KOnSErT Jamal Kembara Seniman berlangsung di Istana Budaya sehingga 9 Ogos. |
LAHIRNYA seniman ternama, Jamal Ubaidillah Ali atau lebih tersohor dengan nama Jamal Abdillah, 7 Mei 1959 bukanlah untuk menjadi seorang pelakon. Malah beliau yang dianugerahkan suara yang hebat mengabdikan hidupnya dalam bidang seni suara sehingga digelar Raja Pop tanah air hari ini.
Walaupun Jamal pernah terbabit dalam beberapa filem seperti Azura, Kekasih Awal dan Akhir, Ghazal Untuk Rabiah dan beberapa lagi, masyarakat lebih menilai bakatnya dalam bidang seni suara.
Justeru apa yang disajikan dalam Konsert Jamal Kembara Seniman di Istana Budaya dengan menyelitkan segmen muzikal lakonan Jamal sendiri bagaikan satu kerugian buat peminat Jamal.
Umumnya penonton yang memenuhi ruang Panggung Sari pada malam pratonton konsert Jamal Kembara Seniman adalah untuk melihat semangat roh Jamal ketika menyampaikan lagu kegilaan peminat menerusi himpunan agunya seawal 80-an seperti mana konsert One Night Only yang dijayakan di Istana Budaya pada tahun 2007.
Mereka mengharapkan lagu Jamal mengembalikan kembali memori lama yang suatu masa lalu cukup manis untuk dilepaskan. Hampanya bukan kepalang apabila pembukaan konsert Jamal dimulakan dengan segmen muzikal yang memakan masa hampir satu jam.
Muzik yang mengiringi segmen pertama ini juga tidak berjaya menutupi kegelisahan penonton apabila penggunaan minus one yang diselang-selikan dengan lakonan.
Jamal yang ditemui sebaik saja pratonton konsertnya Selasa lalu turut mengakui kelemahan pada segmen pertama cukup ketara.
“Memang saya akui segmen itu sedikit ada kekurangannya, namun apa yang disajikan itu tidaklah persembahan 100 peratus kerana banyak lagi aspek yang boleh di halusi.
“Apa yang dipaparkan itu baru 70 peratus. Idea untuk mengadakan segmen itu datangnya dari idea saya sendiri. Pada mulanya memang saya ingin menulis dan mengarah sendiri segmen itu tetapi tidak mendapat persetujuan Istana Budaya,” katanya.
Pada awal segmen itu, digambarkan Jamal (ketika bayi) yang dilahirkan di Teluk Intan sudah menunjukkan tanda keserasiannya dengan dunia muzik. Sehinggalah di usia remaja gitar bagaikan tidak lepas di tangannya.
Jamal mencuba nasib menyertai Bintang RTM pada tahun 1979 yang membawakan lagu Senandung Semalam. Video ketika pertandingan itu yang dipaparkan menerusi skrin multimedia dimainkan sebahagian dan terus disambung oleh Jamal apabila skrin di hadapan pentas dinaikkan.
Lazimnya persembahan tribute akan dijayakan individu lain kepada individu yang sudah tiada. Namun tidak keterlaluan juga sekiranya segmen pertama ini dianggap sebagai sebuah persembahan tribute, namun uniknya Jamal menjayakan persembahan tribute untuk dirinya sendiri.
Ia ditambah dengan perjalanan kisah hidupnya, ucapan ringkas melalui skrin daripada beberapa tokoh seperti Penceramah Motivasi, Datuk Fadzilah Kamsah, Pengetua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunos Pathi dan tidak lupa juga mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Idea untuk melaksanakan konsep muzikal adalah suatu pembaharuan dalam sebuah konsert nyanyian tetapi harus mendapat latihan yang cukup.
Selepas persembahan diberhentikan selama 15 untuk berehat, segmen kedua (konsert) menyusuli. Akhirnya yang ditunggu-tunggu penonton untuk menyaksikan Jamal menyampaikan lagu berhantunya sudah tiba.
Dengan tidak semena-mena keadaan di dalam Panggung Sari bertukar riuh dengan tepukan dan sorak daripada penonton yang tidak sabar mendengar pujaan mereka beraksi. Segmen kedua ini juga dibahagikan kepada beberapa segmen di dalamnya seperti Raja Pop di mana Jamal akan menyanyikan empat lagu secara medley bagi setiap segmen iaitu Perjalananku, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu dan Ghazal Untuk Rabiah.
Namun kedengaran juga rungutan penonton apabila lagu popular yang dinantikan-nantikan penonton dinyanyikan secara medley. Ini bererti mereka tidak puas kerana ratanya lagu tidak dinyanyikan sehingga habis.
Konsert Kembara Seniman Jamal Abdillah yang dipersembahkan bermula Rabu lalu dan akan berakhir pada Ahad ini turut menawarkan tawaran istimewa kepada peminat yang membeli tiket premier berjumlah RM300. Mereka akan diberikan CD terbaru Jamal berjudul Tak Hilang Cinta secara percuma dan eksklusif beramah mesra bersama penyanyi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: