Monday, August 3, 2009

Lonjakan THR


MENGGEGARKAN. Barisan penyampai stesen radio THR semakin bersemangat apabila meraih sokongan banyak peminat.
AKSI lucu dua penyampai THR, Suzana (depan) dan Nasa.


DIAM-DIAM stesen radio THR yang dikendalikan oleh AMP Radio Networks sebelum ini nampaknya bukan kosong. Ia sebaliknya terisi dengan satu-persatu pencapaian sekali gus menjadikan THR berhasil menghimpunkan pengikut tersendiri sejak beberapa tahun lalu.

Umum mengetahui, THR mempunyai dua rangkaian iaitu THR Gegar dan THR Raaga di bahagian lain Semenanjung.

Tiada yang lebih menggembirakan THR apabila stesen radio itu terus mencatat deretan sejarah apabila diumumkan sebagai stesen radio keempat paling popular bukan sahaja bahasa Melayu tetapi keseluruhan selepas ERA, Sinar dan Hot melalui kajian AC Nielson Mac lalu.

Dalam pada itu, THR Gegar juga mengungguli takhta pertama di Pantai Timur apabila ia menjadi pilihan pendengar setia di tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Menurut Penolong Pengurus Program THR Gegar, Azhari Atan, dia cukup berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh THR Gegar selepas memulakan operasi di bawah AMP pada Mei 2004.

"Kami berupaya mencatatkan sebanyak 1.14 juta jumlah pendengar selepas wujud pertambahan 170,000 peminat di Pantai Timur.

"Manakala 3.18 juta jumlah pendengar secara total selepas mencapai pertambahan 300,000 berbanding tahun lalu yang membolehkan kami berada di tangga keempat.

"Bukan itu saja, pendengar eksklusif THR Gegar juga meningkat 72 peratus dari 194,000 pada kajian lepas ke angka 334,000 dalam waktu terkini.

"Slot paling popular di THR Gegar adalah Gegar Petang yang berjaya menarik seramai 872,000 pengikut setiap minggu serta slot Ceria Pagi yang dihoskan oleh Nasa dan Suzana menjadi program sarapan No. 1 di Pantai Timur dengan 720,000 pendengar.

"Peningkatan jumlah pendengar dari semasa ke semasa ini terutama di Pantai Timur dan kawasan luarnya membuatkan ia menjadi kebanggaan kami selaku tenaga kerja THR Gegar.


PENYAMPAI THR beramah mesra dengan wakil media.


"Lantaran itu, kami berazam untuk terus memperbaiki THR Gegar agar selepas ini kami bakal mencapai kejayaan yang lebih membanggakan," katanya ketika ditemui pada majlis beramah-mesra di antara para penyampai THR dengan pihak media di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambung Azaari, tidak dinafikan ramai yang terkejut dengan pemilihan THR di tangga keempat sebagai stesen radio popular di Malaysia bersaing dengan radio bukan bahasa Melayu lain.

"Kami ada strategi tersendiri bagi mengangkat nama THR Gegar ke tahap lebih tinggi dengan memberikan tumpuan yang terarah kepada pendengar di Pantai Timur.

"Formula kami nampaknya cukup berkesan apabila THR Gegar diterima dengan baik oleh peminat di ketiga-tiga negeri ini.

"AMP Radio Networks memang sengaja ingin mencipta kelainan dengan memfokuskan kepada pendengar tempatan dan kami sebulat suara memutuskan untuk memulakan dengan Pantai Timur terlebih dahulu.

"Oleh itu, kami menyusun bahan-bahan yang bersesuaian dengan pendengar di tiga buah negeri yang terlibat termasuk menyajikan lagu-lagu rakyat dan informasi yang berkaitan zon Pantai Timur.

"Walaupun beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur namun kami tetap mahu menghidangkan hiburan yang unik dan menarik kepada masyarakat di Pantai Timur.

"Syukur sangat sebab idea kami ini diterima dengan baik oleh peminat. Bahkan peminat kami terus bertambah setiap waktu termasuk pendengar di luar Pantai Timur.


Kini bersemangat apabila meraih sokongan ramai peminat


"Disebabkan itu kami mengadakan publisiti besar-besaran di Pantai Timur berbanding promosi kepada peminat di Kuala Lumpur sehingga ada sesetengah pihak yang beranggapan THR kini macam kurang menonjol daripada stesen radio lain di Malaysia," ujarnya.

Mengulas lebih lanjut tentang penyampai sedia ada iaitu Nazz, Nasa, Gina, Suzana, Rezlynn dan Nadira, Azaari memberitahu, dia cukup berpuas hati dengan keenam-enam penyampai yang memberikan sepenuh komitmen dalam membantu meningkatkan THR Gegar.

"Saya gembira dengan penyampai yang ada sekarang. Masing-masing menunjukkan kesungguhan dalam mengembangkan stesen radio ini pada tahap lebih baik.

"Kalau boleh saya mahu mereka mengekalkan energi yang dimiliki sebelum dan selepas ini demi memajukan THR Gegar.

"Saya juga sedang mencari pelapis yang dapat menaikkan lagi THR Gegar selepas ini. Kalau ada muka-muka baru yang berbakat besar maka tiada salahnya kalau saya melatih mereka untuk menyertai kami," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: