Thursday, August 27, 2009

Legenda terakhir Kennedy meninggal dunia


GAMBAR fail menunjukkan Kennedy bersama Obama di Universiti Amerika, Washington pada 28 Januari 2008.


BOSTON - Pengaruh keluarga Kennedy dalam senario politik Amerika Syarikat (AS), berakhir malam kelmarin apabila Senator Edward Kennedy meninggal dunia setelah setahun bergelut dengan barah otak.

Pemimpin AS yang digelar 'singa liberal' itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Port Hyannis, Negeri Massachusetts ketika berusia 77 tahun.

Semasa hayatnya, rakyat AS menaruh harapan tinggi agar anak bongsu keluarga Kennedy tersebut mengikut jejak abangnya, John F. Kennedy dengan menduduki kerusi presiden negara kuasa besar itu.

Namun, harapan senator dari negeri Massachusetts itu menduduki kerusi utama di White House berkecai setelah namanya dicemari skandal, ketagihan arak dan perceraian.

Pada 1969, kereta yang dipandunya terbabas ketika melalui jambatan di Pulau Chappaquiddick, Massachusetts dengan menyebabkan seorang rakan perempuan di tempat duduk hadapan, Mary Jo Kopechne meninggal dunia.

Kelewatan Kennedy membuat laporan polis berhubung tragedi itu menyebabkan namanya tercemar.

Skandal itu memusnahkan harapannya menjadi Presiden AS apabila beliau tewas kepada Jimmy Carter untuk menjadi calon bagi mewakili Demokrat dalam pilihan raya presiden pada 1980.

Bagaimanapun, sejurus selepas kematiannya, penghormatan terakhir untuk Kennedy yang merupakan tokoh utama Parti Demokrat selama beberapa dekad, diterima daripada pelbagai pihak, bukan sahaja di AS tetapi dari seluruh dunia.

"Kami kehilangan tonggak keluarga (Edward) yang tiada gantinya tetapi inspirasi kepercayaannya, sikap optimistik dan kesabaran yang ditunjukkan olehnya akan sentiasa kekal di hati kami," kata keluarga Kennedy dalam satu kenyataan.

Ketika bendera AS berkibar separuh tiang di Washington sebagai tanda berkabung, Presiden Barack Obama menyatakan bahawa hatinya pedih dengan kematian Kennedy yang dianggap sebagai tokoh yang tiada gantinya dalam sejarah AS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: