Tuesday, August 4, 2009

Jee bahagia hidup sendirian

Biarpun sudah dua tahun hidup sendiri, penyanyi bersuara gemeresik, Fauziah latiff atau lebih mesra dipanggil Jee mengakui kehidupannya semakin bertambah baik. Penceraiannya dengan Johan Indot, setelah mendirikan rumah tangga pada tahun 1997, tidak menjadi penghalang untuknya terus bangkit membina hidup baru.

Akui dirinya semakin selesa hidup sendirian, Jee kini tidak mahu memikirkan soal jodoh, sebaliknya mahu lebih menumpukan perhatian terhadap karier dan anak-anak yang kini semakin membesar. Dua cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Johan, Jeffri Joaquim, 11, dan Jeremy Jay, 9, itulah menjadi kekuatan untuknya meneruskan kehidupan.

Jika sebelum ini, Jee, enggan bercakap tentang jodoh mahupun perihal peribadinya, namun kini dia dilihat semakin terbuka untuk diajak berbicara mengenainya. Dia yang kini semakin ceria, dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibirnya, tidak keberatan lagi menjawab satu-persatu persoalan yang diajukan padanya. Situasi itu jelas menunjukkan Jee sememangnya semakin bahagia dan ternyata kegagalan rumah tangganya itu sudah dapat ditangani dengan baik.

“Dalam keadaan apa pun, kita kena teruskan kehidupan. Setakat ini saya tidak mahu memikirkan soal kahwin. Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang, ada karier dan ada anak-anak untuk diberi perhatian. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang seni juga semakin bertambah baik dan sehingga sekarang tawaran lakonan dan nyanyian sentiasa ada. Malah saya juga bertuah kerana hingga sekarang, saya masih diberi kepercayaan untuk menjadi duta kepada produk kecantikan SKII yang kini sudah mencecah 12 tahun kami bekerjasama.

“Saya juga gembira melihat anak-anak yang semakin membesar. Oleh sebab mereka sudah bersekolah, jadi ia memudahkan saya untuk menguruskan mereka. Memandangkan hari-hari biasa mereka bersekolah, jadi tempoh itu saya gunakan untuk bekerja. Hujung minggu pula, saya akan luangkan masa bersama mereka,” kata Jee yang turut mengakui ada berkawan dengan ramai lelaki. Bagaimanapun ia tidak lebih dari hubungan sebagai kawan biasa.

Lumrah manusia yang dicipta hidup berpasangan, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’ ini tidak menolak sekiranya ditakdirkan dia akan bertemu jodoh lagi dengan seseorang nanti. Pinta Jee, bukanlah dalam masa terdekat ini kerana dia masih belum bersedia untuk kembali menempuh alam berumah tangga.



Bertemu ibu Perdana Menteri

Dalam perkembangan lain, Jee yang pernah membintangi teater Rubiah 10 tahun lalu, kini bakal beraksi semula di pentas Istana Budaya, sebagai Tun Rahah menerusi teater muzikal Tun Abdul Razak bermula 16 hingga 20 Ogos ini. Bakal bergandingan dengan aktor Rashidi Ishak (Tun Razak), teater anjuran Aswara dengan kerjasama Istana Budaya itu bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk digalas.

Dia yang pada mulanya agak gentar untuk membawakan watak itu, bagaimanapun melihat teater arahan Datuk Rahim Razali itu dengan cara positif dan menganggapnya sebagai satu cabaran baru untuk menjayakan pementasan sempena hari kebangsaan negara.

Selain banyak membuat latihan, serta berkongsi idea dengan tenaga pengajar teater, Jee turut membeli buku-buku sejarah untuk mendalami sejarah kemerdekaan negara. Lebih bermakna, Jee berpeluang menemui ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah, dengan lebih dekat setelah diatur oleh temannya yang merupakan ahli keluarga itu. Akui, ia merupakan pengalaman yang berharga, kata Jee, pertemuan itu memberikannya semangat untuknya menjayakan pementasan itu.

“Syukurlah, beliau masih sihat. Perbualan kami berlangsung secara ‘casual’ dan adalah dalam beberapa jam. Beliau banyak menceritakan tentang perjuangannya bersama Tun Abdul Razak. Saya amat kagum dengan sikap beliau yang begitu merendah diri, baik dan tenang orangnya.

“Sambil berbual, saya perhatikan caranya bercakap, senyum, serta gerak-gerinya untuk dijadikan sebagai panduan untuk saya membawakan wataknya itu nanti. Saya juga ada bertanya dan minta pandangannya tentang props dan pakaian yang pernah digunakannya. Malah beliau juga tidak keberatan untuk tunjukkan gambar-gambarnya masa dulu.

“Babak saya dalam teater ini tidaklah banyak sangat, tapi memandangkan Tun Rahah adalah ‘tulang belakang’ kepada kejayaan Tun Abdul Razak, maka saya akan berusaha untuk membawa watak ini dengan berkesan,” kata Jee yang ditemui ketika majlis pelancaran teater itu di Istana Budaya.

Sudah namanya teater muzikal, pastilah Jee tidak ada masalah untuk menyanyi dalam teater itu, apatah lagi dia sudah sebati dengan industri seni suara buat sekian lamanya. Namun bagi Jee, menyanyi untuk pementasan teater itu masih ada cabarannya kerana dia harus menyesuaikan penyampaian lagu dengan situasi lakonan.

“Kemungkinan besar saya akan menyanyikan 4 atau 5 lagu dalam teater ini. Itu pun melibatkan ‘scene’ di rumah dengan Shidi nanti. Kami sudah buat latihan hampir sebulan dan setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Shidi pun banyak membantu saya untuk menghayati watak Tun Rahah. Apa sahaja kekurangan dan kelemahan, Insya-Allah akan saya cuba atasi, ” kata Jee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: