
TEHERAN – Kesemua tiga calon yang tewas pada pilihan raya presiden Iran baru-baru ini bertindak memulaukan majlis angkat sumpah Mahmoud Ahmadinejad, 52, sebagai presiden bagi penggal kedua di sini semalam.
Turut berbuat demikian ialah beberapa pemimpin penentang Mahmoud dan Ahli Parlimen yang berhaluan sederhana.
Polis terpaksa memperketat kawalan keselamatan dengan lebih 5,000 anggota keselamatan dikerah berkawal di sekitar bangunan Parlimen.
Unit peronda anjing turut ditempatkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas pihak penentang yang enggan menerima keputusan pemilihan itu merancang mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk mengganggu upacara tersebut.
Kemenangan Mahmoud yang diisytihar secara rasmi pada 3 Ogos lalu hasil pengiraan semula undi baru-baru ini dan tanpa perlu melalui pemilihan pusingan kedua masih lagi dipertikaikan banyak pihak sebagai penuh dengan unsur penipuan.
Pemimpin propembaharuan Mir Hossein Mousavi mendakwa dirinya sebagai pemenang sebenar pada pilihan raya presiden 12 Jun lalu.
Bekas presiden Akbar Hashemi Rafsanjani dan Mohammad Khatami turut tidak muncul dalam majlis angkat sumpah itu. Mereka berdua merupakan penyokong kuat kumpulan penentang Mahmoud.
Mir Hossein bersama seorang lagi calon pembaharuan yang tewas, Mahdi Karroubi dan calon konservatif, Mohsen Rezaei turut tidak hadir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: