Thursday, March 5, 2009

Sukarnya puaskan hati orang


BIARPUN membawa lawak dengan cara tersendiri, Johan (kiri) dan Zizan mengakui sukar untuk memuaskan hati semua orang.


SUDAH menjangkau tiga tahun usia penglibatan dua jejaka ini di dalam gelanggang jenaka dan lawak tanah air.

Lahir menerusi program realiti Raja Lawak Astro musim pertama. Biarpun tidak bergelar juara, karier serta populariti mereka berkembang dengan baik.

Namun bagi Mohd. Razizan Abdul Razak atau Zizan dan Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz (Johan), tempoh tiga tahun berkecimpung dalam dunia lawak dan bidang seni lain masih belum mencukupi untuk mereka meletakkan diri sebaris insan-insan ternama lain.

Bagi mereka, banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan diterokai di samping memperbaiki apa jua kelemahan yang ada.

Masakan tidak, bergelar seorang pelawak dan melakukan kerja-kerja sebagai pengacara serta pelakon, Zizan dan Johan mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.

"Dalam melawak atau apa juga bidang seni yang kami ceburi, tidak semua senang dengan apa yang kami lakukan.

"Tetapi walau apa juga kritikan dan ketidakpuasan mereka, bagi saya dan Johan, kami tetap berusaha untuk lakukan yang terbaik.

"Setiap daripada kami ada had kemampuan diri masing-masing,'' kata Zizan pada sesi fotografi bersama Hits di studio Utusan baru-baru ini.

Ujar Zizan, menjadi pelawak junior yang sering dilempar dengan kritikan merupakan sesuatu yang lumrah.

Bagaimanapun katanya, dia harus bersedia menerima segala kritikan itu kerana tanpa kritikan, dia pasti 'buta' untuk menilai kesilapan diri.

Kepada satu soalan mengenai nasib masa depan dunia seni lawak, Zizan menjelaskan, semuanya bergantung kepada sokongan masyarakat.

"Kalau masyarakat tahu bahawa seni lawak adalah sesuatu yang bermakna, mereka pasti akan menghargainya.

"Justeru pelawak juga haruslah dihargai sama,'' katanya.

Zizan dan Johan bergandingan sebagai hos bagi rancangan Raja Lawak musim kedua dan ketiga.

Kedua-dua mereka dilihat cukup serasi sehingga diberi kepercayaan mengendalikan program Jozan dan Segmen Khas Gempak Selebriti.

Johan dikatakan sombong

Sementara itu, Johan yang bakal muncul dengan filem Bohsia pula berkata, sepanjang tempoh tiga tahun ini dia banyak melalui detik-detik yang mencabar kesabarannya.

Perkara paling sukar dilupakan Johan adalah saat dijerit dengan panggilan 'hoi' oleh seorang lelaki ketika dalam sebuah majlis.

"Dia jerit panggil saya. Saya pun buat tidak tahu kerana saya ada nama dan bukannya 'hoi'. Terus lelaki itu kutuk dan kata saya sombong.

"Memanglah dia hendak melawak tetapi perlulah kena pada tempatnya. Gaya rambut saya juga pernah dikritik.

"Ada yang kata saya tidak buat lawak bodoh tetapi kerana rambut, menampakkan saya bodoh. Kritikan begini membuatkan saya tergelak," jelasnya.

Ditanya berlawak dengan imej lelaki lembut yang sering dibawa, Johan berkata, personaliti sedemikian ditampilkan antara dia dan Zizan semata-mata ingin menghiburkan khalayak penonton.

Katanya, ia hanyalah salah satu bahan jenaka dan yang penting ia tidaklah terlalu melampau.

"Kami ada juga bawa watak lain seperti budak-budak. Tetapi semua itu hanyalah sebuah lakonan untuk disesuaikan dengan jalan ceritanya," ujarnya.

Komen tentang Raja Lawak 3

Dalam pada itu, Raja Lawak Astro musim ketiga bakal melabuhkan tirainya pada 6 Mac ini.

Mengimbas sejarah program popular di saluran Prima (saluran 105, Astro), musim pertama menyaksikan Yusri Edoo, dari Perlis berjaya bergelar juara diikuti Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, selaku juara untuk musim kedua.

Untuk musim ketiga, sebuah kumpulan dan dua individu bakal berentap untuk menggenggam trofi kejuaraan.

Mereka adalah Kumpulan Sepah, Jihan dan Amir.

Mengulas mengenai Raja Lawak 3, Zizan meramalkan Kumpulan Sepah bakal menjuarai untuk musim kali ini.

"Tetapi perlu diingat bahawa Jihan juga punyai karakter lawaknya yang tersendiri. Isi cerita dan lawak yang ditonjolkan Jihan cukup mudah serta tidak keterlaluan.

"Secara keseluruhannya, untuk musim ketiga ini, kebanyakan peserta sudah faham tentang kehendak perjalanan program tersebut,'' katanya.

Bagi Johan pula, Jihan telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan saban minggu manakala Kumpulan Sepah tampil dengan lawak yang lebih segar dan baru.

"Mereka ada idea dan cerita, tetapi apa yang membezakan adalah sama ada mesej yang diketengahkan sampai atau tidak kepada khalayak,'' jelasnya.

Gelanggang akhir Raja Lawak 3 bakal diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 6 Mac ini, pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: