KEHADIRAN Ramadan tahun ini cukup istimewa buat Nasreen Ngasri yang mesra disapa Darling ini.
Kali pertama menyambut Ramadan sebagai isteri memang membuatkan dirinya cukup teruja dan memberikan satu pengalaman baru buat produser dan dramatis berusia 26 tahun ini.
Akui Darling, jika dulu, dia menyediakan juadah berbuka untuk dirinya dan keluarga, tetapi kali ini, dia perlu mengambilkira juadah kegemaran si suami, Nur Azlin Rahmat, 34, pula.
"Memang rasa berbeza sungguh Ramadan kali ini sebab sebagai isteri, saya kena jaga pemakanan suami. Tapi, tidaklah sukar mana pun kerana sebelum berkahwin dulu, saya juga memang selalu bantu ibu menyediakan makanan untuk berbuka puasa.
"Nasib baik juga, suami bukanlah seorang yang cerewet tentang bab makan. Rasanya, saya yang lebih cerewet. Tapi, apapun, suami saya memang lebih suka saya memasak sendiri sebab katanya dia lebih suka 'air tangan' saya," ujar Darling dalam nada ceria.
Menurut Darling, dia akui tidak begitu hebat tentang masakan. Namun, tuturnya, sejak berkahwin kira-kira tiga bulan lalu, dia memang cukup berminat mempelajari pelbagai jenis masakan.
"Sekarang ini banyak juga buku resipi yang saya beli. Seronok juga cuba masakan baru untuk suami," ujar Darling yang menambah, antara makanan kegemaran suaminya ialah sambal tempe.
Berbicara tentang bulan mulia ini, Darling sempat bercerita tentang kenangan Ramadan yang dilaluinya pada tahun lalu.
Ujarnya, bulan Ramadan tahun lepaslah yang telah menemukannya dengan suami tercinta.
"Saya berkenalan dengannya pada Ramadan lalu ketika sama-sama mengerjakan solat Terawih di Masjid Wilayah Persekutuan. Tapi waktu itu kami hanyalah berkawan biasa saja.
"Memang kami sering bertemu di masjid itu setiap kali melakukan Terawih. Tak sangka pula dari situ, hubungan kami terus berlanjutan hingga ke alam perkahwinan," ujarnya yang juga mengimpikan untuk menimang cahaya mata.
Darling dan Nur Azlin telah diijabkabulkan pada 30 Mei lalu. Pada majlis itu, Darling menerima mas kahwin RM80, wang hantaran sebanyak RM22,222.22 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada pihaknya.
Ditanya tentang perkembangan seninya, kata Darling, dia baru saja selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Gabra yang akan disiarkan di RTM1 pada Hari Raya nanti.
Darling juga sibuk menguruskan produksi miliknya dan pada masa yang sama, aktif dengan Pergerakan Puteri Umno.
terkenang daku pd tahun pertama beraya dgn bini.
ReplyDelete_______________________
View Profile: Rantong™