Biar usia makin meningkat, penampilan diri tidak harus ditolak ke tepi

ORANGNYA cantik. Tinggi dan memiliki sosok tubuh yang menawan, Jasmin Hamid yang kini dilabelkan semakin seksi terus menjadi bahan bualan.
Isu peribadinya, terutama status dirinya sama ada sudah bercerai secara sah atau masih menggantung masalah rumah tangganya dengan suami, Ian Rashid Macquistan, 36, selepas dia menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya itu tahun lalu turut hangat diperdebatkan.
Namun, sikap Jasmin yang bijak mengunci mulut daripada menjaja hal peribadi menjadikan dirinya terselamat dilanda kontroversi murahan. Malah isu tersebut lenyap begitu sahaja di sebalik kehebatannya memukau penonton dengan lakonan-lakonan mantapnya di kaca televisyen.
“Hal peribadi adalah hak milik saya. Saya tidak akan berkongsi dengan sesiapa. Saya lebih selesa bercakap tentang kerjaya saya. Kontroversi boleh menutup periuk nasi seseorang,” katanya tidak lama dulu mengulas isu peribadi yang lebih senang disimpan sendiri.
Sementara tentang persepsi khalayak yang menganggap dia kini kembali tampil seksi dan menggoda seperti zaman anak daranya dulu, Jasmin memberitahu sebagai seorang pelakon dia harus menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan cantik. Sementelah sebagai wanita, katanya, biar usia makin meningkat, penampilan diri tidak harus ditolak ke tepi.
Bercakap tentang kariernya, wanita yang pertama kali membuat kemunculan perdana melalui filem Boss dan Kanta Serigala pada tahun 1991 kini lebih mesra di kaca televisyen. Pelbagai jenis karakter termasuk antagonis, wanita teraniaya dan penggoda, semua sudah dilakonkan dengan cemerlang.
Tetapi kini keletah dan kredibiliti lakonannya dapat disaksikan dalam drama komedi Datin WanAbe setiap Selasa pada pukul 10 malam di TV3 yang menyaksikan Jasmin menggeletek hati khalayak dengan watak Kat melalui dialog bahasa Inggeris yang berterabur dalam sebutan Kelantan dan begitu obses untuk menjadi kaya.
Lakonan Jasmin juga boleh ditonton menerusi drama yang sudah memasuki musim keenam, Bong yang hangat ditayangkan pada setiap hari Isnin pada pukul 9.35 malam di saluran TV9.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: