BIARPUN sedang sibuk dalam menguruskan pementasan teater 'Cuci the Musical', pelakon dan pengarah, Hans Isaac, masih sempat untuk menjayakan penggambaran filem arahan Afdlin Shauki, yang telah bermula sejak minggu lepas.
Filem yang berjudul 'Jalan Lama' ini akan tamat penggambarannya pada 7 September ini ekoran Hans dan Afdlin yang terlibat di dalam pementasan 'Cuci the Musical' akan mengadakan sebuah raptai untuk teater ini bersama artis-artis yang terlibat pada 8 September nanti di Istana Budaya
"Penggambaran ini perlu dijalankan segera kerana saya dan Afdlin terlibat dalam 'Cuci the Musical' dan kami kena adakan raptai pada 8 September ini bersama semua artis yang terlibat dalam pementasan ini.
"Jadi 7 September tu adalah hari terakhir kami 'shooting' untuk filem ini dan selepas itu baru boleh tumpukan semula pada pementasan teater itu nanti," katanya ketika dihubungi mStar online.
Hans turut menceritakan sedikit sebanyak berkenaan filem terbaru lakonannya ini yang turut menampilkan pelakon-pelakon handalan seperti Afdlin Shauki, Que Haidar, Vanidah Imran, Marion Caunter dan Datuk Tarmimi Siregar.
"'Jalan Lama' menceritakan tentang dua adik beradik, pada ketika itu si abang membawa adiknya pulang ke kampung mengikut jalan lama. Pada masa itu lah berbagai-bagai kejadian berlaku.
"Filem ini sebuah filem drama/thriller. Dia ala-ala cerita hantu dan dimasukkan sedikit elemen cerita 'Lord of the Ring' di mana ada berbagai-bagai mahkluk dan bunian dala filem ini," jelas Hans tentang filem yang menjalani penggambaran di Perak dan Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru teater 'Cuci the Musical' Hans mengatakan, penjualan tiket telah pun dimulakan pada dua minggu lepas namun promosi dan iklan masih belum sempat dijalankan.
"Kita dah buka penjualan tiket dua minggu lepas, tapi kami baru iklankan di Facebook sahaja. Selepas raya nanti mungkin iklan dan promosi akan dibuat di surat khabar, radio, televisyen dan banyak lagi.
"Saya pun masih sibuk dengan 'shooting' jadi masih belum sempat untuk periksa jumlah jualan tiket, tapi apa yang saya tahu pada hari pertama dibuka, 1000 tiket telah berjaya dijual," kata pemilik syarikat produksi Tall Order Productions Sdn Bhd (TOPSB) ini.
Selain Hans dan Afdlin, turut membintangi teater ini ialah Awie, A.C Mizal, Adibah Noor, Vanidah Imran, Harith Iskandar dan ramai lagi.
Hans juga memberitahu bahawa syarikatnya juga telah menerbitkan sebuah drama yang akan ditayangkan pada 11 septermber ini di TV9. Drama yang brjudul 'Biru Cinta Laguna' itu juga turut menampilkan Hans Isaac sebagai pelakonnya.
'Cuci the series' juga bakal ditayangkan pada bulan 11 nanti di RTM2 setelah tamat pementasan 'Cuci the Musical'.
Kepada peminat-peminat Hans Isaac yang ingin menyaksikan teater 'Cuci the Musical' ini tiket boleh didapati dalam lapan harga yang berbeza bermula dari RM 30 hingga RM 200. Peminat yang membeli tiket tersebut dengan segera akan mendapat diskaun Hari Raya.
Tayangan ini akan diadakan di Istana Budaya pada 23 Oktober 2009 bermula jam 8.30 malam. Pembelian tiket boleh dilakukan dengan melayari www.axcess.com.my atau menelefon ke nombor 03-77115000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: