Monday, August 17, 2009

Kisah pemilik piring hitam


KOLEKSI piring hitam penyanyi tahun 1980-an, Rahimah Rahim masih dalam simpanan Mansor.


HOBI beliau memang unik walaupun tidak mendapat sokongan daripada isteri tercinta. Mansor Shaari, 53, memiliki lebih 7,000 piring hitam dan menyimpan koleksi 12 pemain piring hitam termasuk beberapa radiogram.

Beliau cukup gemar mendengar koleksi lagu-lagu klasik dari dalam dan luar negara melalui piring hitam.

Koleksi piring hitam yang masih dalam simpanan beliau bukan sahaja lagu penyanyi tempatan malah lagu-lagu penyanyi dari Indonesia dan luar negara seperti penyanyi Taiwan tahun 70-an, Teresa Teng.

Selain itu, beliau juga memiliki album piring hitam pertama dunia yang dijual secara komersial pada tahun 1910 iaitu Down Memory Lane.

Sungguhpun begitu, peminat lagu Dara Pujaan nyanyian L. Ramlee ini berkata, beliau lebih suka berada di dalam bilik khas di rumahnya yang menempatkan kesemua koleksi klasiknya itu dengan mendengar lagu-lagu melalui radiogram berbanding pemain cakera padat (CD) ataupun apa-apa alat audio canggih pada masa kini.

Tiada jiwa

"Lagu sekarang tiada jiwa, saya bagi contoh lagu 1950-an, Bersanding nyanyian Nona Asiah, kalau kita dengar lagu itu, kita boleh gambarkan kemeriahan majlis kahwin walaupun hanya mendengar lagu sahaja.

"Mana ada lagu kahwin boleh setanding dengan lagu-lagu zaman berkenaan," ujarnya yang sebelum ini berkhidmat di sebuah syarikat penerbangan terkemuka tempatan.

Kata Mansor, radiogram tahun 1950-an yang pertama dibelinya di sebuah kedai terpakai di Alor Setar, Kedah pada harga RM300.

"Dengan radiogram ini saya selalu dengar lagu nyanyian Anneke Gronloh yang bertajuk Bengawa Solo. Walaupun lagu 1960-an, sampai sekarang saya tidak pernah jemu," kata pesara yang mempunyai empat orang anak yang berusia antara 17 hingga 29 tahun itu.

Tambahnya, radiogram kedua pula dibelinya pada harga RM450 di sekitar Alor Setar. Piring hitam tersebut diperbuat daripada arang batu.

Bercerita lanjut mengenai minatnya terhadap piring hitam klasik berkenaan, Mansor berkata, minat terhadap lagu-lagu klasik berputik seawal berusia 12 tahun lagi apabila beliau sering mendengar lagu Dara Pujaan melalui piring hitam di rumah jiran ketika tinggal di Pulau Pinang.

"Ketika itu, pemain piring hitam hanya ada di rumah orang berada, zaman itu pula zaman lagu pop yeh yeh, di situlah saya mula jadi peminat lagu 1950-an dan 1960-an," katanya.

Tambah beliau, walaupun meminati lagu klasik sejak kecil, tetapi disebabkan kekangan pendidikan, bekerja dan keluarga, setelah berusia 40 tahun barulah minat mengumpul piring hitam dilakukan sedikit demi sedikit.

"Saya bekerja di syarikat penerbangan, kalau dapat berjalan, kalau pergi mana-mana jumpa sesuatu yang menarik mesti saya beli," ujarnya.

Bilik


SELAIN mengumpul piring hitam, Mansor juga mempunyai koleksi peralatan basikal antik.


Namun, di sebalik minat uniknya itu, walaupun tidak 'senada' dengan isteri tercinta, Murizon Ahmad, 53, perkara itu tidak menjadi masalah.

"Isteri saya tidak minat muzik, dia tidak pernah beri galakan malah tidak pula bantah, jadi saya buat satu bilik di rumah untuk tempatkan barang-barang saya supaya tidak ganggu dia," ujarnya.

Mengenai pencarian piring hitam, Mansor memberitahu Kosmo!:

"Tiada lagi piring hitam yang saya hendak cari, semua saya sudah dapat. Bila tiba suatu masa saya akan lelong koleksi saya ini.

"Tetapi pada masa itu, semua piring hitam itu saya sudah buat salinan kepada CD, untuk disimpan sebagai kenang-kenangan. Bila tiba masa itu saya akan jual semuanya termasuk radiogram kesayangan saya ini."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: