Thursday, August 13, 2009

Khalifah kembali dengan Cintaku Dewi Kamala

Kalau suatu ketika dulu Yabang dikenali menerusi kumpulan rock Jinbara dengan lagu Kasihku Laila. Setelah hampir empat tahun meninggalkan kumpulan itu, Yabang kini kembali bersama kumpulan barunya yang mahu dikenali dengan nama Khalifah yang ditubuhkan tiga tahun lalu (2006).

Nama Khalifah mungkin kurang dikenali peminat rock tanah air, tetapi mereka muncul dengan album pertama pada 2007 yang diberi judul Kelahiran di bawah label Life Record.

Menerusi album itu, turut dimuatkan kesinambungan kepada lagu Kasihnya Laila yang bertajuk Siapa Laila yang memberikan impak besar selain nafas baru kepada Yabang yang meninggalkan Jinbara.

Setelah dua tahun berlalu selepas pelancaran album pertama mereka, kini Khalifah menandatangani kontrak rakaman bersama Music Valley Malaysia (MVM) Home Entertainment Sdn. Bhd yang memiliki puluhan cawangan dan rangkaian outlet di seluruh Malaysia.

Yabang selaku ketua dan vokalis Khalifah berkata, pertukaran label baru ini dijangka dapat memasarkan album baru mereka secara lebih meluas dan percaya album mereka akan sampai dan dekat kepada peminat.

“Sebelum ini album Khalifah kurang mendapat sambutan disebabkan masalah kewangan dan kekurangan promosi. Kemudian MVM menawarkan untuk menjadi artis naungan mereka. Untuk masa depan yang lebih baik, kami bersetuju,” katanya.

Selain Yabang, Khalifah turut dianggotai Mayang (gitar bass), Tony (dram), Harry (gitar utama) dan Purba (gitar kedua).

Album kedua Khalifah, Cintaku Dewi Kamala sudah menjengah pasaran Mei lalu, tampil dengan corak persembahan berbeza selain mempelbagaikan irama dalam album tersebut.

Unsur-unsur irama etnik India dan etnik Sarawak boleh didengarkan menerusi lagu Cintaku Dewi Kamala dan Puteri Di Rimba.

Tidak dinafikan populariti Yabang mula bersinar ketika menganggotai kumpulan Jinbara.

Bagi mengingati memori itu, album ini turut memuatkan lagu Kasihnya Laila yang diubah susunan muziknya. Lebih istimewa, lagu itu dibawakan secara duet bersama otai rock, Saleem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: