Thursday, August 13, 2009

Anugerah pembakar semangat Zahiril

Jejaka bertahi lalat bawah bibir ini bertuah kerana filem pertama lakonannya, Kami The Movie berjaya menobatkannya sebagai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada malam Festival Filem Malaysia ke-22 yang berlangsung Sabtu lalu di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Zahiril Adzim, 25, yang popular menerusi drama bersiri Merah Putih siaran TV3 tidak menjangkakan kemenangan berpihak kepadanya kerana calon-calon yang tersenarai ke peringkat akhir bagi kategori tersebut tidak kurang hebatnya.

“Saya menjangkakan Isma Yusoff (Setem) akan dapat trofi ni. Tetapi bila diumumkan nama saya, saya terkejut dan gembira. Masa nak naik ke pentas nak ambil trofi ini pun saya masih tak percaya lagi saya yang menang.

“Apa pun, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan, Lina Tan selaku penerbit Kami dan juga tenaga kerja yang menjayakan drama dan filem Kami,” ujar Zahiril yang begitu teruja dengan kejayaannya itu.

Selain Zahiril dan Isma, turut tersenarai dalam kategori yang sama ialah Faizal Ramli (Momok The Movie), Nabil Ahmad (Sifu & Tongga) dan Radhi OAG (Antoo Fighter).

Menurut pemuda yang berasal dari Taiping, Perak ini, drama bersiri Kami yang disiarkan di 8TV merupakan drama lakonannya yang pertama.

“Saya menyertai Kami selepas menghadiri uji bakat yang diadakan oleh Red Communication selaku penerbit. Selepas tiga minggu, pihak penerbit menghubungi saya memberitahu saya berjaya untuk tersenarai sebagai salah seorang pelakon pembantu siri tersebut.

“Bermula daripada drama bersiri Kami, saya terus diserapkan sebagai pelakon utama untuk Kami The Movie. Alhamdulillah, hasil kerja kuat saya, bakat saya diiktiraf oleh juri,” jelas Zahiril yang merupakan graduan Diploma Teater Aswara.

Beliau juga berharap, dengan kemenangan tersebut, Zahiril berharap ianya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus menyerlahkan bakat yang ada dalam dirinya.

Bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini, Zahiril akan terlibat dengan pementasan Teater Kompilasi – Volume 2 yang akan dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka.

Terbaru, Zahiril akan muncul dengan drama bersiri berjudul Waris terbitan Pesona Pictures dan filem Karaoke yang diarahkan oleh Chris Chong.

Dalam Karaoke, Zahiril diberi kepercayaan apabila ditawarkan untuk menggalas watak utama. Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam pada penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: