
PENYANYI dan penulis lirik dengan nama penuh Lenka Kripac menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu. Ia kunjungan kali pertama penyanyi Australia ini bagi mempromosi album terbarunya, Lenka yang dibawakan TM dan Sony Music dalam rangka Lenka Live in Malaysia.
Sedikit masa dahulu, Lenka bukan nama artis komersial yang dikenali banyak orang. Namun, lewat kebelakangan ini, mendengar alunan indah dan lunaknya suara Lenka yang lemak dan menggoda bagai satu wabak.
Lenka tiba-tiba menjadi penyanyi kegemaran masa kini. Deretan lagu-lagunya seperti The Show, We Made You, Like A Song, Knock Knock dan Trouble Is A Friend begitu sedap didengar.
Lenka merupakan seorang pelakon yang kemudian terjun menjadi salah seorang anggota kumpulan Decorder Ring yang menggunakan nama sebenarnya, Lenka Kripac sebelum meninggalkan nama Kripac itu apabila bergerak solo.
"Saya sudah lama mahu menjadi penyanyi solo. Perasaan itu ada sejak saya bersama Decorder Ring lagi sebelum dua tahun selepas bersama mereka, saya akhirnya ambil keputusan untuk bergerak solo," ucap Lenka tanpa selindung.
Dia kemudian meraih sukses melalui album yang menggunakan namanya sendiri, Lenka. Tidak langsung mempunyai ciri aliran elektro-rock seperti karya yang dia hasilkan sewaktu bersama Decorder Ring, Lenka mempesona khalayak dengan irama pop nya yang menyenangkan.

Ironinya, kata wanita yang boleh bermain piano dan trompet, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi apa lagi terkenal. Sambil ketawa mengenang kisah lampau, Lenka berkata: "Sejak usia lima tahun saya cakap saya tak akan jadi orang popular. Betul, saya memang tak nak popular.
"Tapi sekarang usia saya sudah masuk 30 tahun dan sejak beberapa tahun lalu, saya memang sudah terjebak dengan dunia yang memerlukan saya jadi popular. Ini lucu bukan?"
Banyak menulis mengenai kehidupan dan pengalaman yang dikutip daripada pelbagai sudut yang telah menjadikan karya-karya segar, Lenka bagaimanapun masih mempunyai cinta terhadap bidang lakonan.
Tetapi kali ini beritahu Lenka, dia tidak lagi mahu menjadi diri sendiri dalam karakter yang dibawanya. Sebaliknya dia mahukan karakter yang lebih mencabar.
"Menjadi diri sendiri sangat membosankan. Macam saya lakukan dalam klip video saya, itu adalah saya. Ia tidak mencabar. Sebab itu kalau ada peluang kembali berlakon, saya nak bawa watak yang tidak langsung menggambarkan diri saya," bicaranya yang satu masa dulu juga cukup popular sebagai hos program kanak-kanak Australia, Cheez TV.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: