Thursday, August 27, 2009

Nak gaduh biar ada kelas


TIGA pendukung utama drama Kasih Tercipta, Nasha Aziz, Aaron Aziz dan Erra Fazira.


BAYANGKAN apabila dua nama besar di gelanggang seni tanah air, Nasha Aziz dan Erra Fazira digandingkan bersama dalam sebuah karya. Benar, bukan mudah untuk membariskan dua aktres yang sama tinggi darjat pesona dan bakatnya dalam sebuah drama atau filem.

Lantaran itu, wujud persoalan yang satu ini. Kalau kedua-duanya sudah sama bagus, situasi ingin bersaing lakonan siapa yang lebih bagus barangkali boleh berlaku dengan mudah bila disatukan dalam sebuah produksi sama.

Bukan sengaja ingin menimbulkan isu di sini. Sebaliknya perihal pelakon yang hendak tunjuk 'kuasa' siapa lebih bagus sudah lama berlaku di lokasi penggambaran. Baik dalam dunia lakonan mahupun nyanyian, ia bagaikan biasa didengar dan belum dinoktahkan lagi.

Penyatuan dua bintang besar, Nasha dan Erra menerusi drama bersiri, Kasih Tercipta arahan sutradara Rashid Sibir bagaimanapun menolak tanggapan negatif umum sebelum ini tentang persaingan.

Lagipun, bukanlah taraf Nasha atau Erra untuk menunjukkan siapakah paling menonjol kerana putaran kemasyhuran tidak henti-henti terarah kepada diri kedua-dua nama itu sejak sedekad lalu.

Nasha yang ditemui pada pelancaran drama berkenaan di Damansara Heights, Kuala Lumpur minggu lalu menjelaskan, setiap pelakon baik yang baru mahupun senior tidak boleh memiliki perasaan negatif kepada orang lain.

"Semua bergantung kepada watak yang ditawarkan oleh pengarah apabila berbicara tentang isu ini. Kalau tuntutan watak sendiri memerlukan kita lebih menonjol apatah lagi ada banyak babak, maka saya tidak anggap ia menjadi persaingan.

"Saya sudah berlakon dengan banyak pelakon besar seperti Umie Aida dan Erra sendiri. Seharusnya tidak timbul perasaan untuk berlawan sesama pelakon. Saya rasa seorang pelakon yang profesional tidak boleh ada fikiran untuk menutup bayang pelakon yang diganding dengannya.

"Kalau sudah berlakon sekali dalam sebuah produksi sama maka hal peribadi tidak boleh dicampuradukkan dengan kerja yang ingin dilakukan.

"Saya yang mula menggiatkan diri dalam bidang seni sebagai model awal-awal lagi sudah dilatih untuk bekerja dalam senario yang sentiasa positif.

"Malah saya masih bertegur sapa dan berbual seperti biasa dengan rakan peragawati lain yang kini sudah menjadi aktres. Kami diajar untuk mengekalkan sistem ini dalam apa jua keadaan sekalipun," katanya berterus-terang.


ERRA FAZIRA


Drama 26 episod yang bakal bersiaran di Astro Prima (saluran 105) setiap Selasa, pukul 10 malam mulai 1 September nanti itu, menyaksikan Erra memegang peranan sebagai Lisa terpaksa berdepan konflik dan bermusuhan dengan Nasha (Tona) yang dalam diam menyintai tunangnya, Aaron Aziz (Shark).

Sambung wanita berusia 39 tahun itu, perbincangan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu dengan rakan artis yang disatukan dalam sesebuah drama mahupun filem bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati.

"Tanpa ada perancangan awal maka sudah pastilah bakal berlaku situasi yang tidak diingini kelak. Sebab itulah diskusi penting dalam setiap kerja kita.

"Contohnya adegan tarik rambut, menampar atau memukul gandingan kita. Ia perlu dibuat dengan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan di lokasi sekali gus menjadi pertelingkahan sesama rakan pelakon lain.

"Kalau peminat perasan, saya tidak pernah berdepan dengan perkara yang melibatkan lebam pada anggota badan walaupun melakukan babak yang ekstrem.

"Alhamdulillah, sikap yang saya amalkan selama ini apabila berlakon dengan mana-mana pelakon dan melakukan aksi merbahaya dilihat tidak pernah menyusahkan orang lain," jelas Nasha.

Paling penting, kata wanita yang punya sosok tubuh tinggi lampai itu, babak yang melibatkan pergaduhan baik kecil mahupun besar harus dipantau oleh kareografer.

"Terutama adegan yang melibatkan fizikal, ia perlu mendapat tunjuk ajar daripada orang berpengalaman dahulu.

"Saya okey saja semasa berlakon dalam filem Bara dan Gerak Khas The Movie tanpa berdepan dengan pengalaman pahit. Walaupun sekadar berlakon, namun kita tetap tonjolkan sesebuah babak ini kelihatan semula jadi," ungkapnya bersungguh-sungguh.

Bercerita tentang wataknya dalam Kasih Tercipta sebagai Tona, Nasha berkata, Tona ada persamaan dengan wataknya dalam Laila Isabella.

"Masih wujud lumrah kemanusiaan walaupun wataknya dilihat kelam-kabut. Tona cukup manja namun dia tidak mengenali apa itu cinta disebabkan latar belakang keluarganya yang bercerai-berai.

"Babak saya bergaduh dengan Lisa bermula sewaktu episod ke 13 dan ke atas. Saya sering mendapat amaran daripada Lisa agar menjauhi Shark.

"Saya dan Erra sudah berbincang awal-awal lagi agar pergaduhan kami ini dilakukan dalam suasana yang nampak kelas. Bukan klise macam tarik-tarik rambut atau buat perkara bodoh lain," terang Nasha.

Teruja berlakon dengan Nasha


PELAKON drama Kasih Tercipta Nasha, Erra Fazira, Dee dan Aaron bersama dengan pengarah drama itu, Rashid Sibir dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani (tiga dari kiri) dalama sidang media di Damansara Height baru-baru ini.


Wanita jelita yang terkenal dengan jolokan primadona filem Melayu moden, Erra turut juga tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja dapat berlakon bersama Nasha.

"Ini merupakan kali kedua saya berlakon dengan Nasha. Kali pertama kami bergandingan menerusi filem Gerak Khas The Movie pada tahun 2001.

"Apabila diberitahu Rashid bahawa saya akan berlakon dengan Nasha dalam Kasih Tercipta maka sudah tentulah saya gembira.

"Kami sering berbincang antara satu sama lain bagi memperlihatkan babak yang melibatkan kami berdua terutama pergaduhan kelihatan semula jadi.

"Saya memainkan watak gelap manakala Nasha pula dengan karakternya sendiri dalam drama ini. Ia melibatkan dua jenis wanita yang berlainan sikap dan pendirian.

"Saya berasa seronok dapat berlakon dengan Nasha kerana kami sudah lama tidak berlakon sekali apatah lagi dengan bergandingan Aaron.

"Dua-dua pelakon ini ada magnet untuk membuatkan saya turut serta dalam drama ini," tuturnya penuh mesra.

Berbicara lebih lanjut tentang wataknya dalam Kasih Tercipta, Erra memberitahu, dia membawakan watak sebagai Lisa yang merupakan tunangan orang dan berniat jahat kerana mahu membolot harta tunangnya.

"Sebelum saya mendapat watak ini, terlebih dulu saya bertemu Rashid. Dia memberitahu bahawa saya memegang watak gelap dalam drama terbarunya ini.

"Saya terus kata Allah. Tidak tahu saya boleh buat atau tidak. Saya juga takut sebab tidak pernah mencuba. Tetapi selepas itu, saya mula memberanikan diri apabila Rashid meyakinkan yang watak jahat ini bersebab," jelas isteri kepada Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin itu.

Erra pantas berkata, hakikatnya bukan mudah untuk membawakan watak ini kerana cabarannya tetap ada walaupun dia mendapat sokongan daripada semua pihak yang terlibat dalam Kasih Tercipta.

"Untuk membawakan watak ini, saya perlu berlawan dengan diri. Malah saya juga banyak bertanya pendapat orang lain sama ada lakonan saya cukup jahat ataupun tidak.

"Dalam waktu sama, Rashid suka mencabar saya untuk menjayakan watak gelap ini. Jadi saya mengambil setiap cabarannya ini untuk diterjemahkan ke dalam diri Lisa," spontan jawab Erra sambil tertawa kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: