma saya rasa rindu dan seronok jika berada dalam suasana di set pengambaran,'' ujar Noorkhiriah yang manis mengenakan tudung pada majlis berkenaan.

Senarai nama

Noorkhiriah bertemu jodoh dengan Azfaidzul atau Faizul pada 11 November 2006.

Pelakon berasal dari Raub, Pahang itu mengalami keguguran selepas lima bulan berkahwin.

Dua tahun berlalu, sinar kebahagiaan terbit semula di wajah Noorkhiriah apabila disahkan mengandung sekali lagi.

Menurutnya, dalam meniti detik November ini, dia dan suami sudah pun mempunyai senarai nama untuk anak sulungnya itu.

Diajukan persoalan tentang jantina bayi sulungnya itu, Noorkhiriah bagaimanapun enggan untuk berkongsi dengan semua pihak mengenai perkara tersebut.

"Memang saya sudah periksa (jantina bayi) tetapi biarlah rahsia,'' katanya yang akan merancang untuk bersalin di Hospital Pakar Damansara dan menjalani proses pantang di kampung halamannya di Raub, Pahang.

Apa yang menariknya, biarpun belum habis berpantang, pelakon berusia 33 tahun ini sudah pun dilamar produksi yang mahu mengambilnya berlakon.

"Memang sudah ada tawaran tapi hanya cakap mulut sahaja. Belum ada hitam putih. Saya akan lihat dahulu bagaimana tawaran tersebut. Sudah pasti, ketika itu saya akan tumpukan sepenuhnya kepada anak,'' katanya yang berazam untuk berpuasa penuh di bulan Ramadan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: