Monday, August 10, 2009

16 program Ramadan


BEGITU pantas masa berlalu, kurang dua minggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Ramadan Al Mubarak.

Inilah masa dan ketika yang baik untuk kembali menilai diri dan memperbanyakkan ibadah.

Sehubungan itu, pada bulan yang penuh berkat ini, kebanyakan stesen televisyen menyediakan pelbagai program menarik untuk mengisi aktiviti siang dan malam Muslimin dan Muslimat.

Justeru, bagi menghayati dan meraikan kedatangan bulan mulia itu, tahun ini Astro menyediakan 16 program baru dan memperuntukkan 173 jam bagi program sepanjang Kempen Raikan Ramadan melalui tiga salurannya, Oasis, Ria dan Prima.

Bagaimanapun tahun ini penekanan diberikan kepada Oasis dengan memperkenalkan banyak rancangan baru dan julung kali menyiarkan drama bersiri di saluran itu.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, sejak awal Astro Entertainment merancang dan memasang strategi yang lebih teliti untuk memastikan pelanggan disaji dengan program yang bukan saja berkualiti tinggi, malah diisi dengan nilai kerohanian dengan suntukan elemen pengajaran.

"Kali ini Astro memberi tumpuan kepada Oasis sesuai dengan konsep saluran itu yang membentuk kerohanian penonton.

"Buat masa ini Oasis banyak menyiarkan program berbentuk dokumentari dan mulai Ramadan ini kami cuba ketengahkan cerita fiksyen untuk tatapan penonton dan harap ia menjadi tabiat baru penonton menyaksikan drama bersiri menerusi saluran itu yang sebelum ini drama bersiri banyak disiarkan di Ria dan Prima.

"Untuk kempen Raikan Ramadan tahun ini, Oasis menyenaraikan program yang terdiri daripada pelbagai genre rancangan seperti siri animasi, telefilem, tazkirah dan siaran langsung solat Tarawih dari Masjid Nabawi, Madinah.

"Bukan itu saja, bacaan ayat suci al-Quran juga akan diperdengarkan ikon Astro Oasis pada setiap dinihari sepanjang Ramadan sesuai untuk mereka yang berjaga malam.

"Pertaruhan utama Oasis pada kempen ini semestinya drama bersiri lakonan Ashraf Muslim, Tunku Tiara Yasmin dan penampilan istimewa Yuna dalam Cinta Sempurna. Sajian lain di Oasis, dokumentari istimewa Madrasah Salasiah Rasulullah menceritakan mengenai susur galur madrasah di empat benua. "Kemeriahan sambutan Ramadan tidak terhad untuk penonton sasaran Oasis apabila dua lagi saluran, Ria dan Prima turut menawarkan rancangan hebat seperti telefilem dan drama bersiri. Setiap saluran di Astro ada peranannya masing-masing mengikut musim perayaan yang bakal diraikan.


"Untuk Oasis pengisian dramanya mestilah bertepatan konsep saluran itu. Kami mendapat banyak cadangan dan skrip yang bagus, tetapi kebanyakan pengarah sukar menterjemahkannya dalam bentuk visual seperti apa yang tertulis dalam skrip," katanya ketika ditemui pada majlis Indahnya Ramadan, baru-baru ini.

Kata Zainir, bagi menghormati Ramadan juga, setiap rancangan diatur mengikut kesesuaian waktu. Jika biasanya jam 8 malam adalah waktu perdana, tetapi pada bulan puasa ini, jam 3 petang dan 10 malam dipilih sebagai waktu perdana.

"Ini kerana pada bulan puasa jam 3 petang waktu suri rumah berehat sebelum ke dapur menyediakan juadah berbuka. Dan jam 10 malam pula, Muslimin dan Muslimat sudah selesai mengerjakan solat Tarawih.

"Di Oasis, antara slot diminati ramai, Indahnya Iman yang disiarkan sebelum dan selepas azan. Untuk Ramadan ini juga akan disiarkan konsep azan yang baru menyampaikan mesej dalam apa jua keadaan, solat lima waktu jangan dilupakan.

"Untuk memantapkan lagi persembahan di saluran Oasis, kami memperkenalkan ramai ikon baru Oasis dan kapsul baru yang disiarkan selama 15 minit. Kapsul itu mengandungi pesanan dan panduan kepada penonton untuk menjadi hamba yang diredai Allah s.w.t.

"Rancangan menarik lain setiap malam disiarkan Tadarus di mana empat jemputan mengaji berturut-turut sehingga habis satu juzuk untuk satu malam selama 30 hari. Semua program itu bermula seminggu sebelum Ramadan dan berakhir seminggu sebelum menjelangnya Aidilfitri kerana waktu itu umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya.

"Kami juga dalam perancangan untuk menyiarkan drama Arab bersiri dari Beirut. Pemilihan drama itu lebih selektif yang mengisahkan perjuangan Rasulullah s.a.w, tokoh Islam dan peperangan yang berlaku pada zaman itu," katanya.

Ikon yang akan muncul di Oasis, ikon Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim (Travelog Dakwah), Ustazah Asni Mansor Al Hafizah (Khazanah Syurga), Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz (Hadis Pilihan), Ustaz Mohd Shukri Haji Ali (Sejadah), Profesor Madya (K) Dr Halina Halizah Siraj (Halwa Buat Hawa), Siti Munazakiah (Kutubkanah @ Oasis) dan Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz (Islah).

Rancangan lain bakal ditampilkan pada Ramadan ini, Rasa Halal Orient: Kemboja, majalah Kasih Ramadan, telefilem Kristal Hitam, Antara Dua Jalan, Qalesya, Wadi Unung, Kemboja, Sebuah Keranda Kayu, Ulat-Ulat Cinta dan Paku Di Dinding Hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: