Friday, August 7, 2009

Debaran Filem Terbaik FFM22


HEliza (kiri) dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Syurga Cinta yang dilakonkannya.


MALAM esok (Sabtu) Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah akan menyaksikan satu lagi sejarah tercatat dalam direktori penganjuran Festival Filem Malaysia edisi yang ke-22 (FFM22).

Hampir 30 anugerah termasuklah Anugerah Khas Juri akan diberikan kepada para pemenang festival filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) itu.

Para finalis dalam Top 5 festival itu tentunya berdebar-debar menantikan peluang mereka untuk membawa pulang hadiah berupa trofi serta wang tunai dalam kategori-kategori Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta yang dipertandingkan.

Klimaks malam kemuncak FFM22 pula ialah pengumuman Filem Terbaik daripada 27 filem cereka yang telah menghantar pencalonan masing-masing di mana tarikh tutup penyertaannya pada pertengahan Julai lalu.

Filem Talentime, Maut dan Papadom merupakan filem yang paling disebut-sebut mampu untuk menggondol anugerah utama itu kerana kekuatan yang terdapat dalam jalan ceritanya.

Tiga filem itu yang juga merupakan finalis bagi kategori Cerita Asal Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik sedikit sebanyak boleh menguatkan lagi telahan tersebut.

Jalan cerita yang asli merupakan intipati terpenting dalam mengangkat sesebuah filem untuk muncul sebagai Filem Terbaik pada festival itu ataupun pada mana-mana juga festival filem di seluruh dunia.

Ini kerana apalah gunanya menghasilkan sebuah filem yang hebat dan menghiburkan jika idea yang diketengahkan sudah banyak kali dikitar semula di layar perak serta tidak pula menggambarkan 'filem kita wajah kita' di dalamnya?

Selepas itu barulah perkiraan lain diambil kira, contohnya daripada sudut pengarahan dan lakon layar. Dalam senario ini, Papadom, Talentime dan Maut dikatakan mempunyai peluang yang lebih menyerlah dengan ciri-ciri tersebut.

Jika panel juri membuat penekanan daripada segi nilai-nilai kekeluargaan dan kasih sayang, Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad paling kuat dengan elemen itu. Maut arahan Bade Azmi banyak mengangkat realiti kisah sosial masyarakat hari ini dalam karyanya itu.

Sementara Papadom arahan Afdlin Shauki pula menyerlah dengan gaya pengarahannya yang santai dalam mencernakan unsur-unsur sinikal yang bercampur baur dengan elemen kemalaysiaan menerusi watak-watak dalam filem itu.

Maka terpulanglah atas budi bicara panel juri untuk mengutamakan kriteria mana satukah yang akan mereka gunakan untuk mengangkat pemenang Filem Terbaik pada FFM22 kelak.

Cuma yang agak mencurigakan ketika bercakap tentang kategori Cerita Asal Terbaik apabila mendapati filem seperti Syurga Cinta turut dimasukkan sebagai finalis dalam kategori tersebut.

Ini kerana jalan cerita filem arahan Ahmad Idham itu dikatakan sedikit sebanyak menyerupai filem Indonesia yang berjudul Kiamat Sudah Dekat lakonan Deddy Mizwar ataupun Ayat-Ayat Cinta yang pernah ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan tidak lama dulu.

Turut mencetuskan tandatanya apabila filem animasi tempatan paling hebat tahun ini iaitu Geng: Pengembaraan Bermula tidak tersenarai sebagai finalis dalam kategori Filem Animasi Terbaik.

Sebaliknya, tiga filem animasi lain yang hanya ditayangkan di televisyen iaitu Upin & Ipin dan Kawan-Kawan: Kembara Ke Pulau Harta Karun, My Telatori dan Still Alive telah dicalonkan untuk bersaing dalam kategori tersebut.

Selain Filem Terbaik, kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pula menyusul sebagai antara anugerah yang penting dalam mewarnai kemuncak FFM22 yang turut dijayakan oleh Kerajaan Negeri Sabah itu.

Berdasarkan kekuatan tiga filem tersebut, Yasmin, Bade dan Afdlin tentunya akan berdebar-debar menantikan keputusan daripada para juri profesional bagi mengungguli kategori Pengarah Terbaik.

Di sini pilihan utama Hits sama ada Yasmin dan Bade paling kuat memberi saingan untuk mengungguli kategori tersebut.

Malah, para penonton yang telah menonton filem-filem itu kecuali Papadom yang belum ditayangkan kepada umum tentunya juga boleh membuat penilaian mereka sendiri.

Mungkinkah penilaian dan citarasa mereka sama ataupun berbeza dengan keputusan yang akan diputuskan oleh panel juri nanti?

Terpulanglah atas persepsi masing-masing kerana keputusan juri tentunya muktamad. Apatah lagi, penghayatan dan penilaian dalam bidang seni termasuklah filem cukup subjektif untuk dihuraikan secara spesifik.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Que Haidar menerusi filem Maut yang dilakonkannya banyak memberi impak serta memberi saingan terdekat kepada Afdlin (Papadom).

Sementara Rashidi Ishak (Setem), Awal Ashari (Syurga Cinta) dan Mahesh J. Kishor (Talentime) pula boleh dikatakan masih baru berbanding dua pelakon tersebut.

Bagaimanapun, ramalan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik sedikit sukar untuk diputuskan kerana tahun ini menyaksikan persaingan sengit daripada kalangan muka-muka baru kecuali Sharifah Amani dalam kategori itu.

Lima finalis kategori Pelakon Wanita Terbaik ialah Nabila Huda menerusi filem Bohsia, Nadia Mustafar (Jangan Tegur), Liyana Jasmay (Papadom), Sharifah Amani (Sayang U Can Dance) dan Heliza Helmi (Syurga Cinta).

Untuk kategori ini Hits meramalkan Nabila Huda, Liyana Jasmay dan Heliza mampu mengungguli kategori itu berdasarkan kekuatan watak lakonan masing-masing.

Ia juga boleh dikuatkan lagi apabila filem lakonan mereka itu turut tersenarai dalam beberapa kategori penting seperti yang telah pun disebut di atas tadi.

Kriteria penjurian bagi kategori Filem Cereka sedikit sebanyak pernah dijelaskan oleh pihak penganjur, tetapi bagi kategori-kategori lain ia seperti tidak banyak dikongsi bersama sebelum ini.

Sebagai contohnya, apakah kriteria penjurian yang diguna pakai bagi kategori Filem Komedi Terbaik? Adakah gaya komedi sitkom, slapstik atau komedi bagaimanakah yang akan dijadikan kayu ukuran?

Lima filem yang menjadi finalis kategori Filem Komedi Terbaik ialah Los dan Faun, Cicak-Man 2, Senario The Movie: Episod 1, Sifu dan Tongga serta Brainscan.

Cuma dalam banyak-banyak anugerah FFM, hanya satu anugerah iaitu Anugerah Filem Box-Office sahaja yang mampu diketahui keputusannya berdasarkan kutipan tiket tertinggi yang diraih sewaktu tayangannya di pawagam.

Sepanjang tahun lalu dan tahun ini, filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. mempunyai harapan paling cerah menggondol anugerah itu dengan kutipannya mencecah RM6 juta ketika ia ditayangkan baru-baru ini.

FFM22 yang dianjurkan dengan kos RM2.8 juta termasuklah hadiah untuk para pemenangnya akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM mulai pukul 8.30 malam esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: