Monday, August 3, 2009

Memey tidur di lokasi pula


Memey sebagai Puteri Aurora.


INSIDEN didakwa atas tuduhan berkhalwat dengan aktor Norman Hakim barangkali menjadi ilmu kehidupan yang sangat berguna buat aktres muda, Memey. Meskipun kes itu masih dibicarakan di mahkamah, namun Memey sudah mengambil pelbagai iktibar termasuk membuat keputusan tidur di lokasi penggambaran drama terbarunya.

Lebih mengejutkan, sepanjang 20 episod drama bersiri itu, Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, tidur di set penggambaran itu tanpa mempedulikan orang di sekeliling.

Apa yang penting baginya, dia perlu tidur senyenyak mungkin tanpa diganggu oleh sesiapa.

Pada masa yang sama, Memey juga sentiasa memastikan, biar sekalipun dalam tidur, dia perlu nampak cantik dan mempesonakan.

Seperti wanita lain, Memey juga setiap hari mengharapkan dalam tidurnya akan hadir seorang jejaka tampan yang bakal menyelamatkannya dari tidur yang panjang itu.

Persoalannya, apa puncanya Memey terpaksa bermalam di lokasi, memastikan dirinya sentiasa cantik dalam tidur selain mengharapkan jejaka tampan hadir dalam mimpinya?

Apa sudah tertekan sangat atau tidak punya wang ke Memey sehingga terpaksa membuat keputusan sedemikian?

Dan apa pula pandangan orang sekeliling, apabila Memey dibenarkan tidur di lokasi?

Sebelum pembaca keliru atau salah faham, biar dijelaskan Memey bukan dimanjakan ketika di lokasi.

Jauh sekali pengarah 'memberi muka' padanya. Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Memey sesuai dengan wataknya sebagai Puteri Aurora dalam drama Puteri Aurora Beradu.

Puteri Aurora Beradu iaitu drama sejam yang diterbitkan sebanyak 20 episod mula menemui penonton TV3 sejak 21 Julai lalu melalui slot Lagenda.

Ia ditayangkan di stesen itu pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang.

Puteri Aurora Beradu merupakan adaptasi daripada kisah legenda Inggeris, Sleeping Beauty mengenai seorang puteri jelita yang tertidur setelah terkena jarum sumpahan.

Walaupun Puteri Aurora 'tertidur' panjang, tetapi tidaklah sehingga beratus tahun, apa lagi dilindungi oleh pari-pari seperti yang wujud dalam cerita fantasi Inggeris itu.

Selain Memey, Puteri Aurora Beradu turut dibintangi oleh Iqram Dinzly (Hakimi), Eizlan Yusof (Tuan Emran), Rozita Che Wan (Aishah), Norish Karman (Sofea), Aida Aris (Cik Nora), Enot (Cik Imah) dan Rashidah Jaafar (Cik Am).

Drama terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. itu diarahkan oleh Fairuz Loy dengan skripnya ditulis oleh Mufid Suhaimi.

Memey yang ditemui di majlis pengenalan drama itu baru-baru ini berkata, biarpun dia hanya tidur sepanjang 20 episod itu, namun tugas berkenaan tidak semudah yang disangka.

"Walaupun watak Puteri Aurora berada dalam keadaan koma (tidur), namun banyak babak imbas kembali yang saya lakonkan melalui penceritaan tiga orang penjaga iaitu Che Nora, Che Am dan Imah," katanya menjelaskan salah sangka banyak pihak.

Dalam drama itu, Puteri Aurora dan Hakimi saling menaruh hati. Bagaimanapun, mereka berdua hanya saling memerhati dari jauh dan terpaksa memendam perasaan mereka kerana Puteri Aurora dikawal ketat oleh penjaga-penjaganya.

"Apabila Puteri Aurora koma, kisah cinta mereka diluahkan menerusi mimpi kerana kekuatan cinta itulah yang akhirnya menyedarkan saya dari koma.

"Dalam drama ini juga memerlukan saya banyak menangis ketika dalam koma. Bayangkan dalam koma atau tidur saya sentiasa menangis dan ia memang memerlukan konsentrasi yang tinggi sewaktu melakonkan babak tersebut," jelas Memey.

Memey, Norman semakin rapat

Beralih perbualan ke kisah peribadi, pastinya ramai yang menyedari setiap kali laporan kes khalwat Memey dan Norman disiarkan di dalam akhbar, pasangan itu tidak pernah menunjukkan sebarang kegusaran.

Sebaliknya kemesraan seolah-olah menceritakan apa yang tersirat di sebaliknya.

Pernah beberapa kali mereka dilihat berpakaian sedondon begitu manja antara satu dengan lain.

Apakah ini bemakna, mereka berdua semakin terbuka menjelaskan hubungan peribadi lebih-lebih lagi selepas Norman sah mendapat status duda?

Sehinggakan pada skrin telefon bimbit Memey, terpapar Memey dan Norman.

Dan apabila ditegur, Memey cepat-cepat mengalihkan telefon bimbitnya sambil mengukir senyuman manja.

"Ya. Hubungan kami memang semakin rapat sejak apa yang berlaku. Kami dalam proses untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

"Namun soal kahwin itu buat masa ini tidak ada dalam perancangan kami lagi kerana saya ingin fokus dengan kerjaya saya dahulu.

"Lagipun, berkahwin bukanlah penyelesaian kes yang sedang kami hadapi. Jadi lebih baik kami beri masa untuk diri kami dahulu," ujarnya tanpa berselindung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: