NURUL bersama James yang kini dikenali sebagai Qais Abdullah. |
Cinta Nurul Alis, James Mitchell yang baru saja memeluk Islam semakin bertaut
CINTA tidak pernah mengenal garis sempadan, warna kulit, usia mahupun agama. Lalu, tidak hairan apabila ibu tunggal tiga anak, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki, 34, ini sedang bahagia melewati detik indah mencintai seorang jejaka Inggeris. Lelaki bertuah bernama James Mitchell berusia 39 tahun itu ditemuinya sejak hujung Disember tahun lalu.
Mungkinkah personaliti RTM yang pernah terpahat namanya dalam sejarah penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sebagai calon Pengacara TV Wanita Popular ini akan mengikuti jejak Anita Sarawak, Maya Karin dan Ning Baizura yang memilih suami bukan di kalangan orang Melayu.
Selepas berpisah dengan bekas suaminya, Adian Yein sejak September tahun lalu, barangkali kehadiran lelaki yang pernah menemaninya ketika berlangsung ABPBH 2008 April lalu di Genting Highlands memberikan isyarat untuk dirinya tidak lagi hidup berteman sepi. James juga baru dua minggu bergelar saudara baru menggunakan nama Qais Abdullah.
“Dia bekerja sebagai pekerja Teknologi Maklumat dan menjadi perunding kepada bank. Dia bekerja di Kuwait dan dalam sebulan sekali akan balik ke Malaysia. Kami bertemu di litar trek perlumbaan dan hanya awal tahun ini kami keluar bersama. Kami berkongsi minat yang sama iaitu berlumba sukan kereta.
“Tak saya nafikan, dia ada menyuarakan hasrat untuk memperisterikan saya. Sebagai wanita, saya tidak boleh bercakap lebih kerana tak manis pula. Saya hanya menunggu dan mencintainya satu pengalaman baru selepas kembali ‘solo’. Saya juga tidak mahu pisang berbuah dua kali.
| ORANG penting dan penunggang motosikal berkuasa tinggi bergambar kenangan bersama nurul alis dan Fizow Omar yang hadir pada prapelancaran Kempen Semarak Merdeka 2009. |
“Anak-anak saya (Shamal, Sophea dan Sonya) juga senang dengan kehadirannya. Dia juga sangat memberikan perhatian terhadap saya. Pendek kata, saya boleh serasi dan selesa bersamanya. Ingat lagi sewaktu awal perkenalan, dia begitu gemar minum air sirap. Katanya, air itu seperti air magis. Saya katakan kepadanya, air sirap selalu disajikan di rumah orang kahwin,” katanya ketika dihubungi Hip baru-baru ini.
Umum juga tahu Kiki sangat lasak dan menggemari sukan permotoran kenderaan berkuasa tinggi. Kiki juga aktif menjadi pelumba kereta di samping menggemari sukan go-kart. Lalu, tidak hairanlah dia diundang ke majlis prapelancaran Kempen Semarak Merdeka 2009 yang membabitkan motosikal ‘gergasi’ Selasa lalu.
Menurut Kiki, dia berminat untuk turut serta dalam acara sedemikian cuma kini soal masa yang menjadi kekangan untuknya. Kata Kiki lagi, sejak 2000 lagi dia pernah memiliki dua motosikal berkuasa tinggi, Honda BR F4 dan F2, namun selepas melahirkan anak kedua, minatnya terhadap hobi itu mula terhakis.
“Saya sudah jual dua buah motosikal itu dan lebih cenderung kepada sukan kereta dan go-kart. Tapi siapa tahu ke depan nanti, kalau ada peluang, mungkin saya akan kembali menunggang motosikal. Malah, saya menyokong usaha yang dilakukan pihak terbabit terutama dalam memberi kesedaran terhadap perkara tertentu seperti menghargai kemerdekaan,” katanya yang sempat bergaya di atas motosikal jenama Yamaha FJR, 1300 CC.
Edar risalah Kempen Semarak Merdeka, esok
SEMENTARA itu menurut Pengurus Pentadbiran & Kewangan Gagasan Ekonomi Malaysia, Zareena Shahrom, Kempen Semarak Merdeka 2009 dilakukan sejak tahun lalu. Bagaimanapun, berbeza dengan tahun sebelumnya, kempen kali ini dibuat lebih awal sebelum tibanya Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Kempen yang diusahakan Gagasan Ekonomi Malaysia itu turut dipadatkan kerjasama dengan Kementerian Belia Dan Sukan, Biro Tatanegara, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan ramai lagi.
Kata Zareena, apa yang dilakukan ini sebagai usaha memberi kesedaran mengenai penghayatan dan erti kemerdekaan itu sendiri terutama kepada generasi muda.
“Tahun lalu kita buat pada hari merdeka. Paling penting, kempen ini juga selari dengan agenda 1Malaysia yang diperkatakan tahun ini. Selepas acara perasmian Sabtu ini, kita akan berkonvoi mengedarkan risalah bermaklumat ke lebih 20 tempat di Malaysia. Kembara motosikal ini akan bermula serentak Sabtu ini hingga 15 Ogos.
“Malah salah seorang anggota kumpulan nasyid Syifa turut menyertai kembara ini kerana mempunyai minat menunggang motosikal berkuasa besar. Keseluruhan yang terbabit dalam kempen ini ialah 160 orang, bagaimanapun yang menunggang motosikal hanya 52 orang dan menggelarkan diri mereka sebagai LB.
“Jumlah 52 itu juga sebagai simbolik sambutan kemerdekaan kita tahun ini yang ke-52 tahun. Kita merancang acara ini untuk dijadikan sebagai kalendar tahunan dan pada mendatang ingin membuka ruang kepada selebriti yang berminat menunggang motosikal. Kembara akan bermula dari Seremban dan berakhir di Dataran Seni Warisan, Shah Alam,” katanya.
hehehehe.... i'm one of the participant..... brilliant ride.... lots of ups and downs....
ReplyDelete