Friday, August 7, 2009

Jamal Abdillah yang tiada tandingan


KEHEBATAN Jamal terletak pada vokal dan aksi lakonannya yang bersahaja.


KELEBIHAN dan keistimewaan yang dimiliki oleh seniman tersohor, Jamal Abdillah ini adalah vokalnya yang cukup mengagumkan dan hebat itu.

Biarpun kehidupannya diuliti dengan kisah silam yang hitam dan mampu meranapkan perjalanan seninya, itu bukan satu halangan untuk dia terus disayangi dan dipuja peminatnya.

Lantaran itu, tidak mustahil apabila malam Selasa lalu Panggung Sari, Istana Budaya (IB) telah dibanjiri 1,000 orang peminat dan hadirin yang diundang untuk menonton malam raptai penuh persembahannya.

Mereka hadir dengan satu tujuan iaitu mahu menonton persembahan Jamal...Kembara Seniman yang sudah pun membuka tirainya pada 5 Ogos lalu dan berakhir Ahad ini (9 Ogos).

Jamal...Kembara Seniman bukan sebuah persembahan biasa kerana ia menggabungkan pementasan teater muzikal dan konsert yang ditunjangi serta inisiatif Jamal menerusi syarikatnya, Bintang Channel Sdn. Bhd.

Tiga tahun lalu, buat pertama kalinya anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini menjejakkan kaki di pentas bertaraf dunia itu menerusi konsert solonya yang mencipta kejayaan yang cukup luar biasa.

Untuk itu, tidak mustahil untuk Jamal...Kembara Seniman ini mengulangi kejayaan yang sama meskipun formulanya adalah berbeza.

Sungguh pahit dan perit untuk ditelan apabila sehingga kini tiada mana-mana penaja yang mahu menaja konsertnya. Tetapi itu bukanlah satu halangan buat Jamal untuk memberikan persembahan yang cukup menarik.

Jamal...Kembara Seniman terbahagi kepada dua segmen di mana segmen pertama merupakan pementasan teater muzikal yang menyingkap dan membongkar kisah di sebalik nama Jamal Ubaidillah Ali sehingga menjadi Jamal Abdillah.

Menerusi segmen kedua pula, ia merupakan sebuah konsert yang menyaksikan alunan indah dan merdu oleh Jamal menerusi hampir 30 buah lagu dendangannya dalam pelbagai rentak.

Seperti yang diuar-uarkan Jamal sebelum ini, pementasan Jamal...Kembara Seniman merupakan luahan dan ekspresi Jamal dalam membongkar kisah hidupnya yang disimpan rapi.

Mungkin tidak ramai yang ketahui pelbagai kisah menarik yang berlaku dalam dirinya. Sudah pasti, agak mustahil untuk menceritakannya dalam masa yang terhad.

Lantas, penceritaan dari mula hingga akhir menerusi segmen pertama pementasan ini berjaya dizahirkan dengan baik meskipun ada beberapa adegan dilihat sedikit meleret-leret dan tiada kesinambungan.

Ternyata, kehebatan Jamal sebagai seorang pelakon masih lagi unggul selepas kali terakhir beraksi dalan Suratan Kasih pada tahun 1997.

Bahkan, ini juga kali pertama Jamal menonjolkan bakat lakonannya di atas pentas sekali gus ia berjaya mengubat kerinduan peminatnya yang mahu melihatnya beraksi sebagai seorang pelakon.

Jamal berjaya menterjemahkan kisah-kisah yang berlaku sewaktu zaman remaja dan babak menarik di pasar minggu di Telok Anson (sebelum ditukar kepada Teluk Intan) yang menjadi kenangan terindah buat Jamal.

Tidak cukup dengan itu, babak-babak berkenaan telah diselang-seli dengan lagu-lagu seperti Bunga Pujaan dan Pesona Dusta bagi menguatkan lagi penceritaan.

Penonton seterusnya memberikan tepukan paling gemuruh dan disulami dengan sorakan apabila klip video sewaktu Jamal membuat persembahan menerusi lagu Senandung Semalam pada malam akhir Bintang RTM 1979.

Sebaik tirai dibuka, di tengah pentas Jamal mengalunkan bahagian korus yang telah membangkitkan perasaan luar biasa di dalam Panggung Sari.

Vokal Jamal yang ampuh dan bertenaga itu berjaya memecah keheningan di dalam panggung sehingga semua penonton tertumpu kepada dirinya.

Sebelum ini, Jamal ada mengatakan pementasan ini juga akan menceritakan bagaimana konflik yang berlaku antara dirinya dan komposer tersohor, Datuk Dr. Ahmad Nawab yang telah meletakkan namanya di puncak.

Sungguh menarik melihat adegan drama yang berlaku antara Jamal dan Ahmad Nawab yang dilakonkan oleh Fathil Hidayat Ghazali sewaktu menjalani rakaman album.

Untuk itu, Jamal mengadakan segmen penghormatan untuk Ahmad Nawab menerusi lagu-lagu medley seperti Perpisahan Tanpa Relamu, Nasib Diriku, Kembalilah dan Sepi Seorang Perindu.

"Sebenarnya apa yang saya tonjolkan bukanlah sama seperti mana yang telah berlaku. Saya cuma mahu memberitahu kepada audiens itulah realitinya apabila menjadi seorang penyanyi dan penghibur.

"Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak sedangkan mereka tidak tahu bagaimana perasaan yang ditanggung oleh kami yang bergelar penyanyi," kata Jamal yang ditemui selepas pementasan berakhir.

Lantas, Jamal mengalunkan lagu Seniman Menangis di mana liriknya dihasilkan oleh Habsah Hassan yang bertepatan dengan hidupnya sebagai seorang seniman tersohor.

Nyanyian Jamal cukup terkesan dan luahan itulah yang mahu diceritakan kepada audiens yang selama ini terhibur dengan persembahannya.

Sedangkan, apa yang berlaku dalam dirinya hanya dia seorang sahaja yang menanggungnya.

Adegan itu dijayakan dengan baik oleh Jamal pada penutup segmen pertama yang memperlihatkan bagaimana Jamal meluahkan isi hatinya secara bermonolog.

Jamal...Kembara Seniman diteruskan dengan segmen kedua yang merupakan sebuah konsert yang menampilkan lagu-lagu popularnya yang disusun dan digubah semula oleh pengarah muzik, S. Atan.

Peminat dan penonton yang hadir ternyata berpuas hati dan terhibur dengan persembahan Jamal sepanjang segmen itu berlangsung.

Lagu-lagu seperti Perjalananku, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Ghazal Untuk Rabiah, Gadis Melayu, Apa Lagi, Kau Lupa Janji, Aku Penghibur, Hatiku Luka Kembali, Antara Yakin dan Curiga dan Hingga Tiba Saat Ini yang menjadi intipati kepada perjalanan segmen kedua itu.

Segmen kedua berkenaan juga diserikan dengan kehadiran juara Bintang RTM 2009 iaitu Nur Ernie Shahirah Zakri yang berduet dengan Raja Pop itu menerusi lagu Kehebatan Cinta dan Seri Langkat.

Bukan itu sahaja, pemenang tempat ketiga Bintang RTM 2009, Nur Fatin Nabila Noor Sazley turut diberi peluang apabila menjadi pasangan duet Jamal untuk lagu malar segar, Sandarkan Pada Kenangan.

"Saya begitu meminati dan menyanjungi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana dia merupakan pengaruh terbesar untuk saya bergelar sebagai seorang artis," ujar Jamal sebelum membuat persembahan dalam segmen penghormatan untuk figura unggul itu.

Tiga lagu yang disampaikan Jamal dalam gayanya yang tersendiri adalah Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang dan Tunggu Sekejap.

Tidak lengkap rasanya persembahan Jamal seandainya dia tidak menyampaikan lagu-lagu berentak deli dan tradisional.

Untuk itu, rangkaian lagu-lagu seperti Lancang Kuning, Berdendang Dalam Tangisan dan Samrah Mentari sebelum dia tampil sekali lagi menyampaikan lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang yang didedikasikan kepada arwah bapanya.

Menyaksikan persembahan Jamal, banyak perubahan yang dapat dilihat dalam diri seniman tersohor ini.

Masakan tidak, melihat aksinya di atas pentas bertaraf dunia itu sudah cukup membuktikan Jamal sudah jauh berubah.

Tidak lagi berasa malu dan segan ketika melantunkan vokal emasnya, sebaliknya kali ini hadirin dapat melihat kuasa sebenar anak seni ini

Persembahannya penuh energetik dan dia begitu lincah di atas pentas. Malah, tutur katanya juga lancar dan dia semakin berani untuk berkomunikasi dengan audiens.

Dalam satu pertemuan seusai persembahannya, Jamal memberitahu semuanya itu tidak akan menjadi kenyataan seandainya peminat tidak memberikan semangat dan sokongan kepadanya.

Jelasnya, dia kini sedar bahawa peminat merupakan tunjang utama kejayaan seseorang artis itu.

"Dulu, saya ada satu perasaan takut dan malu untuk berhadapan serta membuat persembahan di hadapan peminat. Tetapi, lama-kelamaan saya sedar mereka masih lagi sayangkan saya dan menerima diri saya seadanya.

"Lantas, saya fikir saya perlu berubah dan memberikan satu persembahan yang baik dan meninggalkan kesan yang abadi buat peminat yang tidak pernah henti menyokong saya dari dulu hingga kini," jelasnya yang kelihatan sedikit penat namun masih mampu menguntum senyum.

Belum berpuas hati

Dalam pada itu, Jamal juga melahirkan rasa syukur dan gembiranya apabila mendapat tahu penjualan tiket untuk Jamal...Kembara Seniman kini sudah mencecah 70 peratus.

Tambahnya lagi, kekuatan promosi daripada pihak media terutamanya Kumpulan Utusan selaku media rasmi merupakan sebahagian daripada kejayaan penjualan tiket untuk persembahannya itu.

Berbicara tentang persembahan, Jamal mengakui dia masih belum berpuas hati dan masih lagi ada ruang dan masa katanya, untuk memperbaiki kelemahan terutama untuk segmen teater muzikal yang dilihat sedikit meleret.

"Disebabkan itu, banyak perbincangan dibuat oleh saya bersama Mohd. Fairuz Ariffin sebagai pengarah artistik serta Zainal Abidin Bujang yang merupakan pengarah persembahan dan pengarah tari.

"Mereka bentangkan konsep serta idea kepada saya dan seandainya saya merasakan ia sesuai dan kena dengan jalan cerita, saya menerimanya," ujarnya yang giat berlatih sejak sebulan yang lalu.

Untuk segmen konsert pula, mandat telah diberikan kepada S. Atan yang dilantik sebagai pengarah muzik.

Jamal juga mempunyai pandangannya sendiri apabila ditanya tentang ketiadaan sebahagian daripada lagu-lagu popularnya sepanjang persembahan itu.

"Lagu-lagu itu semuanya sudah banyak kali saya nyanyikan. Kali ini, saya cuba memberikan kelainan dengan menyanyikan lagu-lagu yang jarang dinyanyikan di mana ia merupakan lagu yang cukup bagus komposisinya," ujarnya.

Penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 itu juga ditanya tentang kemampuan dan stamina yang dimilikinya untuk mengadakan persembahan hampir tiga jam itu.

Jamal masih mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi tanpa sebarang cacat-cela sehingga membuatkan hadirin meremang bulu roma.

Sambil tersenyum, Jamal memberitahu, dia mengamalkan rejim yang diamalkan sejak sekian lama yang sudah menjadi sebahagian daripada ritual hidupnya.

"Sebagai penyanyi, saya harus menjaga amalan pemakanan saya selain bersenam untuk meningkatkan stamina agar saya mampu beraksi di pentas.

"Bukan itu sahaja, saya juga perlu tahu keadaan dan ketika untuk berlatih kerana jika dilakukan keterlaluan, ia juga mampu memberi kesan kepada vokal," tuturnya penuh semangat sambil matanya melirik ke arah dua puteranya, Osama Yamani, 8, dan Ahmad Zaki Yamani, 2, yang hadir memberikan sokongan kepada 'baba'nya.

Mungkinkah Jamal...Kembara Seniman merupakan destinasi terakhirnya sebelum menutup bukunya sebagai seorang penghibur?

Melemparkan sekuntum senyuman, ini jawapannya: "Biarpun saya berdepan dengan masalah serta komplikasi sepanjang projek ini, itu bukan alasan untuk saya berasa serik beraksi dalam mana-mana konsert selepas ini.

"Menyanyi di hadapan peminat memberikan kepuasan yang tidak terhingga buat diri saya. Kalau saya berasa puas, saya mahu peminat lebih berganda rasa puasnya."

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: