Wednesday, August 12, 2009

Antara festival filem dan makan angin


DUA seniman veteran, Datuk Aziz Sattar (kanan) dan Wahid Satay antara penggiat filem yang komited dan sering memberi sokongan pada setiap acara perfileman yang dianjurkan.


FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) selesai diadakan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah Sabtu lalu.

Keputusannya pun sudah diketahui oleh ramai orang. Suka atau tidak, itu adalah keputusan muktamad panel juri kita yang profesional.

Namun, biasalah bak kata orang, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Setiap tahun senarionya lebih kurang sama sahaja.

Kita pun sudah muak dengan isu-isu yang berbangkit. Mungkin kita kena ada peribahasa baru selepas ini iaitu, rumah sudah siap, pahat bukan sahaja tidak berbunyi tetapi rumah sepatutnya makin cantik.

Dalam isu FFM22, sejak dari awal lagi, kalau kita perhatikan sudah ada beberapa perkara yang tidak kena dan boleh dipertikaikan.

Contohnya, ada filem yang dikategorikan filem komedi tetapi dicalonkan pula dalam kategori yang lain. Ia seolah-olah mahu memberi kuota atau menjaga hati pihak-pihak tertentu.

Filem yang disenarai pendek pula adakalanya filem-filem yang macam tidak layak sahaja.

Sedangkan ada filem lain yang jauh lebih bermutu tetapi tidak pula diangkat sebagai finalis. Menang jauh sekali.

Di sini panel juri memainkan peranan penting kerana mereka adalah penentu kemenangan sesuatu calon yang bertanding. Juri bukan sahaja perlu arif selok-belok teknikal dalam bidang perfileman.

Malah, mereka ini juga haruslah mempunyai cita rasa yang tinggi. Jika tidak, akan timbul pertikaian daripada segi kredibiliti para juri yang terbabit. Kita tidak mahu para peminat lebih pandai menilai mutu dan kreativiti sesebuah filem.

Kita perlu adil

Cita rasa dan pengamatan para juri yang tinggi secara tidak langsung mampu mengangkat filem-filem kita yang kurang bermutu supaya sekurang-kurangnya berada di kalangan yang bermutu.

Yang terbaik sebenarnya ialah, mengangkat filem-filem kita yang terbaik di kalangan yang terbaik! Kita perlu adil. Adil dalam erti kata yang sebenarnya ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Selain juri dan penjurian, langkah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menganjurkan FFM22 di Kota Kinabalu pula tidak dinafikan, memang patut dipuji.

Sebabnya, usaha itu antara lain bertujuan memasyarakatkan dunia perfileman dalam konteks yang lebih luas terutamanya buat para peminat di luar bandar.

Pelbagai aktiviti seperti bengkel lakonan, penulisan skrip dan tayangan filem-filem tempatan percuma diadakan sebagai pengisian sepanjang 4 hingga 8 Ogos festival itu berlangsung di sana.

Sayangnya, festival filem yang disertai sekitar 630 delegasi dari Kuala Lumpur dan Singapura itu sepatutnya menggambarkan kemeriahan yang diwakili oleh para pelakon, pengarah dan penerbit filem tanah air.

Senarionya yang berbeza apabila daripada jumlah delegasi itu, penyertaan bilangan artis terutamanya artis-artis popular masa kini boleh dikira dengan jari.

Sebaliknya, delegasi FFM22 pula lebih ramai disertai oleh orang yang seperti tiada kena mengena dalam bidang perfileman di negara ini.

Siapa mereka itu? Pelakon? Pengarah? Penerbit?

Atau cuma sekadar jiran atau kawan sepejabat ahli-ahli persatuan artis sahaja?

Pada masa sama, ada delegasi yang ambil kesempatan bawa anak isteri mereka ke festival tersebut. Kata orang sambil tengok festival, sambil bercuti.

Memang seronok kerana tiket penerbangan dan hotel penginapan untuk menghadiri FFM22 ditanggung oleh pihak penganjur. Mungkin itu cara golongan ini yang ibarat sambil menyelam minum air.

Perkara itu jelas kelihatan pada acara-acara yang dijalankan sepanjang FFM22 berlangsung.

Festival itu seperti kurang meriah kerana ramai artis popular yang tidak hadir. Tidak pastilah sama ada mereka itu tidak dijemput atau sengaja tidak mahu hadir.

Sebab itu, ramai peminat di Sabah yang kurang mengenali golongan ini apabila terlalu ramai orang-orang yang entah dari mana datangnya turut menyibuk.

Mereka ini memang spesies yang suka mengambil kesempatan.

Pada masa depan, Finas harus mengenal pasti agar hanya orang-orang yang ada kaitan dalam bidang perfileman diketengahkan pada festival filem seterusnya.

FFM22 juga harus dipuji kerana sanggup membawa lebih 10 pelakon veteran era tahun 1950-an dan 1960-an dari Singapura dan Kuala Lumpur ke festival tersebut.

Namun, persoalannya ialah, mana perginya para pelakon lain dari era tahun 1970-an dan 1980-an pada FFM22?

Sepatutnya, lebih ramai artis era tersebut dibawa bersama. Mereka ini pernah memeriahkan industri ini. Peminat mereka juga masih ramai.

Tahun depan FFM23 khabarnya akan diadakan di Kuala Lumpur. Ketika itu kita lihat sahajalah nanti berapa ramaikah yang akan datang memeriahkannya?

Lenggang

Paling menyedihkan apabila hampir tidak kelihatan pelakon popular pada aktiviti-aktiviti FFM22 dijalankan.

Misalnya, pada sesi Lawatan Amal Bersama Artis ke Rumah Kebajikan Bukit Harapan di Inanam sehari sebelum festival itu berlangsung.

Sudahlah bilangan artis popular yang terbabit sedikit jumlahnya, mereka ini pula seperti membuat haluan masing-masing.

Langsung tidak mahu turun padang menjayakan aktiviti-aktiviti anjuran FFM22 terutamanya membabitkan kerja-kerja amal.

Simposium atau apresiasi filem juga kelihatan lenggang tanpa pembabitan artis-artis terbabit.

Sepatutnya acara-acara seperti inilah yang menjadi tumpuan golongan karyawan perfileman kita sebagai medan mempertingkatkan ilmu masing-masing.

Namun, yang suka dan lebih ramai hadir pada acara-acara seperti itu ialah golongan-golongan tertentu yang sengaja mahu mempertikaikan kredibiliti Finas sebagai agensi yang dipertanggungjawab membangunkan industri perfileman di negara ini.

Ramai yang bosan apabila sesi majlis ilmu seperti itu adakalanya bertukar menjadi pertikaman lidah atau leteran yang lebih panjang berjela daripada soalan-soalan yang dikemukakan.

Dalam hal ini, delegasi yang menjayakan FFM22 amat penting. Ia bagi menggambarkan festival itu sebagai suatu pesta yang seharusnya dijayakan oleh para penggiat perfileman yang betul-betul genuine (asli).

Sebabnya, FFM22 bukanlah suatu festival bagi mengisi pakej percutian bersama keluarga tetapi ia adalah amanah terhadap masyarakat yang harus kita laksanakan.

Selagi filem yang kita hasilkan belum bermutu dan penonton pula tidak dapat manfaat daripadanya, maka antara puncanya ialah kita sambil lewa dan hanya bersuka ria semasa menganjurkan festival tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: