"Saya juga bersosial bersama teman lain serta mempunyai kehidupan tersendiri.Paling penting, saya masih tahu membezakan batasan-batasan tertentu dan sedar dengan perkara baik
dan buruk" – ZIZIE

DIKURNIAKAN seraut wajah jelita, kulit yang putih gebu dan susuk badan yang menggiurkan, namun ia tidak sesekali menjadi batu loncatan kepada aktres, Zizie Ezette untuk mendampingi lelaki kaya.
Tidak dinafikan, ada sesetengah artis baik golongan wanita mahupun lelaki yang sanggup 'menjaja' diri untuk menikmati kemewahan dalam masa singkat, tanpa mengenali erti dosa.
Zizie sebelum ini, tidak terkecuali pernah menerima 'lamaran' daripada golongan korporat yang bergelora jiwa ingin mengadakan hubungan intim dengannya.
"Terus-terang, ramai yang hendak mendekati saya sebelum ini, sebaliknya saya memang tidak berminat mengejar lelaki kaya semata-mata mahu hidup mewah.
"Saya pernah menerima panggilan daripada seseorang yang kaya sambil bertanya terus tentang harga untuk bermalam dengan saya.
"Dua atau tiga kali jugalah dia menanyakan soalan yang sama dalam menggunakan perkataan yang tidak saya fahami.
"Pada mulanya saya memang kurang jelas dengan ayat yang dimaksudkan oleh lelaki ini, namun akhirnya saya mula sedar bahawa ia merujuk mahu meniduri saya.
"Memang saya agak terkejut, malah terdiam seketika apabila dihubungi lelaki ini," katanya ketika ditemui di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, minggu lalu.
Sambung aktres berusia 31 tahun itu, meskipun tergamam pada awalnya, namun dia segera mendapat kekuatan untuk menjawab semula kata-kata lelaki tersebut.
"Saya terus meminta maaf kepadanya sambil memberitahu bahawa saya bukanlah jenis wanita macam itu yang kemaruk dengan duit.
"Bukannya saya hendak cakap Zizie Ezette ini seorang wanita yang baik sangat. Ya, saya juga bersosial bersama teman lain serta mempunyai kehidupan tersendiri.
"Paling penting, saya masih tahu membezakan batasan-batasan tertentu dan sedar dengan perkara baik dan buruk.
"Saya tidak mahu jadi hipokrit, tetapi apabila tiba perihal macam ini dan berkaitan skandal dengan golongan korporat, memanglah bukan diri sebenar saya," akui Zizie jujur.
Meskipun secara dasarnya Zizie berpakaian seksi dan sering memegang watak wanita yang kurang 'elok' dalam mana-mana drama yang dibintanginya, namun jangan cepat membuat andaian melulu tanpa usul periksa.
"Jangan cepat salah sangka tentang diri saya. Peminat harus mengenali saya terlebih dahulu sebelum bercakap itu dan ini.
"Saya bukannya manusia yang mengejar wang dan saya juga bukan jenis wanita yang menelefon lelaki untuk meminta duit bagi menampung seluruh kehidupan saya.
"Biarlah saya tidak memiliki apa-apa dan hanya ada sumber pendapatan menerusi bidang lakonan, tetapi saya tidak meminta-minta duit daripada orang lain.
"Semua benda yang saya miliki, kereta atau apa sahaja yang saya pakai, semua menggunakan duit hasil titik peluh saya.
"Alhamdulillah, saya sudah cukup bahagia dengan kehidupan yang ada sekarang," tutur Zizie atau nama sebenarnya Zizie Ezette A. Samad sambil tersenyum manis.

Belum masa untuk kahwin
Menyulam cinta dengan seorang ahli perniagaan yang berusia 43 tahun sejak tujuh tahun lalu, Zizie mengakui dirinya masih belum memiliki sebarang perancangan untuk bergelar isteri.
Selepas menjangkau waktu tujuh tahun mengenali hati budi masing-masing, apakah tempoh tersebut masih belum cukup untuk Zizie dan kekasih hatinya mengambil keputusan untuk melayari bahtera cinta sebagai pasangan suami isteri?
Sambil menarik nafas, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu menerangkan, dia enggan terburu-buru untuk membuat keputusan menamatkan episod solo.
Memanglah usianya kian mendaki dari setahun ke setahun, namun ia tidak menjadi kegusaran untuk Zizie sementelah pengalaman hidup banyak mengajarnya tafsiran kehidupan.
"Saya tidak rasa sekarang menjadi waktu yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga," jawabnya ringkas lantas menimbulkan tanda tanya seketika.
Sedar kata-katanya itu akan menzahirkan prasangka umum, Zizie menjelaskan, dia masih lagi menjalin hubungan dengan lelaki sama.
"Cuma pintu hati saya belum terbuka untuk ke arah itu (kahwin). Pernah jugalah beberapa kali merancang untuk berkahwin, namun ia tidak pernah menjadi.
"Setiap yang dirancangkan, ada tergendala di sana sini. Justeru saya lihat lebih baik perkara ini (kahwin) ditangguhkan terlebih dahulu.
"Hubungan kami biasa-biasa sahaja sama seperti sebelumnya. Sekejap kami berbaik, sekejap kami gaduh.
"Memanglah dia banyak kali melamar saya untuk menjadi isterinya, namun saya masih belum berupaya membuat sebarang keputusan.
"Setelah tujuh tahun berkenalan, saya rasa sudah tujuh kali juga dia mengajak saya mendirikan rumah tangga.
"Seperti yang saya jelaskan, saya enggan terlalu memikirkan soal kahwin dalam waktu sekarang. Biarlah apabila saya sudah bersedia dan jodoh sampai, saya akan berkahwin juga kelak," ungkap Zizie yang kelihatan semakin jelita.
Biarpun begitu, Zizie yang mula melibatkan diri dalam bidang lakonan seawal usia 13 tahun berkata, banyak kualiti menarik yang ada dalam diri kekasihnya, hingga dia terus setia selama tujuh tahun.
"Saya kagum dengan sikapnya yang tidak pernah berputus asa, walaupun sudah banyak kali saya menolak lamaran daripadanya.
"Dia tetap okey, malah cukup akur dengan keputusan saya. Dia merupakan seorang lelaki yang sanggup bersama-sama saya dalam apa jua keadaan, baik senang ataupun susah.
"Dia sentiasa berada dekat dengan saya ketika saya memerlukan teman untuk berbicara, cuma saya masih tidak nampak bilakah agaknya saya dan dia bakal kahwin," luah Zizie.
Dia tahu, statusnya bukanlah sebagai pelakon yang disanjung ramai namun sebagai kaum Hawa, Zizie mungkin punya alasan tersendiri kenapa dia masih belum mahu berkahwin, sebelum kata putus bertemu titik.
Asalkan Zizie masih berada di landasan yang benar, prinsipnya wajar dihormati oleh semua pihak.
Ingin bawa watak baik
![]() |
| PINTU hati Zizie belum terbuka untuk bergelar isteri. |
Tidak sekadar bercakap soal kehidupan peribadi, sebaliknya anak kepada aktres Khaty Fauziah turut meluahkan perasaan apabila dirinya seolah-olah sering didiskriminasi dalam bidang lakonan.
Zizie sering menerima 'hukuman' apabila dia asyik diberikan watak wanita gedik, jahat dan bermacam-macam lagi hingga menimbulkan wajah meluat serta benci daripada penonton.
"Barangkali ada pengarah yang tidak menyedari bahawa saya juga boleh membawakan watak baik dengan jayanya.
"Bukan hendak kata saya merupakan seorang pelakon yang hebat, namun saya sering tertanya-tanya kenapa pengarah jarang memberikan watak wanita baik kepada saya selepas menjadi anak seni.
"Sedangkan saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menzahirkan watak ini. Saya mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang boleh membawakan watak sedih atau dianiaya.
"Bosan jugalah asyik memegang watak sama. Balik-balik saya dapat watak wanita yang kurang baik," akui Zizie dalam nada kesal.
Kekecewaan Zizie bagaimanapun sedikit terubat apabila dia bakal melibatkan diri dengan sebuah drama bersiri berjudul Dua Marhalah yang bakal ditayangkan di saluran Atsro Oasis.
"Saya gembira apabila diberikan kepercayaan untuk membawakan watak sebagai seorang wanita yang dianiaya oleh pengarah drama ini, Along Kamaruddin.
"Daripada seorang wanita yang baik, saya dipaksa melacur serta menyukai kerja yang dilakukannya hingga saya keluar daripada kancah pelacuran dan akhirnya bertaubat.
"Ia adalah watak yang saya idam-idamkan selama ini, malah saya juga dapat bermain dengan banyak emosi dalaman wanita.
"Terubat jugalah sedikit kekecewaan saya," sahut Zizie yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama rantaian terkenal, Spa Q untuk musim kedua ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: