![]() |
| AISUNAM dianggotai (dari kiri) Eddy, Amir, Fauzi dan Ejad. |
DALAM usaha untuk memperkembangkan lagi bakat dan kreativiti dalam bidang muzik, kumpulan rock Aisunam melakukan pelbagai cara bagi mencapai matlamat tersebut.
Kumpulan yang dianggotai empat anggota itu misalnya, turut menubuhkan sebuah lagi kumpulan dikenali sebagai The Federated dan bergerak aktif dalam bidang muzik pada masa yang sama.
Pendekatan itu unik kerana mereka merupakan dua kumpulan muzik yang dianggotai oleh anggota-anggotanya yang sama secara serentak dalam persada muzik rock di negara ini.
Penyanyi dan pemain gitar dua kumpulan itu, Muhammad Fauzi Sarkawi berkata, dengan cara tersebut mereka yakin mampu untuk meraih lebih ramai peminat dengan genre muzik yang berbeza itu.
"Matlamat kami menubuhkan dua kumpulan itu serentak kerana mahu mencari peluang pasaran album dan peminat yang berbeza. Ini kerana muzik Aisunam dan The Federated tidak sama.
"Muzik Aisunam berkonsepkan simfoni metal iaitu muzik rock yang menampilkan lagu-lagu yang lebih bermelodi seperti kumpulan Nightwish dan pasarannya lebih kepada arus perdana.
"Sementara, The Federated pula membawakan konsep muzik hardcore di mana kumpulan ini mensasarkan untuk pasaran muzik underground," katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini.
Dua kumpulan yang dianggotai oleh Fauzi (penyanyi, gitaris), Eddy (gitaris), Ejad (dram) dan Amir (bassis) itu baru sahaja muncul dengan album pertama berjudul Aisunam Vs The Federated.
Album terbitan syarikat rakaman mereka sendiri iaitu Aisunam Productions itu menampilkan 10 buah lagu Melayu yang antaranya berjudul Manusia, Masuk Gear Jalan, Bisikan dan Budak Sekolah.
Menurut Fauzi, lima lagu Aisunam dan lima lagu The Federated ciptaan mereka sendiri itu dimuatkan dalam album yang diedarkan oleh syarikat rakaman Warner Music (M) Sdn. Bhd.
Tambahnya, biarpun tampil dengan dua kumpulan, tetapi para pendengar dapat membezakan lagu dan konsep muzik mereka yang dimuatkan menerusi album tersebut.
"Ini kerana setiap lagu Aisunam dan The Federated berselang-seli. Daripada situ kita boleh membezakan konsep muzik yang kami cuba tampilkan menerusi dua kumpulan kami itu.
"Malah, melodi lagu dan muziknya juga berbeza. Cuma yang sama ialah gaya suara saya. Selain itu, The Federated hanya tampil mengadakan gig (persembahan) yang kecil sahaja.
"Tidak seperti Aisunam yang biasanya tampil pada persembahan-persembahan terbuka dan boleh disaksikan segenap lapisan penonton termasuklah di Karnival Jom Heboh anjuran TV3 baru-baru ini," ujarnya.
Kepuasan
Sewaktu ditanya kepuasan mereka bermain dalam dua kumpulan itu secara serentak, Fauzi mengakui, lebih seronok dan puas tampil bersama The Federated.
Ini kerana katanya, kumpulan The Federated yang meliputi konsep muzik punk rock dan hardcore itu lebih banyak memberi kebebasan kepada mereka untuk berkarya dalam bidang muzik.
"Main muzik underground lebih banyak kebebasan kerana kita berkarya mengikut citarasa kita dan tidak terlalu mengikut pasaran muzik semasa. Kita boleh membuat lagu dan lirik ikut suka hati kita.
"Sedangkan kalau buat lagu untuk pasaran mainstreams (arus perdana) banyaklah 'pantang larang' yang terpaksa kita ikut semata-mata untuk memenuhi permintaan banyak pihak," katanya.
Aisunam yang pernah muncul juara pertandingan kugiran Rentak Juara Rhythm of Champions 2008 bukan setakat bekerja keras bagi menaikkan nama dua kumpulan itu pada satu masa.
Malah, mereka juga sentiasa memerah idea bagi mencipta lagu-lagu dan lirik-lirik sendiri selain mengambil masa yang lama untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti.
"Lagu paling lama kami cipta berjudul Bisikan di mana ia mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan. Kami banyak kali mengubah susunan lagu itu sehinggalah kami benar-benar puas hati.
"Sedangkan proses rakaman sebenarnya hanya mengambil masa sekitar dua bulan sahaja. Apa pun kami puas kerana impian kami untuk menerbitkan album sendiri tercapai," jelasnya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: