
SI CILIK, Hasan Mahadi Shahruddin, 11, memiliki persamaan dengan sifunya, Brandon. Apa lagi kalau bukan menjadi peminat tegar Bruce Lee.
Malah perjalanan hidupnya juga sama seperti Brandon. Hasan pernah menyampaikan hasrat kepada bapanya untuk menjadi seperti Bruce Lee.
Semasa berusia 11 tahun, dia telah memiliki tali pinggang hitam taekwando. Kini, Hasan mempelajari pula kung fu Ving Tsun di bawah tunjuk ajar Brandon.
Berkat usaha ayahnya, Shahruddin Mohd. Sharif, 50, Hasan kini bergurukan pakar Ving Tsun itu sejak dua bulan lalu.
"Saya membuat penyelidikan mengenai guru-guru kung fu yang ada di Malaysia.
"Hingga pada suatu hari, saya terbaca mengenai Brandon dalam majalah Pendekar dan membawa anak saya untuk mempelajari seni bela diri Bruce Lee itu," katanya. Jurulatih renang itu mengakui dia sanggup berbuat apa sahaja untuk anak tunggalnya itu.
Ingin membuka minda dan memberi ketajaman fokus kepada Hasan, Shahruddin tidak kisah jika perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi membiayai kos mempelajari kedua-dua seni bela diri itu.
Hasan hanya perlu menghadiri kelas pada hari Sabtu dan Ahad.
Menurut Brandon, Hasan memiliki bakat luar biasa dan berpotensi menjadi jurulatih Ving Tsun.
"Untuk permulaan, saya mengajar Hasan dari segi menguatkan otot tangan dan kakinya.
"Setiap hari Hasan perlu menendang 'kayu penendang' dan menumbuk bekas yang berisi kacang soya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: