| DALAM penonton setia drama bersiri popular, Lost, leka mencari jawapan kepada segala persoalan yang muncul di pulau misteri, pelakon utamanya kini bersiap sedia berhadapan dengan kenyataan rancangan itu bakal ditamatkan. |
Produksi yang diilhamkan J.J Abrams dengan kerjasama Damon Lindelof itu kini sibuk menjalani penggambaran di Hawaii untuk musim keenam yang juga terakhir sementara musim kelima kini sedang rancak ditayangkan di Amerika Syarikat.
Bagi penonton tempatan yang kini mengikuti musim keempat setiap Isnin, jam 9.30 malam di 8TV, pastinya sedih dengan perkembangan ini dan waktu sama tidak sabar mahu mengetahui perkembangan watak utama, Jack lakonan Matthew Fox terutama membabitkan hubungannya dengan Kate (Evangeline Lilly) juga watak antagonis, Ben (Michael Emerson).
Di temui di majlis sidang akhbar berlangsung di North Highland, Hollywood kelmarin, Matthew menjelaskan bahawa dia sudah melakukan persediaan lebih awal, malah kini sedang sibuk membina rumah baru dan tidak bercadang untuk terus menetap di Hawaii.
"Hendak kata saya sedih apabila Lost berakhir tidak juga kerana sebagai pelakon ia sudah menjadi sebahagian dari budaya kerja. Terutama apabila membintangi drama bersiri. Panjang manapun musimnya, pasti satu hari nanti akan tamat.
"Walaupun sedih, waktu sama saya lega kerana boleh berehat lama selepas ini. Sepanjang enam tahun terbabit dalam drama bersiri ini, ia menuntut banyak masa dan tenaga. Begitupun, saya seronok terutama membabitkan hubungan antara pelakon yang kini sudah saya anggap seperti keluarga," katanya.
Tambah Fox, walaupun penggambaran bakal berakhir dia sudah menerima beberapa tawaran berlakon filem. Katanya, selepas menumpukan perhatian kepada Lost, dia kini mahu menumpukan perhatian kepada filem.
"Jika beraksi di layar lebar, saya mempunyai banyak masa terluang dan secara tidak langsung bolehlah saya menumpukan perhatian kepada keluarga.
"Lagipun saya bukan muda seperti dulu yang boleh bekerja tanpa henti. Usia saya kini 43 tahun dan sudah tiba masanya untuk saya memberikan masa pada diri sendiri. Apabila Lost bakal berakhir, saya melihat ia sebagai peluang terbaik untuk melakukan apa yang saya suka selepas ini.
"Apabila berlakon filem, saya hanya perlu beraksi paling lama empat hingga enam bulan kemudian saya boleh berehat panjang, tidak seperti drama bersiri mengambil masa setahun.
| |
"Bayaran diterima berlakon filem juga membuatkan saya tidak perlu bimbang memikirkan soal kewangan sekiranya berehat panjang," katanya.
| |
Mengenai perkembangan wataknya untuk musim baru, jelas Fox tidak banyak yang boleh diberitahu selain tidak mahu mengganggu tumpuan penonton yang mengikuti perkembangan jalan cerita Lost setiap minggu.
"Apabila penggambaran dijalankan, kami menerima skrip pada saat akhir kerana penerbit dan penulis skrip bimbang jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan terutama membabitkan watak-watak utama akan dibocorkan.
"Peminat setia Lost terlalu fanatik dan mereka sanggup lakukan apa saja bagi mengetahui apa yang berlaku kepada Jake dan Kate. Apa yang boleh saya katakan, dua watak utama ini menjadi semakin rapat," katanya.
Matthew turut mengakui hubungannya dengan Evengeline semakin rapat selepas hampir enam tahun bekerjasama dalam Lost. Sehinggakan dia ada gelaran khas kepada pelakon berasal dari Kanada itu sebagai perlambangan mereka seperti abang dan adik.
Berbeza dengan Emerson yang sedih apabila mengetahui siri Lost akan berakhir dan waktu sama bangga kerana berpeluang membabitkan diri dalam drama yang dianggapnya terbaik pernah dihasilkan di Hollywood.
"Tanpa sedar, sudah lima tahun saya bersama produksi Lost. Pejam celik, drama ini akan berakhir tahun depan. Begitupun, saya bangga kerana ia berakhir dengan cara terhormat dan menjadi antara drama bersiri paling diminati sepanjang disiarkan di seluruh dunia dan mempunyai penonton setia.
"Saya tidak mempunyai sebarang perancangan buat masa ini, mungkin juga selepas segalanya berakhir saya akan kembali ke drama pentas," katanya.
Kata Emerson, melakonkan watak Ben memberinya kepuasan penuh kerana sepanjang 20 tahun pembabitannya dalam lakonan, jarang dia diberi peranan seperti dalam Lost.
"Ben satu karektor yang begitu kompleks. Walaupun orang melihatnya sebagai watak antagonis, pada saya untuk melakonkannya tidak mudah. Ben digambarkan seorang yang bijak dan sangat oportunis.
"Dia banyak merancang dan tidak keterlaluan jika dikatakan dia menjadi penyumbang besar dalam menggerakkan jalan cerita Lost serta mempengaruhi situasi yang berlaku di pulau misteri," katanya.
Mengenai skrip yang diterima pada saat akhir, kata Emerson, ia bukanlah satu masalah baginya dan menganggap ia satu cabaran besar buat pelakon yang terbabit dalam siri Lost.
"Saya faham produksi melakukan perkara itu kerana bimbang jalan cerita akan diketahui pihak lain. Hendak diikutkan memang panik apabila menerima skrip pada saat akhir (sehari sebelum penggambaran) tetapi ia mencabar pelakon seperti saya untuk memikirkan cara terbaik mempersembahkannya di hadapan kamera," katanya.
Lost yang mengisahkan perjuangan mangsa kapal terhempas di satu pulau misteri bukan saja sesama mereka malah rahsia di pulau itu. Ia turut dijayakan Ian Somerhalder sebagai Boone, Dominic Monaghan (Charlie), Jorge Garcia (Hurley), Maggie Grace (Shannon), Malcolm David Kelley (Walt), Naveen Andrews (Sayid), Henry Ian Cusick (Desmond), Emilie de Ravin (Claire), Daniel Dae Kim (Jin) dan Elizabeth Mitchell (Juliet).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: