Thursday, March 5, 2009

Wangi 'aura' baru The Fabulous Cat


The Fabulous Cat kini muncul dengan ahli wanita terbaru mereka, Wangi (berdiri).


MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya tentang perihal kumpulan hip hop yang satu ini, selepas satu muncul pula satu lagi ahli baru mereka.

Namun apa yang pasti kumpulan yang dikenali sebagai The Fabulous Cat ini punya alasan tersendiri mengapa ahli mereka kerap kali bertukar ganti.

Kekerapan kumpulan ini menukar ahli terutama vokal wanitanya mengundang banyak spekulasi daripada pelbagai pihak.

Malah pemilihan Farhana di awal kemunculannya sebagai ahli wanita ketiga kumpulan itu setelah dua ahli wanitanya sebelum menarik diri turut mengundang spekulasi.

Bukan kerana berlakunya pelbagai masalah atau pun masalah dalam kumpulan mereka, tetapi menurut Cat Farish pengunduran ahli-ahli mereka adalah kerana masalah peribadi serta komitmen lain yang perlu dihormati.

Baru-baru ini, sekali lagi ahli bagi kumpulan yang cukup popular dengan lagu Papa Jahat ini bertukar ganti.

Malah, pengunduran DJ Sumo daripada kumpulan itu kerana masalah peribadi ternyata memberi kesan yang bukan kecil buat tiga lagi anggota mereka yang masih bertahan.

Bagaimanapun di sebalik kesedihan yang dialami, kumpulan itu mampu menarik nafas lega apabila kepincangan itu kini dapat ditampung oleh seorang anggota baru mereka yang berasal dari Bandung, Indonesia iaitu Wangi.

Menurut Cat, penyertaan Wangi sejak pertengahan Februari lalu memberikan aura serta kekuatan baru buat kumpulan tersebut.

"Wangi mempunyai aura serta kekuatan vokal tersendiri yang boleh menjadikan kumpulan ini sebagai sebuah kumpulan vokal yang unik. Bukan sahaja dari segi penyampaian tetapi juga penglibatan ahli dari tiga negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura.

"Selain memudahkan tujuan promosi album di ketiga-tiga negara, gabungan ahli dari tiga negara juga sebagai kemudahan untuk berkomunikasi.

"Jadi kalau kami ke Singapura atau ke Indonesia, kami tak perlu risau lagi tentang komunikasi dengan mana-mana pihak di sana," kata Cat pada pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Wangi atau nama sebenarnya, Wangi Julianda, 19, yang sebelum ini berpengalaman bermain muzik bersama sebuah band di Bandung iaitu Lite Da Moon, memudahkan dia beraksi dan bekerjasama dengan kumpulan barunya itu.

"Saya senang sekali dapat bekerjasama dengan The Fabulous Cat. Memang tidak sangka boleh jadi salah seorang ahli kumpulan ini.

"Apa yang saya tahu, nama The Fabulous Cat sudah begitu terkenal di sini. Jadi ia satu kebanggaan buat saya.

"Sebelum ini, saya hanya mendengar lagu-lagunya. Walaupun berunsurkan hip hop tetapi di dalam album muzik mereka berbagai-bagai, itu yang membuatkan saya mahu menyertai kumpulan ini," kata graduan bidang pengurusan dari Universitas Padjajaran, Indonesia itu lagi.

Bagi Farhana pula, kehadiran Wangi memberi lebih keselesaan buat dirinya untuk bergerak bersama kumpulannya pada mana-mana persembahan pentas yang diadakan.

"Saya dan Wangi memang agak ngam kerana mempunyai banyak persamaan terutamanya dari segi personaliti dan tingkah laku.

"Walaupun kami berbeza umur tujuh tahun, kami mudah berkomunikasi. Sekurang-kurangnya, apabila menjayakan persembahan pentas di mana-mana saya sudah ada kawan," kata Farhana.

Ke Indonesia hujung Mac

Dalam sibuk mempromosikan album terbaru mereka, HyperKosmik kini, kumpulan itu sedang sibuk menjalani rakaman semula tiga single hit mereka termasuk Papa Jahat dan Rimas untuk dipromosikan di Indonesia dan juga Singapura.

Rakaman semula itu menurut Adeep menerima paduan suara daripada ahli baru mereka, Wangi dengan penggunaan bahasa yang lebih mudah difahami oleh peminat serta masyarakat dari Indonesia dan Singapura.

"Semua sudah siap dirakam dan kini cuma tinggal satu lagi lagu iaitu Rimas. Insya-Allah, kami akan ke Indonesia untuk mempromosikan album serta single kami pada penghujung Mac ini," kata Adeep.

Selain pembikinan klip video single Papa Jahat dan Bawa Ku Terbang, tidak lama lagi kumpulan itu juga bakal muncul dengan single terbaru, Si Mami Ai Papi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: