Sunday, August 9, 2009

Duo pemuzik lucu




JERMAINE CLEMENT, 35, dan Bret Mckenzie, 33, bergabung untuk mencuba bakat dan menebarkan gelombang persahabatan. Setelah mencetuskan fenomena di negara asal, New Zealand, mereka ke pusat dunia, New York pula untuk tujuan yang sama.

Maka terciptalah Flight Of The Conchords, sebuah siri komedi muzikal yang merupakan kisah fiksyen kepada kehidupan realiti dua jejaka tersebut.

Ditayangkan di saluran HBO (Astro 411) pada pukul 10.30 malam setiap Rabu, siri ini telah pun memasuki musim kedua. Jermaine dan Bret memainkan peranan fiksyen versi diri mereka sendiri.

Bret mendapat nama gelaran Rhymenoceros dan Video Kid manakala Jemaine dipanggil sebagai The Hiphopopotamus.

Siri yang pernah memenangi anugerah ini bertemakan kisah kehidupan seharian kedua jejaka tersebut yang mahu bergelar pemuzik.

Kebanyakan episodnya berkisarkan lima karakter termasuk Jermaine dan Bret.

Watak antagonis yang dipaparkan terdiri daripada kawan-kawan dan teman wanita mereka sendiri. Malah lagu-lagu gubahan mereka digunakan sepenuhnya dalam siri ini.

Di alam realiti, persahabatan kedua-dua lelaki ini bermula ketika mereka sama-sama belajar di Universiti Victoria, Wellington.

Mereka mendalami ilmu perfileman dan teater sebelum menubuhkan kumpulan Flight of The Conchords.




Dengan nama yang sama, mereka melebarkan sayap populariti melalui rancangan radio pada tahun 2004 dan program televisyen pada tahun 2007.

Menamakan mereka sebagai ‘bekas pemain gitar keempat paling popular berdasarkan bongo acapella-rap-funk - duo folk komedi’, gabungan Bret dan Jemaine mendapat beberapa penganugerahan.

Antaranya, Aksi Komedi Alternatif Terbaik pada Festival Seni Komedi Amerika Syarikat dan Pendatang Baru Terbaik Festival Komedi Melbourne.

Malah mereka mendapat pencalonan pada Anugerah Emmys 2008 untuk kategori Penulisan Terbaik (Siri Komedi) dan Pengarahan Terbaik (Siri Komedi).

Ironinya, mendapat sukses yang besar di luar skala New Zealand, mereka dikatakan gagal mendapat penajaan daripada sebuah televisyen awam Negara Kiwi tersebut.

Khabar angin menyatakan lawak mereka terlalu ‘Wellington’ yang bermaksud humor yang mereka bawakan tidak sesuai dengan penduduk pertengahan yang tinggal di luar pusat bandar raya New Zealand.

Namun, itu tidak mematahkan semangat duo ini untuk terus menyemarakkan nama New Zealand di mata dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: