Tuesday, August 4, 2009

Guru wanita mangsa terbaru influenza A (H1N1)



KUALA LUMPUR - Jumlah kematian akibat influenza A (H1N1) di Malaysia kini meningkat kepada lapan dengan kematian seorang guru perempuan di Seremban, Negeri Sembilan.

Guru dari Selangor itu dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Seremban kelmarin dan meninggal pada malamnya.

Beliau mendapat rawatan dari sebuah klinik swasta 27 Julai dan di Hospital Sungai Buloh pada 30 Julai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan doktor dan ibu bapa supaya berwaspada terhadap pesakit yang mempunyai simptom seperti selesema.

“Ekoran peningkatan kematian akibat H1N1 akhir-akhir ini, dua daripadanya membabitkan kanak-kanak, Kementerian Kesihatan memberi penekanan terhadap langkah yang perlu diambil ibu bapa, doktor dan hospital bagi meminimumkan kemungkinan kematian seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, doktor perlu waspada terhadap pesakit yang mempunyai simptom seperti selesema dan pneumonia teruk terutama individu berisiko tinggi seperti orang gemuk, wanita mengandung, pesakit diabetes, pesakit respiratori kronik, dan mereka yang mempuyai daya tahan rendah.

Di SARAWAK, seorang ibu yang baru bersalin dua minggu lepas di Sarawak menjadi korban ketujuh negara akibat influenza A (H1N1).

Mangsa berusia 23 tahun itu yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Miri selepas mengidap pneumonia yang teruk, merupakan kes kematian pertama di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, pesakit itu telah bersalin di hospital yang sama pada 21 Julai lepas.

“Selepas bersalin, beliau didapati mengidap pneumonia yang teruk dan disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) 23 Julai lepas.

“Simptom utama beliau adalah demam dan batuk yang telah bermula empat hari sebelum bersalin. Bayi pesakit didapati selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan influenza A (HINI),” kata beliau.

Sejumlah 17 kes baru turut dilaporkan semalam, kesemuanya kes tempatan dan melibatkan warga Malaysia, menjadikan kes terkumpul sehingga 8 pagi ini sebanyak 1,446 kes dengan 97 peratus telah sembuh.

Hanya 29 kes yang menerima rawatan antivirus di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan di rumah.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan masih menerima banyak pertanyaan mengenai langkah-langkah pencegahan.

Beliau menasihati ibu bapa jangan membawa anak-anak kecil ke tempat-tempat yang sesak.

Orang ramai juga diminta menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan, menutup mulut ketika bersin atau batuk dan mengelak tempat yang sesak.

Di JOHOR BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan Johor Dr Robia Kosai berkata Sekolah Kebangsaan Taman Kenanga, Tampoi, tidak ditutup walaupun seorang muridnya meninggal dunia akibat Influenza A (H1N1), semalam.

Robia berkata Jabatan Kesihatan menjalankan pemeriksaan di sekolah berkenaan pagi semalam dan membuat saringan ke atas murid serta guru bagi mencegah penularan.

“Jabatan Kesihatan hanya memberi nasihat, namun pihak sekolah akan membuat keputusan yang sewajarnya sama ada untuk tutup atau tidak. Keputusan yang dibuat turut melihat kepada persekitaran sekolah dan situasi penularan virus tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Mohamad Fakri Syah Rosli, 11, murid darjah enam sekolah berkenaan meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi, selepas tiga hari mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: