Friday, August 21, 2009

Dengarnya...: Berhati-hati kalau mahu buat perbandingan


CIK NORMAH turut terasa hati apabila membaca berita mengenai perkahwinan seorang selebriti baru-baru ini, sebagaimana disiarkan beberapa media massa. Iyalah, wanita mana yang tidak tersentak apabila si lelaki menyatakan, isteri barunya itu hampir memenuhi kriteria yang diidamkan selama ini.

Sedangkan, dia sudah pun berkahwin sebelum ini. Jadi, apa pula kedudukan bekas isterinya? Apakah bekas isterinya itu tidak memenuhi ciri-ciri yang diinginkan olehnya? Padahal, bersama wanita itulah dia pernah membina rumah tangga sehingga lahirnya zuriat.

Kenyataan si selebriti itu bagai hendak menyakitkan hati bekas isterinya. Maaflah kalau Cik Normah tersalah tafsir, tetapi daripada apa yang Cik Normah baca, rasanya semua wanita yang pernah bergelar bekas isteri akan terasa dengan kenyataan sedemikian.

Kalau Cik Normah yang menjadi selebriti itu, Cik Normah tidak akan mengeluarkan kenyataan sebegitu. Cik Normah kepada orang yang pernah berkongsi kehidupan dengan kita. Cik Normah ni bukannya baik sangat, tetapi rasanya Cik Normah masih berhati perut.

Bayangkan bekas isterinya itu nanti bernikah semula dan ciri-ciri penggantinya adalah 98 peratus lelaki yang dicarinya. Bermakna bekas suaminya buruk sangat ke?

Tidak apalah. Kepada bekas isteri selebriti ini, Cik Normah harap janganlah ambil pusing dengan berita itu. Kalau hendak difikirkan segala benda, memang boleh menyakitkan hati saja. Jadi, biarlah ia berlalu begitu saja. Daripada kena penyakit bukan-bukan akibat terlalu tertekan, macam seorang kawan Cik Normah tu, baiklah buat-buat sibuk dengan perkara lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: