Thursday, March 5, 2009

Zaleha jalani pembedahan


LAGU Gadis Zaman Sekarang, Joget Lama Tak Jumpa dan Jangan Tenung-Tenung pernah melonjakkan nama penyanyi veteran, Siti Zaleha Abdul Hamid atau Zaleha Hamid, 53, di persada muzik tanah air sebagai penyanyi dangdut.

Namun, masa berlalu hingga mencecah usia emas, dia turut berhadapan ujian hidup apabila mengalami masalah kesihatan. Sejak setahun lalu, dia disahkan doktor menghidap penyakit ketumbuhan batu dalam hempedu.

Sewaktu dikunjungi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di rumah seorang kenalan di Kompleks Hospital Besar Kuala Lumpur baru-baru ini, Zaleha kelihatan bertambah sihat selepas menjalani pembedahan membuang batu berkenaan pada 27 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur HKL).

Zaleha berkata, dia dinasihatkan doktor banyak berehat dan menjaga pemakanan sebelum sihat sepenuhnya. Dia dimasukkan ke wad sehari sebelum pembedahan dan dibenarkan pulang 2 Mac lalu.

“Pada Ogos lalu, doktor membuat imbasan pada badan dan menemui ada ketulan batu dalam hempedu. Kata doktor, penyakit ini ada kemungkinan berpunca dari pemakanan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kesihatan saya sekarang semakin baik dan ini semua berkat doa rakan-rakan yang masih ingat pada saya.

“Ketika penyakit ini mula dikesan, saya rasa sakit di ulu hati hingga tidak boleh bernafas. Ia kemudian melarat ke belakang badan dari bawah hingga atas tengkuk. Sebelum ke HKL, saya ada pergi ke klinik swasta berdekatan rumah di Johor Bahru sebanyak dua kali.

“Doktor ada berikan ubat tetapi ia hanya bertahan tiga jam. Saya dinasihatkan makan ubat agar batu itu boleh pecah sendiri tetapi selepas sebulan, pemeriksaan semula mendapati batu itu makin besar. Paling teruk ketika Ogos lalu, saya tidak larat berjalan kerana sakit.

“Doktor turut mengesan sebenarnya ada tiga batu dalam hempedu saya. Walaupun satu batu dapat dikeluarkan tetapi dua batu lagi melekat di hempedu dan ia kemudian pecah hingga hempedu saya terpaksa dibuang. Buat masa ini, tiada hempedu membuatkan saya berasa pening, susah bernafas dan muntah.

“Doktor menasihatkan saya banyak minum air masak sebelum bersedia mengambil air manis atau bubur. Kata doktor juga, saya perlu elak makanan berminyak dan keras,” katanya.

Meskipun dinasihatkan berehat, Zaleha menyatakan dia masih aktif menyanyi.



Katanya, sejak tiga tahun lalu dia kurang mendapat tawaran persembahan pentas tetapi masih menerima undangan mengadakan persembahan di Singapura.

“Mungkin ada penganjur yang ingin berikan tawaran pada saya tetapi tidak dapat hubungi saya atau fikir saya sudah tidak aktif menyanyi.

“Kata doktor, saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyi semula. Saya harap mereka boleh hubungi saya menerusi Karyawan.

“Saya masih bersemangat untuk terus menyanyi. Saya juga berkecil hati bila artis veteran seperti saya menerima bayaran tidak setimpal dengan sumbangan yang diberikan sebelum ini.

“Sebagai penyanyi, saya bukan mengharapkan pingat tetapi cukup sekadar peminat mengenang sumbangan saya,” katanya.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez pula berkata, sumbangan pada artis veteran difikirkan perlu untuk meringankan beban.

“Dia sebenarnya masih mampu menyanyi dan saya berharap selepas ini mendapat lebih banyak peluang mengadakan persembahan. Buat masa ini, Karyawan mempunyai 27 penerima skim pencen.

“Mungkin kami akan pertimbangkan menambah penerima baru termasuk Zaleha tetapi apa yang perlu difikirkan, bagaimana usaha untuk mengisi tabung Karyawan agar ia dapat membantu ramai artis veteran dan tidak bernasib baik.

“Bagi Karyawan, usaha melaksanakan skim pencen ini bukan mudah kerana ia memerlukan dana mencukupi. Kami juga merancang mencari peluang untuk artis veteran menyanyi semula. Memang senario masa kini menyaksikan peluang persembahan untuk penyanyi veteran berkurangan dan persaingan sengit berlaku dengan penyanyi muda.

“Jika ada rezeki, Karyawan akan menjemput penyanyi veteran terbabit sama dalam Malam Bintang Legenda yang mungkin dapat diadakan tahun ini,” katanya.

Pada kunjungan itu, Karyawan menyampaikan sumbangan RM1,000 dari tabung persatuan kepada Zaleha.

Turut hadir, Datin Paduka Julie Sudiro, Khairil Khamis, Salwa Abd Rahman dan Mas Omar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: