
MATA bening Brandon Chan, 38, tajam menikam retina Oliver Lee, 35. Barangkali sebagai anak murid dan rasa bersalah, Oliver gentar untuk bertarung dengan sifunya, lalu dia tunduk menikus.
Pantas sahaja buku lima Brandon hinggap ke muka Oliver dan dia jatuh menyembah bumi. Tidak cukup dengan itu, kaki Brandon juga menghentak perut Oliver.
Namun, Oliver pantas mengelak dan bangun mendapatkan kayu panjang untuk mempertahankan diri, sebelum dia dibelasah lagi oleh sifunya yang naik berang.
Bagaikan tidak adil jika hanya Oliver menggunakan senjata, Brandon mencapai pisau Bak Chum Dao di dinding dan cuba menetak tangan serta leher Oliver.
Keadaan Pusat Kung Fu Ving Tsun Malaysia yang terletak di Desa Seri Damansara, Kuala Lumpur itu menjadi kalut dan mendebarkan.
Ia persis sebuah perlawanan seni bela diri yang sebenar. Sedangkan, adegan itu hanyalah untuk rakaman jurufoto Kosmo, Izham Jaafar.
Gerak langkah yang pantas dan jeritan suara 'wata', 'auuu' terpacul daripada mulut Brandon.
Minat Bruce Lee
Ia sekali gus mengingatkan kepada filem-filem kung fu lakonan legenda abad ke-20, Bruce Jun Fan Lee atau lebih dikenali sebagai Bruce Lee.
"Memang saya minat sangat dengan Bruce Lee. Sebab itu saya belajar seni bela diri, Ving Tsun. Seni bela diri yang sama dipraktikkan Bruce Lee satu ketika dahulu sebelum beliau mencipta sistem pertarungan sendiri yang digelar Jeet Kune Do," kata Brandon.
Jeet Kune Do ialah hasil proses seni bela diri sepanjang hayat yang dilalui Bruce Lee. Bruce Lee pernah berkata, konsepnya bukan menambah sesuatu, sebaliknya menghasilkan sistem mempertahankan diri yang benar-benar hebat.
Filem-filem lakonan Bruce Lee menjadi bahan tontonan kegemaran Brandon. Malah, kerana minat mendalam pada pelakon yang lahir pada tahun 1940 itu, dia digelar Bruce Lee Malaysia oleh rakan-rakannya.
Pernah semasa kecil dia menyuarakan hasratnya untuk menjadi seperti Bruce Lee kepada bapanya.
Brandon yang baru berusia sembilan tahun ketika itu dibawa bapanya untuk mempelajari Taekwando. Tidak berpuas hati, Brandon kemudian mempelajari seni bela diri Filipina.
Belajar Ving Tsun
Sehinggalah Brandon dipertemukan dengan seorang guru Ving Tsun, Wong Yum Sun pada usia 20 tahun.
Bagaikan mencapai satu kepuasan apabila mempelajari Kung Fu Ving Tsun. Selepas mempelajarinya, dia dapat merasakan kelainan ketara berbanding seni bela diri yang lain.
![]() |
| OLIVER merupakan antara anak murid Brandon yang mahir dalam kung fu Ving Tsun. |
"Ving Tsun tidak memerlukan bunga atau langkah yang panjang. Seni bela diri dari China itu hanya menggunakan pergerakan yang cepat dan tangkas. Ibarat seekor ular yang menerkam mangsanya dengan senyap," katanya mengenai keistimewaan Ving Tsun yang dahulunya dikenali sebagai Wing Chun.
Tegas Brandon, Ving Tsun hanya memerlukan pergerakan dua hingga tiga saat untuk menumbuk lawan. Ia seperti kilat yang menyambar mangsanya sehingga boleh menyebabkan kematian.
Ving Tsun nyata membuka lembaran baru dalam hidup Brandon sepanjang pembabitannya selama 18 tahun dalam seni bela diri itu.
Brandon yang turut memiliki tali pinggang hitam dalam Taekwando memberitahu, seni bela diri itu masih lagi belum meluas di Malaysia.
Hanya terdapat 20 orang pengikut sewaktu dia menyertainya. Namun, kini seni bela diri itu mempunyai lebih 50,000 ahli di Malaysia.
Orang Melayu dan India turut menyertainya. Ia tidak lagi dimonopoli kaum Cina seperti lazimnya.
"Demi mendalami ilmu ini, saya pernah pergi ke Hong Kong dan bertemu dengan rakan seperjuangan Bruce Lee iaitu Ip Chun, anak kepada Ip Man (sifu yang pernah mengajar Bruce Lee).
"Bertemu dengan beliau seolah-olah saya bertemu Bruce Lee. Malah, adalah satu penghargaan apabila beliau sanggup mengajar saya Kung Fu Ving Tsun yang sukar," katanya yang menyimpan impian untuk menjadi Bruce Lee kedua sejak kecil lagi.
Aura yang dibiaskan Brandon sekali gus menggambarkan kentalnya semangat sifu muda ini.
Mendekati dirinya, bagai ada misteri dan semangat luar biasa melingkari segenap ruang tatkala Brandon membuka langkah kung funya.
Lantas, tidak hairan jika lelaki berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang punya susuk tubuh mantap dengan binaan otot yang 'cantik' itu sering menang dalam pertandingan yang disertainya.
Bagaimanapun, ilmunya bukan setakat di gelanggang pertandingan.
Pernah suatu ketika, dia diserang tiga orang lelaki yang tidak dikenali semasa berjalan pulang selepas minum bersama beberapa rakan.
Brandon diserang lelaki bersenjatakan parang dan kayu. Namun terselamat kerana seni bela diri yang dimilikinya.
Selain bergelar pakar bela diri, Brandon juga pernah menjadi pembimbing para pelakon drama dan filem Malaysia. Antara filem yang mendapat sentuhannya termasuklah Larut dan Pendekar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: