Friday, August 28, 2009

Batik terus dipelihara


WANITA Malaysia disaran memartabatkan dan memulihara batik seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.


WANITA ini bukan calang- calang. Dia juga bukan pereka fesyen yang menghasilkan koleksi busana tangkap muat. Sebaliknya anak kelahiran Kedah itu begitu fokus dan serius pada setiap hasil kerjanya.

Enggan membiarkan koleksi labelnya menyamai pengeluar pakaian yang lain, anak kedua daripada tiga orang adik- beradik itu memberanikan diri mengeluarkan pakaian berasaskan batik.

Walaupun menyedari pada zaman moden ini, penerimaan wanita terhadap batik tidaklah sehebat sekitar tahun 1930-an hingga 1950-an.

"Saya mengakui penerimaan wanita khususnya wanita Melayu terhadap batik semakin berkurangan. Barangkali wanita era ini ditawarkan dengan pelbagai jenis pakaian rekaan terkini. Persoalannya, mengapa batik pula yang menjadi mangsa dan dipersia-siakan begitu saja?

"Bagi saya, biarpun golongan wanita semakin moden dan berusaha memantapkan diri pada tahap yang lebih tinggi, kita tidak boleh terus melupakan sig- nifikan batik. Ia adalah fabrik warisan negara yang perlu dipelihara," jelas pereka fesyen, Nazleen Che Noor, 35.

Sedang rancak berbual, perbualan kami terhenti seketika kerana Nazleen menoleh ke tapak gerai jualannya. Dia memerhatikan dua orang pelanggan berbangsa Cina sedang asyik membelek-belek blaus batiknya.

Lalu kami berbicara kembali apabila staf Nazleen melayan pelanggan tersebut.


PENAMPILAN wanita kelihatan ayu dan anggun dalam persalinan kebaya dan kain batik sarung.


"Bukan semua orang meminati fabrik batik termasuklah wanita Melayu. Mereka menyifatkan batik adalah konsep lama yang tidak kena untuk digayakan pada hari ini. Situasi yang dapat dilihat ialah padanan kebaya Nyonya dan kain batik sarung.

"Pada zaman 50-an dan 60-an, kedua-dua jenis pakaian ini saling memerlukan. Tapi kini tidak lagi. Golongan wanita lebih selesa menggayakan baju kebaya Nyonya ataupun kebaya pendek bersama seluar jean atau skirt," tutur Nazleen ketika ditemui Pesona di bazar jualan pusat beli-belah, The Curve, Petaling Jaya.

Sebab itu kita jarang melihat wanita berkain batik ke pejabat dan waktu santai. Sebaliknya, pemakaian kain batik hanya popular di rumah atau menghadiri majlis perkahwinan.

"Seingat saya sewaktu kecil, ibu dan makcik-makcik tidak lekang dengan kain batik. Walaupun ketika melakukan kerja-kerja rumah, mereka kelihatan lebih selesa menyarungkan kain batik berbanding seluar.

"Penampilan wanita pada zaman itu begitu anggun dan ayu. Pemakaian kain batik sedikit sebanyak mengajar golongan wanita erti bersopan santun dan menjaga tingkah laku," kata ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia lima tahun itu.

Sedar akan hakikat tersebut, Nazleen bertekad untuk memartabatkan kembali fabrik bermotifkan batik. Pada fasa pertama, dia mengambil inisiatif mereka busana kasual dan formal berasaskan batik. Rekaan menarik itu dipersembahkan ketika mewakili Malaysia dalam pertandingan Anugerah Pereka Muda Asia (2000) di Singapura.


SELAIN busana kasual, label Nazleen Noor (kiri) turut menawarkan baju kanak-kanak dan aksesori berasaskan batik.


Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut keghairahan menghasilkan pakaian berasaskan batik semakin memuncak. Bermula dari saat itu, Nazleen menjalankan kajian dan pemerhatian untuk menarik minat pembeli.

Pada fasa kedua pula, dia cuba menghasilkan busana kasual dan kaftan yang menyelitkan elemen batik di bahagian dada, lengan atau kolar baju.

"Tak sangka pakaian batik konsep kasual mendapat sambutan. Ia bukan sahaja dibeli oleh wanita berkerjaya, malah turut menjadi pilihan remaja.

"Usaha saya tidak terhenti di situ saja. Setiap minggu dan bulan saya memikirkan rekaan dan motif batik yang baru. Kini penggemar batik boleh mendapatkan gaun malam dan pakaian kanak- kanak berasaskan batik jenama Nazleen Noor," ujarnya yang melakar sendiri motif batik dan membancuh rona agar fabrik batik ciptaannya kelihatan urban.

Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-52 tahun ini Nazleen menambah: "Seharusnya sebagai wanita Melayu dan Malaysia, kita harus berbangga kerana mempunyai fabrik warisan negara. Jika tidak dipelihara batik akan pupus begitu saja.

"Wanita Melayu juga harus mencontohi Allahyarham Datin Seri Endon, yang begitu mengagumi keaslian dan keunikan batik."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: