Sunday, August 2, 2009

Dia hitam saya putih putih

Julie jawab isu seksi melampau dan teman lelaki Melayu


JULIE bahagia bersama Qi yang dikatakan memahaminya.


PELAKON, Julie Woon tidak menafikan dia adalah Julie Hoi, model yang berpakaian seksi suatu ketika dahulu. Dia akur apabila foto-foto seksinya kini disebarkan iaitu setelah dia berjaya menjadi Nina dalam siri Blogger Boy.

"Ya, gambar-gambar yang disebarkan itu adalah gambar saya. Ketika itu saya masih muda iaitu berusia awal 20-an dan saya menjadi model di Singapura. Saya hanya berpakaian dalam semasa bergambar untuk sebuah majalah Australia," akuinya tanpa penyesalan yang mendalam.

Namun, jika ditanya perihal sekarang, Julie bertegas dia tidak akan mengulangi lagi tindakan itu. Cukup hanya sekali, katanya.

"Mungkin waktu dulu darah muda dan saya tidak tahu cara yang betul untuk menonjolkan diri," ujar Julie, 25.

"Saya mendapat banyak reaksi daripada peminat dan rata-rata tidak mengkritik, cuma mereka mahu mendapat kepastian.

"Saya harap ini menjadi pengajaran untuk mereka juga. Maksudnya, bila mahu melakukan sesuatu, harus berfikir panjang walau apa pun agama yang kita anuti," tegas pengacara program Motorsport ini.

Tidak tertekan dengan isu pakaian dalam dan ekstra-seksi yang sedang panas di Internet, Julie turut mendapat sokongan penuh 'kekasih hatinya', Qi atau Qushairi Razali yang juga pasangannya dalam Blogger Boy.

Hubungan yang terjalin sejak sama-sama berlakon dalam siri tersebut akhirnya tidak dapat ditahan-tahan hingga ke luar set. Dia sekadar mengiyakan hubungannya dengan bekas pemain drum OAG itu.


JULIE tidak takut dengan bayang-bayang sendiri dan bertanggungjawab dengan tingkah lakunya.


Malah Julie turut 'terbocorkan' rahsia bahawa dia dan Qi sudah berlatih untuk menjawab soalan sebegini.

"Kami tidak mahu mencampuradukkan antara perhubungan dan kerja.

"Jadi kami ambil keputusan untuk menunggu hingga penggambaran musim pertama selesai dan baru keluar secara rasmi," ketawa Julie mengingati 'lakonan' mereka di set walhal satu produksi sudah dapat menebak hubungan mereka berdua.

"Qi tahu kisah gambar saya yang tersebar dan dia sentiasa menyokong saya. Dia tahu masa lampau saya," ujar Julie lega.

Pertemuan kali pertama mereka agak lucu. Julie datang dengan debaran untuk sesi uji bakat watak Nina.

Sedang menunggu gilirannya dipanggil, seorang lelaki menekan loceng untuk masuk ke bilik yang sama. Tidak mengenali lelaki itu, Julie membuka pintu dan lelaki itu senyum lantas duduk senyap di sebelahnya.

Mereka sama-sama menghafal skrip dan 'berlakon' sebelum diuji. Lelaki itu adalah Qi yang mahu mencuba mendapatkan watak Qi.

"Lucu mengingatkan saat itu. Bagi saya Qi adalah seorang yang sangat artistik dan berbakat besar dalam muzik. Dia fokus dan bersemangat dan inspirasi yang baik untuk saya.

"Sikap selamba dan romantiknya membuatkan saya suka. Lebih menarik, kami seperti Yin dan Yang - berbeza. Saya yang putih dan dia yang hitam," ujarnya melucu dalam nada cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: