Monday, August 17, 2009

Dulu budak kampung, kini pereka fesyen


HIDEAKI cekal menempuh cabaran baru.



IDEA dan kemahiran yang dimiliki antara faktor kejayaan Hideaki selama 18 tahun terlibat dalam dunia fesyen.



HIDEAKI (tengah) bersama model yang memperagakan rekaannya.


SEBAGAI satu-satunya pereka fesyen futuristik dan siber, perjumpaan sulung kami sedikit tersasar daripada objektif utama.

Sebaik melihat fizikalnya yang kecil molek, penulis tertanya-tanya sama ada lelaki ini berbohong tentang usia dan gaya penampilannya.

Hakikatnya, Hideaki bakal menginjak usia 43 tahun pada 25 November ini. Malah, dia selesa berkongsi cerita jatuh dan bangun kerjaya yang diminatinya sejak remaja.

Walaupun kakak sulungnya seorang tukang jahit, namun minat Hideaki terhadap fesyen siber bangkit daripada bisikan nalurinya.

Sewaktu bertemu di kediamannya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Hideaki bangga dengan gaya siber yang dipakainya. Persalinan serba metalik dan kuning itu disempurnakan dengan telefon bimbit yang menonjol dari kantung lutsinar yang tergantung di pinggangnya.

"Memandangkan saya turut menyediakan perkhidmatan menata rias diri orang perseorangan, badan-badan korporat dan badan-badan amal, saya perlu bekerja keras agar imej luaran itu membahasakan sifat-sifatnya yang tersendiri.

"Hasil ini tidak datang bergolek dalam tempoh sehari dua. Tetapi, ia satu pelaburan jangka panjang selama dua dekad," katanya.

Budak kampung

Setiap pagi, Hideaki bersenam selama sejam. Tempoh 30 minit pertama diperuntukkan untuk berjoging. Selebihnya, beliau akan melakukan senaman-senaman kardio seperti tekan tubi.

Pada masa yang sama, dia mengurangkan pengambilan makanan ruji seperti nasi, kopi dan masakan bergoreng. Sebaliknya, dia membanyakkan hidangan sayur-sayuran, sup herba, susu, roti dan buah-buahan.

"Apakah maknanya bergelar sebagai seorang pereka fesyen dan penata rias, tapi diri sendiri tidak mampu menjaga personaliti dan kesihatan badan secara menyeluruh," soalnya.

Lahir dalam sebuah keluarga besar di Sungai Pelik, Sepang, Selangor, Lim Eng Ming atau popular dengan panggilan Hideaki merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik.

Budak kampung ini mengorak langkah awal dalam bidang rekaan fesyen sebaik mendaftar di Sekolah Parsons of Design, Hong Kong. Sekembalinya ke tanah air, kegawatan ekonomi pada sekitar tahun 1990-an memaksa dirinya untuk melakukan pelbagai pekerjaan. Antaranya menjadi pemandu pelancong, jurujual, pelayan karaoke dan macam-macam lagi.

"Dari situlah saya membina rangkaian kenalan dari setiap lapisan masyarakat. Apabila bersedia untuk terjun ke dunia fesyen, mujurlah rangkaian tersebut banyak membantu," jelasnya yang perlahan-lahan bergerak daripada pengeluaran pakaian beruniform kepada rekaan busana eksklusif.

Mencuba nasib

Butiknya di Plaza Berjaya, Kuala Lumpur ditambah baik. Dia kemudian berpindah ke Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Kemenangan yang tidak dijangka dalam satu pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa pada tahun 1998 turut menyumbang kepada pembabitannya dalam bidang fesyen.

"Ramai yang tidak berani mencuba nasib dalam rekaan pakaian futuristik kerana ia bagaikan menggali lubang kubur sendiri. Susah hendak tengok wang.

"Pada pendapat saya, apa jua tema atau stail fesyen ada kebaikan dan keburukannya. Kita harus jujur pada diri sebelum menyerlahkannya kepada orang lain.

"Saya yakin dengan idea dan kemahiran yang dimiliki sebab itulah Hidaeki dapat pergi sejauh ini," luahnya yang sudah 18 tahun menceburi bidang fesyen.

Tahun 1999 dan 2000 menyaksikan lonjakan permintaan yang tinggi terutama apabila semua syarikat swasta mencari ilham pertunjukan dan rekaan baju futuristik sempena ketibaan tahun milenium.

Ketika itulah lahirnya pakaian siber kimono, siber cheongsam dan siber kebaya. Malah ada sari siber yang menjadi signatur Hideaki.

Daripada kerabat diraja, VIP, selebriti, artis hinggalah tokoh korporat, hampir semua jenis penampilan dieksploitasi untuk menimba pengalaman.

Aktif kerja amal

Dengan sebuah bengkel di Bandar Puteri, Puchong dan kilang pengeluaran pakaian dalam kuantiti pukal di Kajang, Hideaki lega kerana boleh mengalihkan perhatian kepada projek-projek lain.

Salah satunya ialah aktiviti amal yang dijalinkan dengan Yayasan Sunbeam Home. Daripada kanak-kanak tadika hinggalah pelajar sekolah menengah, anak-anak yatim piatu itu dilatih untuk membuat persembahan bagi menambah dana kewangan.

"Biar mereka belajar dari sekarang bahawa dunia luar sukar diharungi," katanya yang bertindak sebagai ketua koreografi di samping mereka pakaian khas.

Sebelum ini pun, Hideaki terbabit dalam sebuah persembahan amal di Ormoc City, Filipina. Dilancarkan oleh sekumpulan penganjur dari Australia, Hideaki menderma 20 rekaan baju. Ini tidak termasuk sumbangan masa dan pengetahuan fesyen kepada masyarakat setempat.

Pada masa akan datang, dia akan melibatkan diri dalam proses produksi program televisyen. Disiarkan di salah satu saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Hideaki sedang sibuk dengan penulisan skrip program itu.

"Menjelang hujung tahun, saya berhasrat menembusi pasaran Australia dan Amerika Syarikat (AS) kerana ada permintaan dari sana. Begitupun, pada prinsipnya biar tapak asal di Malaysia kukuh, sebelum ke seberang laut."

Di bawah label Hideaki, khidmat-khidmat lain yang ditawarkan ialah kemudahan jurusolek, peragawati, kursus pembentukan kendiri, pengarah kreatif acara bertema dan sudah tentu aksesori tambahan seperti rekaan kasut.

Layari laman web www.hideakifashion.com untuk maklumat lanjut.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: